Alam & Sains 01 Nov, 2020

Sama-sama kawal COVID-19 dan denggi! Kedua-dua sama bahaya!

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
DEMAM denggi dan wabak COVID-19 perlu sama-sama ditangani dengan seimbang secara berkesan supaya penularannya dapat disekat serta dibanteras dengan berkesan untuk keselesaan kehidupan masyarakat seluruhnya. : KitaReporters

Info grafik mengenai kes denggi yang dilaporkan di Selangor sepanjang tahun 2020 mengenai jumlah kes keseluruhan, kes baharu untuk tempoh minggu epidemik (ME) ke-42 dan jumlah kematian bagi tahun 2020. - Kredit foto: Jabatan Kesihatan Selangor dan Jabatan Penerangan Selangor.


Lagi cerita-cerita berkaitan demam denggi:

https://kitareporters.com/search?search=denggi


Kebelakangan ini wabak demam denggi seolah-olah seperti 'diabaikan' khususnya oleh masyarakat setempat di mana aspek kebersihan kurang dijaga hingga terdapat tempat tempat pembiakan nyamuk aedes yang menjadi punca kepada penyakit tersebut ada di merata kawasan. 

Sepatutnya semua orang tanpa mengira warga tempatan mahupun orang asing yang datang ke negara ini perlu sama-sama bertanggungjawab menjaga kawasan di mana mereka tinggal tidak kira di taman-taman perumahan atau kediaman bertingkat-tingkat sentiasa kerap diselia dari aspek kebersihan serta menghapuskan apa juga keadaan boleh menjadi punca pembiakan nyamuk aedes yang membawa demam denggi.
Malangnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di antara 18 Mac hingga 12 Mei 2020 dan PKP Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember 2020 di negara kita, masalah kes demam denggi berpunca daripada nyamuk aedes sering berlaku sama ada di kawasan kediaman perumahan teres, kondominium, pangsapuri mahupun rumah kos rendah.
Isu ini wajar ditangani secara bersama oleh setiap ahli masyarakat setempat tanpa perlu mengharapkan sepenuhnya kerajaan semata-mata, sebaliknya boleh dilakukan melalui usaha gotong royong menjaga kebersihan kawasan dan memusnahkan punca pembiakan nyamuk aedes dan aktiviti tersebut perlu dijalankan secara berkala.

Carta kes mingguan denggi yang didaftarkan di Selangor bagi tahun 2019-20020.


Kesan daripada wabak demam denggi yang kerap berlaku sekalipun ada dilaporkan berlaku penurunan kes di tempat-tempat tertentu, namun ia agak merungsingkan lebih-lebih lagi jika aktiviti pengawalannya tidak dilakukan secara teratur oleh masyarakat setempat termasuk kurang menjaga kebersihan kawasan kediaman dan sekitaran, masalah sampah sarap yang dibuang merata-rata walaupun sebenarnya tong-tong sampah ada disediakan, dan juga tiada inisiatif memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes selaku agen wabak berkenaan.

Menurut laporan terbaharu Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dari Januari sehingga Sabtu, 24 Oktober 2020, sejumlah 40,739 kes demam denggi berlaku di seluruh negeri. Jumlah ini menurun sebanyak 32.1% atau 19,285 kes jika dibandingkan bagi tempoh yang sama selama 43 minggu epidemik (ME) pada tahun 2019.
Manakala jumlah kematian berpunca daripada demam denggi bagi tempoh yang sama ialah 36 kes menurun sebanyak 28%  atau 14 kes berbanding 50 kes sepanjang tahun 2019.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Dato' Dr Shaari Ngadiman merujuk kepada kenyataannya dikeluarkan pada Isnin 26 Oktober 2020 berkata, sepanjang tujuh hari di antara 18 hingga 24 Oktober 2020, sejumlah 460 kes demam denggi dilaporkan di negeri itu berbanding 481 kes pada minggu sebelumnya iaitu turun sebanyak 4.4%.

Lima daerah utama mencatatkan kes demam denggi tertinggi di Selangor tahun 2020 ialah Petaling 14,199 kes (34.9%), Hulu Langat 8,683 kes (21.3%), Klang 6,594 kes (16.2%), Gombak 5,933 kes (14.6%) dan Sepang 2,276 kes (5.6%).

