IDEA kreatif Pasukan Dzalis Smart Ino dari SMK Dato’ Razali Ismail dinobatkan sebagai juara pertandingan Samsung Malaysia Electronics bertemakan Solve for Tomorrow 2022 dalam pertandingan anjuran bersama Samsung Malaysia Electronics dengan Pusat STEM Universiti Malaya (UM) yang berakhir pada 3 Disember 2022.
Pelajar itu membawa pulang produk Samsung bernilai RM30,000 menerusi idea dan penyelesaian kreatif dalam menangani salah satu isu utama di Malaysia iaitu Kesihatan & Kesejahteraan Hidup.
Pasukan hebat dari SMK Dato’ Razali Ismail ini dibarisi Jasqmin, Nur Aim Umairah dan Putera Ahmad Danish Zaquan di bawah bimbingan guru, Che Norhamira Che Mohd.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan idea-idea kreatif
Pasukan Dzalis Smart Ino dari SMK Dato’ Razali Ismail
"Pasukan Dzalis Smart Ino dari SMK Dato’ Razali Ismail berjaya mencipta termos berkuasa solar, FoodDeck untuk menyimpan makanan dalam persekitaran yang sesuai. Alat ini merupakan salah satu usaha untuk memastikan makanan bebas bakteria dan mencegah pembaziran.
"Idea ini tercetus setelah melihat peniaga gerai makanan tidak dapat menyimpan makanan dengan cara yang bersih dan individu yang gemar memasak namun tidak mempunyai ruang yang cukup untuk menyimpan makanan yang belum habis dimakan.
"Termos ini bukan sahaja direka untuk mengekalkan suhu makanan tetapi juga boleh menyimpan makanan dalam keadaan sejuk. Pasukan hebat ini dibarisi Jasqmin, Nur Aim Umairah dan Putera Ahmad Danish Zaquan di bawah bimbingan guru, Puan Che Norhamira bt. Che Mohd," menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan pada 12 Disember 2022.
Pasukan Tropbotz dari SMK Tropicana
Manakala pasukan Tropbotz dari SMK Tropicana telah mendapat tempat kedua dan membawa pulang produk Samsung bernilai RM25,000 manakala Pasukan NewGen Leaders dari SMK Seri Bintang Utara menduduki tempat ketiga dan membawa pulang produk Samsung bernilai RM20,000.
"Pasukan Tropbotz dari SMK Tropicana telah berjaya memenangi tempat kedua apabila mencipta sangkar haiwan peliharaan pintar, IoT Pet Guardian yang direka untuk memantau, memberi makan dan menjaga kesejahteraan haiwan peliharaan.
"Sangkar ini digabungkan dengan IoT untuk memantau dan menerima maklumat suhu rumah haiwan peliharaan. Sangkar tersebut akan diprogramkan dan bertindak seperti pemilik haiwan peliharaan untuk membuka pintu perangkap tandas pada masa yang ditetapkan, meletakkan makanan ke dalam mangkuk dan mengisi air ke dalam bekas.
"Pasukan SMK Tropicana ini terdiri daripada Chua Wei Ming, Tee Yi Zhe dan Muhammad Aqil di bawah bimbingan guru mereka, Khor Puay," menurut kenyataan itu lagi.
Pasukan NewGen Leaders dari SMK Seri Bintang Utara
"Kesihatan mental telah menjadi sebuah topik hangat yang sering dibincangkan. Pasukan NewGen Leaders dari SMK Seri Bintang Utara telah mengambil peluang ini sebaik mungkin untuk membuktikan mereka boleh membawakan penyelesaian kepada masyarakat.
"Pasukan ini telah memenangi tempat ketiga apabila berjaya mencipta SimplySmile, sebuah aplikasi mudah alih yang menumpukan kesihatan mental yang dilengkapi dengan chatbot AI untuk mengenal pasti emosi dan biometrik - dipantau melalui
Samsung Health. SimplySmile memainkan peranan agar anda sentiasa mempunyai teman di sisi walau di mana jua anda berada.
"Aplikasi ini menyuntik kata-kata positif sebagai langkah awal kepada pengguna untuk mengubah perasaan dan tingkah laku mereka daripada negatif menjadi positif!
"Pasukan SMK Seri Bintang Utara ini terdiri daripada Chuah Yee Jia, Chuah Yee En dan Ahmad Jazeel di bawah bimbingan guru, Lee Saw Im," jelas kenyataan itu lagi.
Manakala Pasukan Fishballz dari SMK Taman Desa dan Pasukan The Green Scientists dari SMK(L) Methodist Sentul masing-masing telah menerima hadiah saguhati produk Samsung bernilai RM6,600.
Pertandingan akhir telah berlangsung di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya dengan para peserta telah membentangkan idea kreatif mengikut isu-isu yang terdapat dalam masyarakat.
Pasukan Fishballz dari SMK Taman Desa
“STEM memiliki kredibiliti tinggi untuk kekal relevan pada masa akan datang. Matlamat kami untuk mengembangkan kemahiran STEM melalui Solve for Tomorrow dapat dicapai agar pelajar dapat menerapkannya sebagai kerjaya suatu hari kelak.
"Kami juga tertarik dengan konsep dan penyelesaian yang diberikan oleh para pelajar yang semakin berinovatif setiap tahun. Tahniah diucapkan atas kejayaan mereka. Pelajar-pelajar ini adalah masa depan yang pastinya mempunyai daya pemikiran untuk melakukan perubahan kepada masyarakat dan negara,” ujar Pengarah Hal-Ehwal Korporat Samsung Malaysia Electronics, Dato’ Roh Jae Yeol.
Juri Ir. Dr Mas Sahidayana Mohktar yang juga Pengarah Pusat STEM UM pula berkata, “Kami berasa sangat bertuah kerana dapat menyaksikan kehebatan para pelajar menghasilkan prototaip yang membantu menangani masalah yang dihadapi masyarakat.
"Para pelajar berpotensi tinggi untuk melakukan perubahan kepada masyarakat dan niat murni ini telah mengasah minda anak muda untuk mencipta penyelesaian yang lebih berkesan. Para juri sememangnya menghadapi kesukaran untuk menentukan pemenang."
Lima peserta peringkat akhir telah berjaya membentangkan idea mereka di hadapan para juri dengan kesungguhan yang dipamerkan dalam mencari penyelesaian. Setiap pasukan juga telah membentangkan prototaip diikuti dengan sesi soal jawab ringkas di sebalik idea mereka.
Para pelajar juga berkongsi pandangan dan pengetahuan dengan para juri tentang isu yang dipilih seterusnya mengembangkan idea-idea bernas berlandaskan STEM.
Barisan juri terdiri daripada Ir. Dr. Mas Sahidayana Mohktar, Pengarah Pusat STEM UM; Profesor Dr. Noran Naqiah Mohd Hairi, Dekan Kluster Penyelidikan Kesihatan dan Kesejahteraan Hidup, UM; dan Profesor Dr. Sithi Vinayakam a/l Muniandy dari Jabatan Fizik UM. - KitaReporters
Pasukan The Green Scientists dari SM K(L) Methodist Sentul