Alam & Sains 14 Aug, 2020

Janganlah kecam! Haliza hasilkan tudung bawal termahal dunia

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: akmar_mm@yahoo.com

Share this

INI bukanlah kali pertama pengasas tudung Bawal Exclusive mempersembahkan tudung bawal termahal yang bernilai puluhan dan ratusan ribu ringgit. Sebelum ini, pada tahun 2019, tudung bawalnya menjadi sebutan apabila berjaya dijual dengan harga RM50,000 yang bertakhtakan batu kristal Swarovski. : KitaReporters


Lagi cerita-cerita berkaitan tudung:

https://kitareporters.com/search?search=tudung


Malah, dek kerana kemewahan harga tudungnya itulah yang membuatkan jenama tudungnya menjadi terkenal walaupun terpaksa berdepan dengan kecaman netizen. Alah sakit tegal biasa, kecaman adalah separuh daripada ‘strategi’ perniagaan wanita dari Kelantan, Haliza Maysuri dan suaminya, Mohd Rosli Awang ini.

Tudung bawal ini ditaburi sebanyak 7,512 kristal Swarovski dan mengambil masa selama 320 jam untuk disiapkan.


Baginya, biarlah netizen mengecam asalkan jenamanya disebut-sebut orang. Begitulah lumrah ahli perniagaan, pemikiran perlu sentiasa di luar kotak agar jenama terus kukuh dan dikenali ramai.

Membazir? Bagaimana dikatakan membazir kalau ia mampu memberi pulangan yang lumayan. Lagipun apa salahnya untuk seorang wanita memilikinya sebagai hadiah atau motivasi kepada yang lain untuk bekerja keras.

“Saya sudah lali dengan kecaman. Ketika saya hasilkan tudung bawal bernilai RM50,000 pada tahun lepas, pelbagai kecaman saya terima. Ada yang kata daripada beli tudung mahal seperti ini, baiklah beli sesuatu yang berfaedah.

“Bagi saya tidak salah untuk para wanita dihadiahkan atau menghadiahkan diri sendiri dengan tudung eksklusif seperti ini. Selain itu, ia turut memberi motivasi kepada wanita untuk bekerja lebih keras,” jelasnya.

Tudung bawal mewah ini akan dipamerkan di butiknya yang terletak di Puchong, Selangor.


Haliza ditemui ketika pelancaran tudung termahal di dunia bertakhtakan kristal Swarosvki di salah sebuah hotel terkemuka di ibu kota pada petang Rabu 13 Ogos 2020. Menariknya, tudung terbaharunya ini memecah rekod harga yang terdahulu sehingga mendapat pengiktirafan dari Malaysia Book of Record sebagai tudung termahal di dunia.

Mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record sebagai tudung termahal di dunia.


Tudung bawal berharga RM100,000 ini dibuat khusus sempena pembukaan Private Lounge Bawal Exclusive yang terletak di Puchong, Selangor.

Menurut Haliza, tudung bawal ini telah dibuat di Austria Swarovski Head of Design Team dan berdiameter 1.14 meter sama serta ditaburi 7,512 kristal Swarovski. Penghasilannya mengambil masa 320 jam untuk disiapkan dan membabitkan 12 orang pekerja. Jadi, tidak hairanlah harganya mencecah ratusan ribu ringgit.

Namun, tegas Haliza, kali ini dia tidak berniat untuk menjual tudung bawal ini, sebaliknya hanya digunakan sebagai bahan pameran di butiknya yang terletak di Puchong itu.


Pasti selepas ini akan timbul lagi kritikan dan kecaman. Cuba jangan pandang ia dari sudut negatif. Pandanglah ia dari sudut positif. Sekiranya mampu, apa salahnya. Sekurang-kurangnya ia memberi motivasi dan inspirasi kepada wanita di luar sana untuk bergelar usahawan berjaya.

Apa yang penting, mahal atau tidak, menutup aurat adalah wajib! - KitaReporters

1
2
0
1
0
You will be interested