Alam & Sains 07 May, 2024

Video| Terbaik NEST, UMT! Ekspedisi Rebak manfaat kepada ekopelancongan dan pengurusan alam semula!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this


REBAK Nature Exploration ke pulau persendirian di Langkawi, Kedah itu memberi peluang kepada Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (Nature Education Society atau NEST) mempamerkan kepakaran yang pelbagai selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), baru-baru ini.

Jika sebelum ini, kepakaran NEST menjurus kepada burung, kini mereka mempunyai kumpulan yang lengkap untuk mengkaji pelbagai spesies atau habitat haiwan.

Pengerusi NEST, Sulaiman Salikan, berkata MoU antara NEST dan UMT memberi banyak manfaat kerana buat pertama kali kami berkolobrasi untuk satu ekspedisi yang memberi manfaat kepada pemilik Rebak Island Resort & Marina, Langkawi malah masyarakat dan negara amnya. 

Pelbagai spesies flora dan fauna yang ditemui ketika Ekspedisi Alam Semula Jadi di Pulau Rebak, Langkawi.


Beliau berkata, ketika Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Taiping, baru-baru ini antara cadangan NEST ialah mengadakan kerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi dan rakan strategik di luar negara, dan alhamdulillah perkara itu kini menjadi kenyataan.

"Kolaborasi NEST dan UMT adalah program korporat pertama selepas MoU, berbanding sebelum ini kami banyak membantu memberi khidmat nasihat kepada agensi-agensi kerajaan dan mengadakan acara (events) tapi ekspedisi Rebak tidak hanya tertumpu kepada burung tapi pelbagai habitat lain seperti ikan air tawar, monyet, tumbuhan, mamalia kecil, rama-rama dan pepatung.

"Penyelidikan ini bagi membina pangkalan data mengenai alam semula jadi di pulau ini untuk kegunaan pengurusan Rebak yang mahu membangunkan penempatan itu sebagai sebuah kawasan pelancong yang berasaskan alam semula jadi dan ekotourisme (ekopelancongan)," katanya kepada KitaReporter selepas ekspedisi selama lima hari, baru-baru ini. 

Sulaiman Salikan


Ia disertai 10 aktivis dan penyelidik daripada NEST dan UMT yang mempunyai kepakaran pelbagai, dari spesies burung, monyet, kelawar, tupai, ikan air tawar, ular, serangga seperti kumbang, tumbuh-tumbuhan sehinggalah kepada mamalia kecil seperti cicak dan mengkarung.

Turut hadir, Pengarah Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari UMT, Prof Madya Dr Amiruddin Ahmad. Beliau mempunyai kepakaran berkaitan ikan air tawar, flora dan fauna. 

Pulau Rebak, Langkawi adalah penempatan persendirian yang dikelilingi hutan tropika semula jadi.


Usaha ke arah ekspedisi itu menjadi kenyataan apabila wakil Rebak di Kuala Lumpur menghubungi pihaknya untuk berbincang mengenai kemungkinan penyelidikan mengenai hidupan alam semula jadi dilakukan oleh NEST dan UMT. 

Sebelum ini, pasukan awal dihantar selama dua hari untuk mengenal pasti kawasan kajian dan bidang tugas yang bakal dilakukan.

Selepas kajian awal itu, kedua-dua pihak menyiapkan kertas cadangan dan dimajukan kepada pengurusan Rebak dan mereka bersetuju NEST dan UMT menjalankan kajian berkenaan. 

Sulaiman mengakui, Rebak mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia pulau persendirian, cuma ekspedisi kali ini dilakukan pada musim kering, jadi penemuan habitat dan spesies agak kurang berbanding musim basah. 


Prof Madya Dr Amiruddin Ahmad. 


"Insya-Allah kami akan datang lagi untuk ekspedisi pada musim basah. Jika kami dapat merakam 45 spesies burung pada masa ini, mungkin kehadiran September (2024) nanti, jumlahnya bertambah, begitu juga habitat lain seperti serangga, reptilia dan hidupan air.

"Data yang diperolehi nanti membolehkan pengurusan Rebak merangka pelan untuk menjadikan pulau itu sebagai antara pulau pelancongan ekotourisme terkemuka bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara. 

