Alam & Sains 08 May, 2021

Kucing digunakan untuk seludup bekalan dadah di penjara! 'Narcocat' jadi mangsa keldai dadah!

@amil abdullah saiby
Berkhidmat di Utusan Melayu(M)Berhad selama 35 tahun,Jawatan terakhir disandang ialah Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Editorial Utusan. Pengalaman: Wartawan sambilan di Mingguan Timur,Utusan Malaysia dan Kosmo. Penulis buku "coffeetable" Transformasi

Share this

“Narcocat” gelaran si kucing berwarna putih bertompok oren yang ditangkap oleh pengawal Penjara Nueva  Esperanza, Panama kerana terbabit dengan kegiatan penyeludupan dadah yang dibawa masuk untuk banduan-banduan penjara. - Kredit foto: Kerajaan Persekutuan Panama. 


PIHAK berkuasa seperti polis, kastam dan agensi-agensi penguat kuasa kerajaan yang lain sering menemui pelbagai taktik dan muslihat atau modus operandi (MO) aktiviti-aktiviti rangkaian pembekal dan pengedaran dadah global.

Lazimnya, kita didedahkan laporan 'keldai dadah' menggunakan individu-individu (manusia) tertentu dengan memperdayakan mereka sebagai ‘kurier’ membawa dadah atau menyeludup barang seludup ke mana-mana lokasi termasuk ke luar negara.

Di Panama, Amerika Tengah lain pula ceritanya apabila haiwan peliharaan seperti kucing dijadikan ‘keldai dadah’ sebagai helah atau taktik untuk mengelirukan pihak berkuasa daripada dikesan tentang kegiatan penyeludupan dadah mereka (penjenayah).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kucing

Seekor kucing yang digunakan untuk menyeludup dan membekal dadah  kepada banduan-banduan penjara Panama akhirnya berjaya ditangkap oleh pihak penjara  dan diserahkan kepada Adopt for Love and Animal Defenders Foundation. - Kredit foto: New York Post.


Pada 16 April 2021, kegiatan tersebut berjaya dibongkar oleh pihak Penjara Nueva  Esperanza, Panama apabila mereka mengalami pengalaman pelik serta curiga kehadiran seekor kucing berwarna putih dan oren yang tidak diundang kerap berada di sekitar kawasan ‘tirai besi’ itu. 

Kasihan melihat seekor kucing digelar sebagai "Narcocat" itu dijadikan perantara atau 'transporter' seperti keldai atau kuda yang kebiasaannya digunakan sebagai kenderaan membawa barangan.

Namun, seekor kucing tidak mungkin boleh membawa beban (barang) yang besar dan berat sebaliknya lehernya dikalungkan (diikat) dengan kain yang digulung dipercayai dadah.

Sekilas pandang mungkin sesiapa sahaja yang memandang akan tertanya-tanya apakah yang dipakaikan di leher kucing itu? Hendak dikatakan rantai kucing kelihatan berlainan daripada kebiasaan yang sering kali kita lihat iaitu mengunakan rantai khas untuk haiwan tersebut.


Penemuan antara beberapa jenis dadah yang dibalut dengan kain serta bungkusan plastik lut sinar dadah tersebut. Kredit foto: AFP


Susulan itu, tangkapan terhadap kucing tersebut telah dibuat dan pihak penjara menemukan beberapa bahan terlarang disifatkan sebagai dadah dalam balutan atau bungkusan kain pada leher kucing itu.

Ini adalah merupakan insiden pertama bagi mereka (penjara) berdepan cubaan menyeludup masuk dadah dengan bantuan seekor kucing.

Ketua Sistem Penitentiary Penjara Panama, Andres Gutierrez berkata, pihaknya telah menemukan serbuk putih dadah, daun kering ganja, kokain, marijuana dan beg plastik kecil mengandungi pil khayal.

Terdahulu, pihaknya  turut menjumpai dron dari luar penjara yang membawa bungkusan dadah dan berjaya ditumpaskan oleh mereka (pegawai penjara). Penjenayah narkotik juga menggunakan burung merpati sebagai satu lagi kaedah untuk menghantar dadah tersebut.


Satu ciapan yang disiarkan oleh Sistem Penitentiary Penjara Panama, menunjukkan peralatan dron digunakan untuk menyeludup dadah di Penjara Nueva  Esperanza Panama . Kredit foto: Twitter Penjara Panama.


Menurut laporan AFP, berkata nasib “Narcocat” haiwan yang rapat dengan manusia itu  tidak terkecuali menjadi mangsa manusia yang tidak bertanggungjawab dan terlibat dengan jenayah.

Kucing itu kemudiannya telah diserahkan kepada pusat perlindungan haiwan iaitu Adopt for Love and Animal Defenders Foundation demi menjaga kesihatan dan kebajikan haiwan tersebut.

Panama mempunyai 18,174 banduan membabitkan  23 buah penjara. Penjara negara berkenaan dikatakan agak sesak berikutan kapasiti sebenar penjara hanya boleh menampung sebanyak 14, 591 banduan. 

Fenomena membekalkan dadah di penjara-penjara kebanyakan negara bukanlah perkara baharu sebaliknya menjadi trend atau kebiasaan terjadi ke atas penghuni-penghuni penjara. Pelbagai cara untuk mendapatkan bahan terlarang itu daripada pihak luar dengan bantuan khidmat orang 'dalam' kalangan kakitangan penjara. - KitaReporters


Penjara Nueva  Esperanza di Panama menyerah kucing malang itu kepada pusat perlindungan haiwan seperti Adopt for Love and Animal Defenders Foundation demi menjaga kesihatan dan kebajikan haiwan tersebut. Kredit foto: Protegery Servir Twitter.


Sumber:

https://www.newsweek.com/cat-caught-smuggling-drugs-panama-prison-1586113

https://www.dailymail.co.uk/news/article-9486141/The-purr-fect-crime-nearly-Narcocat-caught-smuggling-drugs-panama-prison.html

1
4
1
0
1
You will be interested