Alam & Sains 23 Jun, 2023

Membimbangkan! Kanak-kanak, remaja Malaysia kurang aktif secara fizikal! Laporan aktiviti fizikal 2022!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Penemuan daripada 'Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-Kanak Dan  Remaja Malaysia 2022’, diumumkan bersama pada 22 Jun 2023 oleh Sun Life Malaysia, penyedia insurans hayat dan  takaful keluarga terkemuka, Active Healthy Kids Global Alliance (AHKGA) dan Universiti Kebangsaan  Malaysia (UKM), menekankan bahawa kanak-kanak dan remaja Malaysia mencapai D minus (D-) untuk keseluruhan aktiviti fizikal.

Ini menandakan keperluan untuk meningkatkan tahap aktiviti fizikal kanak-kanak  dan remaja Malaysia, terutama dalam era pascapandemik. 

Sun Life telah bekerjasama dengan AHKGA dan UKM, sebagai universiti penyelidikan utama, untuk  menyokong Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-kanak dan Remaja Malaysia 2022, yang dibangunkan sebagai sebahagian daripada inisiatif Global Matrix 4.0 AHKGA dan mewakili sintesis berasaskan bukti bagi  tingkah laku terhadap aktiviti fizikal kanak-kanak dan remaja di Malaysia. 

Dengan menggunakan satu siri penunjuk yang berkaitan dengan tingkah laku harian, persekitaran dan sumber pengaruh, strategi dan pelaburan, dan faktor-faktor lain, kad laporan ini memberikan tinjauan dan cadangan untuk meningkatkan kesihatan fizikal golongan muda di Malaysia dan di seluruh dunia. 


Dari kiri, Dr. Mohd Razif Shahril, Dr. Hanafiah Harunarashid dan Ho Teck Seng


Penemuan Kad Laporan ini telah dilancarkan secara rasmi oleh Profesor Dato' Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor UKM, bersama Ho Teck Seng, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia dan Profesor Madya Dr. Mohd Razif Shahril, Pengerusi Active Healthy Kids Malaysia, UKM. 

Ho yang berucap pada majlis itu berkata,  “Sun Life Malaysia berbangga dapat menyokong inisiatif ini kerana ini adalah kesinambungan daripada tujuan kami membantu orang ramai menjalani kehidupan yang lebih sihat. 

"Kami berharap dapat menyumbang kepada aspirasi AHKGA untuk menggalakkan gaya hidup sihat kanak-kanak melalui kepimpinan pemikiran, pembinaan kapasiti, advokasi dan kesedaran.” 

“Di Sun Life, kami percaya bahawa masa depan yang lestari bergantung kepada generasi muda yang sihat  dan berdaya tahan. 

"Kami percaya bahawa penemuan daripada kad laporan ini akan membantu pihak  berkepentingan, penggubal dasar, pendidik, dan juga ibu bapa mengenal pasti cara yang lebih berkesan  untuk menggalakkan kanak-kanak dan remaja mengamalkan gaya hidup sihat,” tambah Ho. 

“Kanak-kanak dan remaja tidak bergerak dengan cukup untuk menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan yang sihat, dan pandemik COVID-19 hanya telah memburukkan keadaan. 

"AHKGA berbesar hati untuk bekerjasama dengan Sun Life untuk mempromosikan aktiviti fizikal kanak-kanak dan remaja di Malaysia dan di seluruh dunia. 

"Melalui komitmen bersama kami untuk menjadikan kanak-kanak dan remaja lebih aktif secara fizikal, kami berhasrat untuk mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan mereka, termasuk keluarga, kejiranan dan komuniti mereka,” kata Presiden AHKGA Dr. Mark Tremblay, yang juga Profesor Pediatrik di Universiti Ottawa, Kanada. 

“Tidak aktif secara fizikal diakui sebagai faktor risiko untuk penyakit tidak berjangkit utama. Kad Laporan ini  mewakili usaha kolektif untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang status kesihatan dan  kesejahteraan kanak-kanak dan remaja kita. 

"Melihat kepada penemuan, tindakan segera adalah  diperlukan, dan ia adalah tanggungjawab bersama untuk meningkatkan status aktiviti fizikal generasi masa  depan kita,” kata Profesor Madya Dr. Mohd Razif. 


Penemuan Menarik Lain :

Kad Laporan ini juga mendedahkan penemuan menarik lain yang menunjukkan Malaysia ketinggalan  berbanding negara lain dalam beberapa penunjuk utama, contohnya: 

• Satu perlima (20%) remaja Malaysia menggunakan pengangkutan aktif ke dan dari sekolah,  menghasilkan skor D minus (D-). 

• Untuk diet, Malaysia juga mendapat skor D minus (D-), di mana hanya 23.5% remaja berumur 13-17  mencapai hidangan harian buah-buahan dan sayur-sayuran yang disarankan. 

• Malaysia mendapat skor B minus (B-) bagi status berat badan, walaupun lebih separuh daripada kanak kanak dan remaja berumur 5-17 adalah dilaporkan mempunyai berat badan normal (60.2%), 15% berat  badan berlebihan, dan 14.8% diklasifikasikan sebagai obes. 

• Remaja Malaysia menduduki tempat dalam persentil ke-67 untuk tahap fleksibiliti, yang menunjukkan  bahawa tahap fleksibiliti mereka adalah purata berbanding norma antarabangsa, menghasilkan Gred  B. 

Secara positifnya, sekolah di Malaysia menerima gred A minus (A-) untuk akses tetap kepada kemudahan dan peralatan yang menyokong aktiviti fizikal. Gred ini adalah yang tertinggi diterima antara semua  penunjuk dan menunjukkan peningkatan berbanding Kad Laporan 2016 yang mencapai B tambah (B+). 

Bagi tingkah laku sedentari, penunjuk menunjukkan sedikit peningkatan gred dari D ke C bagi remaja  Malaysia yang bersekolah dari umur 10 hingga 17 tahun yang menonton televisyen, komputer dan bermain permainan video selama tidak lebih daripada 2 jam sehari. 


Forum bertajuk “Aktiviti Fizikal Kanak-Kanak dan Remaja di Malaysia - Reset Semula Pasca COVID-19”  turut diadakan semasa acara tersebut. 

Ia menampilkan penceramah panel, Profesor Dr. Poh Bee Koon, Peneraju Kluster Penyelidikan Kesihatan dan Perubatan Termaju UKM; Ho Teck Seng; Ithnin Mahadi, Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia; dan Dr. Vanitha Subramaniam, Ketua Cawangan Kesejahteraan Populasi, Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, yang  membincangkan langkah-langkah praktikal untuk membantu kanak-kanak dan remaja meningkatkan tahap  aktiviti fizikal mereka. 

Sebagai jenama yang menyokong kehidupan lebih sihat, Sun Life Malaysia telah melabur lebih RM3 juta  dalam pelbagai program dan kerjasama, termasuk program pemeriksaan glukosa darah di seluruh negara, bengkel kesihatan fizikal dan mental, serta aktiviti kesejahteraan kewangan untuk membantu masyarakat  

Malaysia mendepani rintangan menuju kepada kesihatan yang lebih baik. - KitaReporters/Kenyataan Media


8
13
0
15
0
You will be interested