"Contohnya, jika ada banyak spesies burung, kami boleh mencadangkan mereka mengadakan pakej melihat burung (birds watching).

"Kepakaran yang pelbagai membolehkan kami mengagihkan tugas kepada penyelidikan malah dalam ekspedisi ini, penyelidik turut menanda (tagging) pokok dan ia  memberi banyak manfaat kepada pengurusan Rebak," kata Sulaiman lagi. 


Penginapan yang selesa dan dikelilingi hutan semula jadi menjadikan percutian di Rebak Island Resort & Marina, Langkawi sangat selesa dan mendamaikan.


Beliau menghargai usaha pengurusan Rebak menganjurkan ekspedisi penyelidikan itu kerana banyak manfaat kepada mereka malah berdasarkan data diperolehi nanti, mereka boleh buat pilihan menyediakan pakej-pakej tertentu seperti birds watching (pencerapan burung), penceritaan pokok, mungkin ada yang pelik dan tiada di tempat lain.

"Dalam tempoh 20 tahun, Rebak Island Resort & Marina, Langkawi beroperasi, ia hanya digambarkan sebagai destinasi percutian di pulau persendirian tapi dengan data baru nanti, ia akan memberi dimensi lebih luas dan lengkap mengenai konsep pelancongan di pulau itu. 

"Jadi, data yang disediakan memudahkan pengurusan Rebak mengadakan promosi untuk menarik pelancong di dalam dan luar negara. Contohnya, jika mahu melihat spesies haiwan, serangga atau tumbuh-tumbuhan tertentu, mereka boleh datang pada bulan-bulan khusus berdasarkan pakej disediakan. 


Pantai Batu Merah, antara keistimewaan lokasi percutian di Pulau Rebak kerana ia unik dan tiada terdapat di tempat lain.


"Selepas ini kami juga akan membawa pakar mengenai batu bata atau ahli geologi kerana mereka juga mahu membuat kajian mengenai aspek itu sebagai tarikan pelancongan terutama dengan adanya pantai batu merah di pulau itu,'' katanya.  

Menurut Sulaiman lagi, jika ekspedisi itu berjaya, ia akan menjadi rujukan dan batu loncatan kepada program-program di tempat lain pada masa depan. 

Malah, mereka mampu menyediakan kumpulan yang lengkap dalam pelbagai kepakaran bagi memudahkan pelanggan mendapat faedah. Ia pakej 5 dalam 1.


Dr Siti Norasikin Ismail


Sementara itu, Penyelidik Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari UMT, Dr Siti Norasikin Ismail, berkata ekspedisi yang julung kali diadakan itu menyasarkan untuk memberi tumpuan kepada tinjauan flora dan fauna di Pulau Rebak yang akan memberi manfaat kepada pengurusan, pelancong, naturalis dan penyelidik. 

Beliau yang juga ketua ekspedisi itu mengakui, senarai dan status spesies adalah penting untuk perlindungan dan pemuliharaan habitat. Ia juga bagi memulihara ekosistem pulau selain memupuk pembangunan mampan dan memelihara biodiversiti unik Pulau Rebak untuk generasi akan datang.  



"Data yang dikumpulkan nanti penting sebagai rujukan untuk pembangunan Pulau Rebak sebagai salah satu tempat tarikan pelancong khususnya pencinta alam semula jadi, mendapatkan senarai semak dan menentukan status pemuliharaan spesies tumbuhan, burung, amfibia, reptilia, rama-rama dan pepatung di Pulau Rebak.

"Alhamdulillah, kami dapat merekod beberapa spesies flora dan fauna di Pulau Rebak, antaranya spesies periuk kera, pokok bakau, herba, burung, amfibia, reptilia, rama-rama dan pepatung.

"Data dari survei ini menunjukkan taburan organisma hidup sewaktu musim kering di pulau itu. Dan, kami bercadang  mendapatkan maklumat pada musim basah dalam ekspedisi September in. Ia untuk manfaat pengurusan Rebak bagi pembangunan pelancongan tapi juga mahu ia memberi kebaikan kepada masyarakat setempat," katanya. - KitaReporters


Salah seorang penyelidik merakam gambar spesies tumbuh-tumbuhan yang ditemui di Pulau Rebak.

15
6
0
14
0
You will be interested