Alam & Sains 17 Oct, 2021

Video| TikTok kisah Mona Fandey raih 1j tontonan! Dya kumpul 140k pengikut dalam tempoh 3 bulan!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Nur Diyana Mohamad. - Kredit foto: FB Dya Mohamad


Bermula secara suka-suka, seorang jurutera, Nur Diyana Mohamad, 31, tidak menduga dia kini adalah antara TikTokers yang meraih tontonan tinggi serta memiliki jumlah pengikut yang ramai.

Malah, Nur Diyana atau mesra dengan panggilan Dya, tidak menduga, dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini jumlah pengikutnya melonjak dengan drastik apabila kini mencecah hampir 140,000 orang.

“Saya mula membabitkan diri dengan TikTok sejak Januari 2021 secara suka-suka, sekadar untuk mengisi masa terluang serta minat terhadap penulisan dan video.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan TikTok

Dya menggunakan TikTok untuk menyampaikan maklumat dan ilmu. - Kredit foto: FB Dya Mohamad.


“Sebelum itu saya lebih aktif melalui saluran YouTube tapi ia kurang mendapat sambutan. Mungkin pengisian saya kurang menarik. Saya juga aktif menulis melalui blog dengan skop penulisan saya lebih berkisar cerita-cerita misteri berdasarkan pengalaman sendiri serta rakan-rakan.

“Apabila TikTok mula popular, saya tak mahu ketinggalan untuk meneroka bidang baharu itu apatah lagi saya lihat pengendaliannya lebih mudah.

“Tapi, satu hal yang saya sedari, penerimaan masyarakat terhadap TikTok ketika itu agak negatif ekoran bahan-bahan yang dipersembahkan kebanyakannya berunsur ringan serta dianggap sebagai hiburan semata-mata. Persepsi inilah yang mahu saya ubah kerana bagi saya, apapun salurannya, jika kita mengisinya dengan perkara positif, maka positiflah hasilnya, begitu juga sebaliknya.

“Saya mahu menjadikan TikTok sebagai penyampai maklumat dengan fakta yang tepat serta berilmu walaupun topik yang dipilih masih bersifat ringan dan santai seperti kisah misteri, legenda, sejarah dan lain-lain,” ujar ibu kepada dua cahaya mata itu.


Video mengenai Mona Fandey yang meraih 1 juta tontonan. - Kredit video: TikTok @dyamohamad90


Bagaimana pun, menurut Dya, pada peringkat awal dia tidak konsisten dalam penerbitan serta bahannya juga lebih bersifat ala kadar, jadi sambutan yang diterima pun suam-suam kuku sahaja.

Dya yang bekerja sebagai jurutera perisian di sebuah syarikat terkemuka, sedar dia perlu lebih serius jika mahu menjadi TikTokers yang berpengaruh.

“Mulai Julai (2021) lalu, saya mula serius meneroka bidang ini dengan menyertai kursus yang mana saya dibimbing dalam pelbagai aspek seperti pengisian bahan, penampilan, penyampaian serta cara untuk menarik minat penonton.

“Alhamdulillah, selepas mempraktikkan apa yang dipelajari, saya mula menguasai bidang ini dan video-video TikTok yang saya hasilkan mula mendapat tontonan tinggi dan jumlah pengikut saya juga bertambah setiap hari.

“Saya sendiri tidak menjangka malah agak terkejut apabila dalam tempoh dua bulan, jumlah pengikut saya mencecah 100,000 dan terkini selepas tiga bulan, ia hampir mencecah hampir 140,000,” katanya.



Saya tidak memilih sisi gelap beliau sebaliknya menonjolkan perkara positif mengenai Mona Fandey yang jarang diperkatakan orang." 


Antara video TikTok Dya yang mendapat tontonan tinggi adalah kisah mengenai Allahyarham Mona Fandey yang mana ia ditonton oleh seramai 1 juta orang.

Malah, video itu turut dipilih sebagai pemenang tempat kedua pertandingan Wartawan TikTok Sinar anjuran akhbar Sinar Harian.

“Saya memilih topik mengenai Mona Fandey kerana saya dapati Allahyarham adalah figura yang masih popular serta tetap mendapat perhatian setiap kali ceritanya dipaparkan walaupun sudah 20 tahun beliau meninggal dunia.

“Meskipun sudah banyak cerita dipaparkan mengenai Mona Fandey sama ada melalui media cetak mahu pun elektronik, namun saya nampak masih ada ruang untuk saya bercerita mengenai wanita itu.

“Tapi, saya tidak memilih sisi gelap beliau sebaliknya menonjolkan perkara positif mengenai Mona Fandey yang jarang diperkatakan orang. Mungkin atas faktor itu, video berkenaan mendapat tontonan tinggi.

“Tapi, ditonton oleh sejuta orang, ia benar-benar luar jangkaan saya, apatah lagi dipilih pula sebagai pemenang tempat kedua oleh Sinar Harian. Saya difahamkan, sebanyak 1,000 video TikTok dinilai oleh panel juri pertandingan itu,” katanya.

Kejayaan itu melayakkan Dya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM750, trofi dan sijil serta tawaran kontrak sebagai wartawan Sinar Harian selama enam bulan.


Kredit video: TikTok @dyamohamad90


Selain itu, beberapa video dihasilkan oleh Dya turut mendapat tontonan tinggi. Antaranya adalah mengenai 10 pantai di Malaysia yang ada buaya dan isu ramalan saintis beberapa negeri di negara ini yang bakal ditenggelami air pada 2050.

Menurut Dya, sambutan luar biasa yang diterimanya menyebabkan dia sangat bersemangat menghasilkan video setiap hari.

“Sekarang, setiap hari saya pastikan ada sekurang-kurangnya satu video. Selalunya, tiga hari sebelum penghasilannya, saya mula mengumpul bahan serta membuat persediaan.

“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah kekeringan idea. Kebanyakan bahan-bahan ini saya perolehi melalui pembacaan serta isu-isu semasa,” ujar Dya.

Kejayaan Dya itu turut mendapat pengiktirafan daripada TikTok apabila dia dipilih menyertai program TikTok Creator yang menawarkan pelbagai manfaat. - KitaReporters


Dya mendapat pengiktirafan apabila dipilih menyertai program TikTok Creator. 

 

 

 

 

21
13
0
10
1
You will be interested