Alam & Sains 05 Jun, 2021

Vaksin Covid-19 mampu tingkatkan daya seksual? Boleh jadi gimik terbaik galak terima vaksin?

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


LAPORAN sebuah portal berita Indonesia, Fajar.co.id , baru-baru ini, dengan tajuk “Penerima Vaksin Covid-19 Mengaku Stamina Kuat dan Tahan Lama di Ranjang” menarik perhatian ramai bukan sahaja di negara itu malah turut tular ke Malaysia.

Menurut laporan itu, beberapa orang penerima vaksin di Kota Bogor, Jawa Barat, membuat pengakuan yang mengejutkan apabila mendakwa mengalami peningkatan daya seksual selepas mengambil vaksin.

“Stamina saya jadi kuat setelah divaksin. Isteri saya jadi hairan, dia sangka saya minum ubat kuat,” kata salah seorang penerima vaksin sebagaimana dilaporkan portal berkenaan.

"Stamina saya jadi kuat setelah divaksin. Isteri saya hairan, dia sangka saya minum ubat kuat."


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan vaksin Covid-19

Laporan portal Fajar.co.Id mengenai pengakuan penerima vaksin yang mendakwa prestasi mereka lebih hebat selepas mengambil vaksin menjadi tular bukan sahaja di Indonesia malah di Malaysia. - Kredit foto: Fajar Online


Lelaki berusia 50 tahun itu yang enggan mendedahkan namanya, mengaku tubuhnya berasa lebih segar serta berpeluh selepas mengambil vaksin. Pengalaman sama turut dikongsi oleh seorang rakannya.

“Saya juga begitu (kuat dan tahan lama). Tapi, saya tidak pasti apakah ia kesan pengambilan vaksin atau tidak,” ujar lelaki itu.

Berita itu kemudian tular serta menarik perhatian malah dijadikan bahan jenaka terutama dalam kalangan kaum lelaki yang memang mudah ‘terangsang’ dengan cerita-cerita dalam kelambu.



Persoalannya, adakah dakwaan itu benar? Benarkah kesan suntikan vaksin covid-19 mampu meningkatkan daya seksual seorang lelaki? Atau ia sekadar gimik yang dicipta untuk menarik rasa ghairah masyarakat agar segera mendapatkan vaksin?

Sebagaimana kita ketahui kesedaran masyarakat akan pentingnya pengambilan vaksin bagi memerangi ancaman covid-19 belum mencapai tahap memuaskan. Masih ramai yang ragu-ragu serta mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ ekoran penyebaran berita-berita negatif berkaitan kesan pengambilan vaksin yang ditularkan pihak tidak bertanggungjawab.

Malah, kesan daripada dakyah itu, ramai rakyat yang sudah membuat temu janji untuk menerima vaksin akhirnya tidak hadir pada hari ditetapkan.

Jika benar pengambilan vaksin mampu mempertingkatkan prestasi seksual, ia boleh dijadikan kempen terbaik  menarik minat ramai untuk mengambil vaksin



Pada 24 Mei 2021 lalu, kerajaan Kelantan mendedahkan seramai 10,000 rakyat negeri itu tidak datang pada hari dijadualkan. Selang beberapa hari kemudian, di Perak, seramai 9,000 orang dikesan gagal hadir pada hari temu janji pengambilan vaksin.

Jika benar pengambilan vaksin mampu mempertingkat prestasi seksual di atas ranjang, ia mungkin boleh dijadikan kempen terbaik untuk menarik lebih ramai rakyat untuk mengambil vaksin tanpa perlu dipujuk rayu atau dipaksa.

Tapi, sekali lagi persoalan yang masih tergantung jawapannya, adakah dakwaan (peningkatan prestasi seks) itu benar atau ia sekadar cerita penglipura di kedai kopi?


Dr Shahrul Nizam, Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Pusrawi. - Foto: Dr Shahrul.


Menjawab persoalan itu, Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur, Dr Shahrul Nizam Ahmad Zamzali, tidak menafikan kisah-kisah sensasi sebegini mudah menarik minat masyarakat namun beliau berpendapat penjelasan lebih tepat perlu diberi bagi mengelak matlamat pengambilan vaksin terpesong daripada landasannya.

“Ya, ada beberapa kisah yang tular dalam media sosial mengenai penerima vaksin covid-19 di Indonesia yang mendapati kemampuan seksual mereka bertambah sebaik sahaja selesai menerima vaksin.

“Hal ini telah mendorong Direktur Pencegahan dan Pengendalian Penyakit Menular Langsung Kementerian Kesehatan Republik Indonesia, Dr Siti Nadia Tarmizi mengeluarkan kenyataan bahawa vaksin Covid-19 tidak memberi kesan kepada genital (alat sulit),” jelas Dr Shahrul.

Malah, menurut Dr Shahrul, melihat pula kepada masalah seks atau prestasi seks, iaa berdasarkan kepada banyak faktor seperti kesihatan secara am, penyakit kronik, masalah saraf, masalah hormon dan masalah dalam darah. Faktor- faktor ini boleh mengganggu prestasi seksual.

