BIASANYA harga makanan di bandar besar mahal. Tetapi tahukan anda di kawasan terpencil Korowai, di Kabupaten (Daerah) Pergunungan Bintang, Papua, Indonesia harga barangan berkali ganda mahalnya. Memang menghairankan jika di kawasan yang jauh daripada manusia dan tidak didiami ramai, harga barang lebih mahal daripada di Jakarta atau bandar-bandar besar lain di Indonesia. : KitaReporters
KAWASAN Perlombongan 33 adalah antara kawasan perlombongan emas secara tradisional di Korowai, Pegunungan Bintang, Papua. - Kredit foto: Jakartapost.com
Di Malaysia sendiri, berapakah biasanya harga yang perlu dibayar untuk satu kampit beras 10 kilogram? Tertakluk kepada jenis beras, biasanya dalam lingkungan RM25 sudah boleh membawa pulang beras 10 kilogram.
Berapa pula harga mi segera? Biasanya bungkusan yang mengandungi lima paket berharga dalam lingkungan RM5. Ini bererti satu paket berharga lebih kurang RM1.
Tetapi di Pergunungan Korowai, harga 10 kilogram beras
ialah 2 juta Rupiah atau RM596!!!
Memetik laporan The Jakarta Post, sebagai perbandingan, harga satu kilogram beras di Jakarta ialah antara 10 hingga 11 ribu rupiah (RM3 hingga RM3.25).
Ini bererti untuk 10 kilogram beras harganya ialah
antara 110,000 hingga 111,000 rupiah (RM30 hingga RM32.50). Jelas berpuluh kali
ganda beza harga di Jakarta dengan di Korowai.
Lihat pula harga satu paket mi segera di Korowai. Menurut The Jakarta Post, setiap satu paket berharga 25 ribu rupiah (RM7.38).
Biasanya pembelian secara pukal iaitu satu bungkusan besar berharga 1 juta rupiah (RM295), mengandungi lebih kurang 40 paket.
PAPUA bersempadan dengan Papua New Guinea dan Papua Barat. Ke selatan negara itu ialah Australia. -Kredit foto: Google Maps.
Mungkin harga mahal ini disebabkan kawasan Korowai ialah antara kawasan lombong emas tradisional di Papua.
Namun ia bukanlah lombong besar yang diusahakan secara moden. Sebaliknya ia hanyalah lombong kecil-kecilan yang diusahakan secara tradisional dan tulang empat kerat penduduk.
Mungkin ia lebih kurang sama seperti melombong emas secara tradisional di kawasan Lubuk Mandi, Terengganu yang popular satu ketika dahulu sehingga menjadi tumpuan ramai sebelum ditutup oleh kerajaan kerana berbahaya.
Kerana adanya hasil emas di Korowai, ada kalangan penduduk membayar barangan yang mereka beli secara pertukaran dengan emas.
Misalnya bagi satu bungkusan besar mi segera berharga RM295 dibayar dengan dua gram emas.
Menurut pentadbir Koperasi Perlombongan Karowai Kawasan 33, Hengki Yaluwo, untuk beras 10 kilogram bayarannya dengan emas ialah 4 gram.
Kredit foto; Kompas.com
Dibandingkan dengan kawasan lain, Korowai terpencil dan mundur sekalipun dikelilingi oleh lima daerah, Pergunungan Bintang, Yahukimo, Asmat, Boven Digoel dan Mappi.
Untuk sampai ke Korowai, perlu melalui perjalanan sukar.
Seseorang perlu menaiki helikopter dari daerah Bovel Digoel dan kemudian menyambung perjalanan menaiki bot panjang menyusuri sungai Boven Digoel sehari suntuk.
Selepas itu perlu berjalan kaki selama dua hari sebelum akhirnya sampai ke kawasan perlombongan di Korowai.
Menurut seorang penduduk Korowai, Ben Yarik, kawasan tersebut didiami oleh keturunan suku Korowai yang merupakan salah satu suku penduduk asli di bahagian timur Papua.
Dia memberitahu, kerajaan tidak membawa apa-apa pembaharuan di Korowai. Tetapi penduduk diberi rahmat adanya emas di kawasan tersebut yang mereka lombong demi kelangsungan hidup.
Bagi penduduk, emas adalah sumber pendapatan dan berharap kerajaan tidak menutup lombong itu kerana ia adalah sumber pendapatan mereka. - KitaReporters