Sementara itu, jumlah lokaliti wabak denggi aktif sebanyak 178 dengan perincian lokaliti hotspot (kawasan merah) 11, wabak tidak terkawal 15, wabak terkawal 143 dan wabak baharu 9. Bilangan lokaliti hotsport berdasarkan daerah pula ialah Hulu Langat 6 dan Petaling 5.

Selain memberi penerangan pelbagai perkara berkaitan COVID-19 dan PKPB yang berjalan sekarang, Jabatan Penerangan Negeri Selangor memainkan peranan menyalurkan maklumat mengenai demam denggi sama bahayanya dengan wabak koronavirus 2019 yang diberi tumpuan sekarang.

Sekalipun Negeri Selangor mencatatkan bilangan kes demam denggi di bawah 500 kes seminggu bagi tempoh empat minggu epid berturut-turut, Dr Shaari menasihatkan orang ramai di Selangor supaya tidak leka sebaliknya perlu terus mengamalkan langkah pengawalan  dan penghapusan wabak demam denggi.
Untuk tujuan ini, katanya, para pemilik premis digalak melakukan aktiviti pembersihan setiap minggu kawasan persekitaran di dalam dan di luar rumah masing-masing. Juga hapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes selaku agen kepada wabak denggi. 

"Luangkan masa hanya 10 minit seminggu bagi memestikan semua takungan air yang tidak digunakan di persekitaran kawasan masing-masing dimusnahkan. Bagi takungan air kekal sentiasa ditutup atau letakkan ubat pembunuh jentik-jentik dan diperiksa sekurang-kurangnya seminggu sekali," ujarnya lagi.


Penjagaan kebersihan perlu dijalankan secara berkala sama ada oleh individu mahupun anggota komuniti bagi menjamin tidak wujudnya pembiakan nyamuk aedes yang boleh menyebabkan demam denggi di sesuatu lokaliti.
Beliau meminta orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat tambahan berkaitan kawalan dan pencegahan denggi boleh memperolehinya melalui laman web http://www.infosihat.gov.my.
Marilah kita sama-sama berkorban menjaga kebersihan kawasan kediaman dan persekitaran di samping bertanggungjawab memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes dalam usaha membasmi wabak denggi semata-mata untuk keselesaan dan kesejahteraan masyarakat seluruhnya.
Kalau bukan kita yang melakukannya siapa lagi? 

Hanya melalui kesedaran dan rasa tanggungjawab untuk melaksanakan usaha menjaga kebersihan sekitaran, wabak penyakit yang berpunca daripada denggi dapat dikawal serta dihapuskan dengan berkesan.


Jika masyarakat setempat prihati dengan isu kebersihan ia tidak perlu menunggu program-program tertentu untuk pembersihan sampah sarap .Berpunca daripada pengabaian kebersihan wujud berbagai-bagai penyakit termasuk demam denggi kerana pembiakan nyamuk aedes di kawasan berkenaan.
Sekalipun kerajaan melaksanakan berbagai program bagi tujuan membanteras mahupun menghapuskan wabak denggi dengan belanja yang agak besar, jika masyarakat tidak mahu bekerjasama sudah tentulah akan mejadi sia-sia sahaja.
Oleh itu mulai sekarang sebagai ahli masyarakat prihatin dan mempunyai visi pandangan masa depan mahukan komuniti masyarakat selesa dan sihat serta negara sejahtera, marilah sama-sama berganding bahu ke arah mencapai matlamat tersebut dengan bekerjasama tulus ikhlas supaya masalah penularan wabak demam denggi dapat dihentikan dengan berkesan pada masa akan datang.
Tanpa aedes, rakyat sihat negara sejahtera lagi gemilang. Jadikan aedes sebagai eleman yang perlu dinyahkan daripada kehidupan masyarakat seperti juga COVID-19 yang sentiasa 'diperangi' sepanjang masa. - KiteReporters

Kios informasi denggi perlu diperbanyakkan untuk memudahkan orang ramai mendapat maklumat mengenai demam denggi termasuk aspek pengenalan dan pencegahan penyakit yang berpunca daripada nyamuk aedes.

0
0
0
0
0
You will be interested