Prestasi seksual turut didorong oleh faktor psikologi seperti stres, kemurungan (depresi) dan masalah komunikasi yang mungkin boleh memberi kesan kepada kejantanan lelaki.

“Setakat ini, di seluruh dunia, tiada bukti klinikal yang mengaitkan vaksin Covid-19 kepada sama ada penurunan atau peningkatan prestasi seksual,” katanya.


Dr Siti Nadia Tarmizi menafikan pengambilan vaksin Covid-19 mampu memberi kesan kepada alat sulit. - Kredit foto: Media sosial.


Sebaliknya, menurut Dr Shahrul, adalah penting untuk kita memahami fungsi vaksin itu sendiri. Vaksin berfungsi untuk merangsang tubuh untuk menghasilkan antibodi. Setiap organisma yang akan mencetuskan jangkitan, akan merangsang tubuh manusia untuk menghasilkan antibodi yang spesifik kepada jangkitan tersebut. 

“Dalam bahasa lebih mudah ia bermaksud, jika kita terdedah kepada satu jenis kuman, badan kita akan menghasilkan antibodi khas untuk kuman tersebut.  Apabila badan telah mempunyai antibodi tersebut, ia akan mempunyai imuniti kepada penyakit itu.

“Ada dua cara bagi badan mendapat imuniti, iaitu secara pasif dan secara aktif. Imuniti secara pasif adalah apabila antibodi diberikan terus kepada badan manusia. Ini boleh dicapai melalui pemberian susu ibu (secara semula jadi) dan melalui pemberian antibodi (secara buatan).

“Bagi imuniti aktif pula, badan akan diransang untuk menghasilkan sendiri antibodi. Ini akan dapat dicapai melalui proses jangkitan (secara semulajadi) atau proses vaksinasi (secara buatan).


Vaksinasi menghasilkan antibodi untuk melawan wabak Covid-19 seterusnya melindungi masyarakat daripada wabak ini.


“Dalam proses vaksinasi, antigen (organisma yang lemah atau sebahagian daripadanya) akan disuntik kepada manusia. Antigen ini akan merangsang penghasilan antibodi yang khas (spesifik) kepada penyakit tersebut.

“Dibandingkan dengan proses jangkitan, proses vaksinasi selalunya tidak menyebabkan manusia mendapat penyakit tersebut tetapi badannya masih tetap akan menghasilkan antibodi. Antibodi ini akan berfungsi memelihara tubuh sekiranya kuman/organisma yang sama masuk semula ke badan.

“Kesimpulannya, dilihat bahawa fungsi vaksin adalah untuk meningkatkan ketahanan tubuh terhadap jangkitan masa hadapan dan tidak terlibat dalam prestasi seksual. Dengan itu, dapat disimpulkan bahawa tiada kaitan klinikal secara langsung antara vaksin dan prestasi seksual,” jelas Dr Shahrul.

Beliau tidak menafikan, kemungkinan cerita-cerita yang mengaitkan vaksin dengan prestasi seksual bertujuan untuk meningkatkan minat masyarakat untuk mengambil vaksin.

“Tetapi pada pendapat saya, masyarakat harus didedahkan dengan fakta yang benar bagi mempengaruhi mereka untuk mengambil vaksin, bukan dengan cara tipu daya.


"Masyarakat perlu didedahkan dengan fakta yang benar bagi mempengaruhi mereka mengambil vaksin, bukan dengan cara tipu daya."- Dr Shahrul. - Foto: Dr Shahrul.


“Mereka perlu diberi pemahaman bahawa vaksin Covid berperanan bukan sahaja untuk melindungi seseorang tetapi juga masyarakat secara amnya. Setelah pengambilan vaksin, risiko kita untuk dijangkiti turun. Jika kita dijangkiti juga, risiko jangkitan tersebut menjadi teruk dikurangkan sebanyak 80-100%.

“Pengambilan vaksin juga boleh menyumbang kepada penurunan penularan dalam masyarakat melalui konsep imuniti kelompok (Herd Immunity) yang mana masyarakat secara keseluruhannya telah imun dan tidak akan menularkan sesuatu penyakit. Kita memerlukan 75-85% masyarakat untuk divaksin bagi kita mencapai imuniti kelompok ini.

“Dari sisi pandang yang lebih besar, apabila imuniti kelompok telah dicapai, harapannya, keadaan akan menjadi seperti sebelum waktu wabak covid ini; yang mana tiada lagi keperluan untuk topeng muka dan penjarakan fizikal. Dan harapannya, setelah itu tiada lagi sekatan pergerakan penuh (total lockdown)  atau perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Pengambilan vaksin adalah cara paling cepat dan selamat untuk kita keluar dari keadaaan sekarang ini. Diharap masyarakat akan menerima serta menyebarkan maklumat yang tepat. Dan jangan sebarkan perkara yang tidak benar,” ujar Dr Shahrul Nizam. - KitaReporters


3
1
0
0
0
You will be interested