Alam & Sains 06 Sep, 2024

Kita dah kena tipu! Label warna pada tiub ubat gigi bukan petanda toksik! Anak dentis hampir percaya!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Berapa kali anda menggosok gigi dalam sehari? Kekerapan menggosok gigi yang dianjurkan oleh doktor gigi ialah sebanyak dua kali sehari. Bahan asas menggosok gigi ialah berus dan ubat gigi. 

Sehingga kini terdapat pelbagai jenama atau jenis berus dan ubat gigi yang ada dalam pasaran. Pilih sahaja yang mana satu berkenan di hati.

Terdapat beberapa jenis ubat gigi utama seperti ubat gigi berfluorida, sensitif dan pemutih. 

Bagi memahami kandungan, jenis, perisa dan saiz ubat gigi perlu digunakan, anda boleh baca label yang terdapat pada kotak ubat gigi tersebut.




Namun ada mitos atau auta berkenaan ubat gigi yang pernah tersebar. Mitos berkenaan mendakwa label warna yang terdapat pada tiub ubat gigi petanda toksik. 

Maklumat yang tidak betul ini telah disangkal oleh seorang dentis (doktor gigi) dalam media sosial dikenali sebagai Ibshah.

Dia tidak menyangka mitos itu telah membuatkan anaknya sendiri keliru. Sebagai doktor gigi, dia tahu maklumat tersebut tidak betul dan bahaya sekiranya tidak diperbetul terutama untuk generasi akan datang.



Justeru, dia menyeru orang ramai terutama netizen untuk menghentikan mitos tersebut. 

Menurutnya, label warna pada tiub ubat gigi itu untuk memudahkan kerja-kerja pembungkusan kilang dan bukannya label toksik seperti yang diuar-uarkan.

"Warna pada hujung tiub ubat gigi itu dinamakan eye mark. Ia digunakan oleh mesin sebagai tanda untuk lipat dan heat stamp. Bukan sebagai tanda apa kandungan ubat gigi itu," tulisnya.

Tambahnya lagi, hampir semua tiub yang menggunakan teknologi dan mesin, akan ada eye mark. Tidak hanya ubat gigi sahaja. Eye mark tersebut juga didatangkan dalam pelbagai warna kerana berbeza kilang.



Tegasnya lagi, mitos atau penipuan ini timbul disebabkan tujuan pemasaran (marketing) bagi menarik perhatian pembeli.

"Jadi, kenapa wujudnya hoax ini? Pada saya ia tujuan marketing. 

"Apabila kita takutkan orang lain dengan mengatakan ubat gigi pesaing mengandungi bahan kimia dan ubat gigi keluaran syarikat sendiri lebih natural, jualan akan meningkat. Pada saya ini marketing murah dan tidak beretika," jelasnya.



Perkongsian ini menarik perhatian netizen. Pelbagai pendapat dan komen diberikan. Ada yang memuji dan terhibur dengan perkongsian tersebut.

"Hahaha, 'silaplah bapak kau dentist' tu lawak. Memang macam-macam hoax sekarang. Belum lagi bab AI manipulasi guna muka orang. Dunia nak akhir zaman dah," tulis seorang netizen.



Seperti yang disebut pada awalnya, sekiranya mahu memilih ubat gigi, rujuklah bahan-bahan yang digunakan. Paling penting, ubat gigi kena ada fluorida untuk menguatkan gigi dan menghalang bakteria.

Jangan kerana terpengaruh dengan mitos yang bertebaran, anda buang ubat gigi yang ada di rumah. Bak kata doktor gigi ini, jadilah pengguna bijak! - KitaReporters


10
16
0
12
0
You will be interested