Tasik Kenyir pada waktu pagi
PENDUDUK Terengganu kini berhadapan dengan situasi yang membimbangkan dengan status Tasik Kenyir mengenai laporan empangan terbesar itu kemungkinan pecah pada musim Monsun Timur Laut (MTL) yang akan tiba menjelang musim tengkujuh tahun 2022 ini.
Penduduk terbabit terutama di Daerah Hulu Terengganu, Dungun, Kuala
Terengganu, Marang dan Kuala Nerus bimbang jika bencana itu menjadi kenyataan
yang menyebabkan keselamatan mereka akan terjejas.
Kebimbangan tersebut semakin menakutkan orang ramai apabila tular dalam media sosial mengenai kemungkinan tasik buatan manusia terbesar itu akan pecah dan mengancam nyawa manusia.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Tasik Kenyir
Hanafiah Mat
Orang ramai diharap agar tidak panik dengan kenyataan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengenai kemungkinan 'Empangan Kenyir pecah' pada musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini kerana ia hanyalah ramalan segala kebarangkalian dan tidak bermaksud akan benar-benar berlaku.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, ia adalah pemberitahuan persediaan dan pelan pihak berkuasa berhubung segala kemungkinan.
Katanya, pelan tindakan itu sudah tersedia selepas NADMA menjangkakan hujan berlaku terlalu lebat dan limpahan air keluar dalam jumlah yang banyak.
Keadaan Tasik Kenyir Hulu Terengganu: Kredit foto UPDI
"Orang ramai jangan panik, Tenaga Nasional Berhad (TNB) pun telah menyatakan bahawa Empangan Kenyir itu masih selamat dan terkawal. Tidak akan berlaku apa-apa, insya-Allah.
"Jadi, janganlah kita terlalu panik dengan ramalan itu, kita semua mendoakan dan buat sembahyang hajat agar ia tidak berlaku," katanya.
Baru-baru ini, Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pelaksanaan Operasi) NADMA, Meor Ismail Meor Akim berkata walaupun teknologi mengatakan bahawa empangan tidak akan pecah, namun persiapan menghadapi sebarang kemungkinan tetap perlu dilakukan.
Beliau mengambil contoh kejadian empangan pecah yang berlaku di China dan Afrika sebelum ini dan berharap semua agensi termasuk anggota komuniti peka dan bersedia terhadap risiko bencana empangan tersebut.
Bagaimanapun kenyataan NADMA itu telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk Terengganu terutama dalam laman sosial kerana bimbang impak banjir yang teruk sekiranya empangan buatan terbesar manusia di Asia Tenggara tersebut pecah.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar tidak panik
dan terpengaruh dengan sebarang khabar angin mungkin tersebar dalam media sosial
berhubung Latih Amal Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Kenyir, yang diadakan pada 26 hingga
29 September 2022 lalu.
NADMA dalam kenyataan berkata, program melibatkan agensi kerajaan bersama anggota komuniti itu bagi memastikan tahap kesiapsiagaan sekiranya berhadapan dengan bencana berada pada tahap optimum.
“NADMA selaku agensi peneraju dalam
pengurusan bencana negara sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak
berkepentingan dalam menganjurkan pelbagai program latih amal bagi meningkatkan
keupayaan semua pihak supaya sentiasa bersedia untuk melaksanakan operasi
berkaitan bencana dengan berkesan di samping berdaya tahan terhadap bencana.
“Semua agensi termasuk anggota
komuniti perlu peka terhadap semua risiko bencana bagi memastikan tahap
kesiapsiagaan berada pada tahap tertinggi. Masyarakat perlu peka dan mengetahui
pelan tindakan komuniti jika berlakunya bencana,” katanya.
Jika berlaku (pecah) misalnya di Empangan Kenyir, air boleh naik sehingga 15 meter di kawasan sekitarnya dan penduduk perlu tahu apa tindakan yang patut dilakukan jika bencana besar seumpama ini berlaku.
Sebanyak 26 jabatan dan agensi negeri serta persekutuan terlibat dalam latihan itu, selain turut melibatkan 14 agensi pada peringkat empat daerah iaitu Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang. - KitaReporters