Tahukah anda 90 peratus perdagangan di dunia menggunakan mod pengangkutan laut untuk menghantar bekalan barangan dagangan seperti petroleum, makanan, hasil pertanian, jentera, kenderaan dan lain-lain.
Maka tunjang pengangkutan laut adalah pelaut yang mengendalikan kapal dari sebuah pelabuhan ke pelabuhan yang lain.
Profesion sebagai seorang ‘pelaut’ (seafarer) atau menceburi bidang perkapalan mungkin tidak popular seperti seorang doktor, akauntan, guru dan jawatan-jawatan lain yang menjadi buruan kebanyakan anak-anak muda terutama lepasan universiti-universiti dalam dan luar negara.
Apakah soal tawaran gaji dan faedah perkhidmatan yang tidak
menarik serta jaminan masa depan yang suram menjadi penghalang kepada golongan
belia untuk berkecimpung sebagai seorang
pelaut?
Malah bidang ini dianggap sebagai jalan terakhir untuk membina kerjaya pada masa depan apabila semua peluang pekerjaan tertutup.
Lebih menyedihkan lagi, terdapat sebilangan kecil golongan muda memandang rendah atau sebelah mata terhadap kerjaya tersebut kerana dianggap kotor,bahaya dan sukar (3D – Dirty, Dangerous and Difficult).
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan laut dan lautan
Dunia kepelautan pula dilihat seakan mengekang kebebasan pergerakan seseorang individu untuk bergerak bebas; tidak seperti mereka yang bekerja di sektor pejabat, kilang, perladangan dan lain-lain.
Pelaut terpaksa meninggalkan kediaman atau tempat tinggal mereka
termasuk ahli keluarga mereka dalam tempoh yang panjang di laut sehingga
menyebabkan kehidupan mereka terasing dan berbeza daripada masyarakat yang
tinggal di daratan atau tanah besar.
Pelaut yang terdiri daripada kapten (kapal), petugas-petugas kejuruteraan, juruteknik, kelasi, kru dek, ejen perkapalan dan banyak lagi terbabit dalam industri pengangkutan maritim global khususnya perdagangan berkaitan import eksport.
Mereka bertanggungjawab untuk mengendalikan operasi sesebuah kapal sama ada berada di pelabuhan (ketika berlabuh) atau belayar di lautan menuju destinasi masing-masing iaitu dari satu pelabuhan ke satu pelabuhan.
Kerjaya sebagai seorang pelaut dianggap tidak popular dan hebat seperti lain-lain pekerjaan. - Gambar hiasan.
Pada tahun 2019, Kementerian Pengangkutan Malaysia mencatatkan sebanyak 7,226 pelaut negara dan 72 (satu peratus) daripadanya adalah kaum wanita yang aktif memberikan perkhidmatan kepada kapal asing dan domestik.
Menurut statistik Jabatan Laut Malaysia, kini hampir 100,000
buah kapal melalui Selat Melaka yang direkodkan tahun 2021 dan menjadikannya
antara laluan tersibuk dunia.
Malaysia turut memiliki dua buah pelabuhan yang tersenarai sebagai antara 20 terbaik dunia dari segi isi padu kontena iaitu terletak di Pelabuhan Klang, Selangor dan Tanjung Pelepas, Johor.
Dalam laporan Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) pada 2020, Malaysia berada di tangga ke-31 dunia dalam pemilikan armada mengikut tan berat muatan dan kedudukan ke-23 dalam pendaftaran bendera mengikut berat muatan.
Namun begitu, jasa pelaut tidak lagi dipandang sepi kerana pada setiap tahun tanggal 25 Jun, golongan ini akan diraikan dengan sambutan ‘Hari Pelaut Sedunia’ bagi menghargai jasa mereka serta mengiktiraf profesion mereka agar setanding dengan kerjaya-kerjaya lain.
Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) menetapkan pada 25 Jun 2011 lalu sebagai sambutan pertama majlis keraian tersebut dan tahun 2022 ini tema yang dipilih iaitu “Your Voyage Then And Now, Share Your
Journey” yang bermaksud “Perjalanan Pelaut Dulu Dan Sekarang, Kongsikan
Perjalanan Anda”.
Selamat Hari Pelaut Sedunia 2022. - KitaReporters
Rujukan:
https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/02/919095/sumbangan-pelaut-kurang-diiktiraf-nasib-masih-terabai
Srikandi samudera (siaran Harian Metro 21 Disember 2021)
Perkemas industri perkapalan, pelabuhan negara (BH 19 Mac 2021)
https://youtu.be/CtULon5xZ_U