Alam & Sains 29 Aug, 2024

Tanam terumbu di Pulau Rawa dan Pulau Tengah! Usaha Lush Malaysia, Kerajaan Johor, Tunku Tun Aminah!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this

Para peserta mengambil bahagian dalam penanaman serpihan terumbu karang, menyumbang kepada pemulihan ekosistem marin di Kepulauan Mersing.


Lush Malaysia, dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor dan Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim Ismail, menerajui inisiatif penanaman terumbu di Pulau Rawa dan Pulau Tengah. 

Disokong oleh Tengah Island Conservation (TIC), usaha ini menghimpunkan tenaga kerja Lush, pihak media, selebriti, pencinta alam sekitar dan pegawai-pegawai kerajaan. 

Inisiatif ini sejajar dengan misi global Lush untuk memulihara ekosistem marin di samping memupuk alam sekitar semula jadi yang sejahtera.

Inisiatif berterusan penanaman terumbu karang oleh Lush Malaysia di Pulau Lang Tengah, Pulau Gaya dan pulau-pulau di sekitar Johor ialah sebahagian daripada komitmen meluas syarikat untuk menghidupkan kembali kepelbagaian bio dan memperkukuh daya tahan terumbu karang terhadap perubahan iklim. 

Usaha ini akan mengembalikan habitat semula jadi, menyokong kehidupan marin dan menarik kehadiran pelancong yang cakna dengan alam sekitar, sekali gus menyumbang kepada usaha merancakkan kembali ekonomi tempatan.


Usaha bersama untuk pemuliharaan lautan: Selebriti, wakil media dan anggota utama pasukan Lush Malaysia bergambar bersama di Kempen Alam Sekitar Lush di Pulau Tengah, Mersing, Johor.


“Lush percaya bahawa tahap kesihatan laut adalah penting untuk kestabilan iklim global, kepelbagaian ekosistem dan kehidupan manusia. 

"Terumbu karang yang merupakan sebahagian daripada ekosistem dengan tahap kepelbagaian bio yang paling tinggi, menjadi habitat penting dan melindungi pinggir laut daripada cuaca yang tak menentu. 

"Ia juga memainkan peranan penting dalam sektor pelancongan. Namun, perubahan iklim dan aktiviti yang tidak lestari mengancam kewujudan ekosistem ini. 

"Justeru, penanaman semula terumbu karang memberi manfaat kepada masyarakat yang hidup di pinggir laut, nelayan, dan hidupan liar, di samping menyumbang kepada kestabilan iklim,” kata Pengarah Lush Fresh Handmade Cosmetics Malaysia, Dr Harvinder Harchand.


Para peserta menjalankan aktiviti pembersihan pantai, mengumpulkan sisa dan sampah plastik untuk melindungi keindahan semula jadi Kepulauan Mersing sebagai sebahagian daripada Kempen Alam Sekitar Lush.


Lawatan itu turut melibatkan aktiviti pembersihan pantai, bengkel pembuatan bom mandian dan lawatan sambil belajar ke Tunku Abdul Jalil Conservation Centre, yang diketuai Tunku Tun Aminah, bagi tujuan mengetengahkan usaha menghidupkan semula ekosistem marin dan pantai yang holistik.

Lush Malaysia secara aktif menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti pemuliharaan ini bagi memupuk komitmen yang lebih mendalam terhadap usaha memulihara ekosistem marin. 

Kesungguhan terhadap usaha ini ditunjukkan dengan jelas pada acara Lush Malaysia Showcase 2024, Mei 2024 lalu.

“Kami di Lush sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap kesihatan manusia, alam sekitar dan planet. Inisiatif penanaman terumbu ini selaras dengan misi kami, memulihkan ekosistem marin dan melibatkan masyarakat setempat. 

"Usaha global kami pula yang merangkumi kerjasama bagi melindungi hutan dan hidupan liar, menzahirkan komitmen kami terhadap usaha pemuliharaan yang melangkaui aspek kelestarian,” tambah Dr Harvinder.

“Kami berbesar hati menyokong Lush Malaysia dalam inisiatif alam sekitar ini. Projek penanaman terumbu karang bukan sahaja membantu memulihara ekosistem marin kita tetapi juga melonjakkan nama Mersing sebagai destinasi pelancongan yang lestari,” kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. - KitaReporters/Kenyataan Media


Tunku Tun Aminah, ditemani suami Dato’ Dennis Muhammad Abdullah dan Dr Harvinde merasmikan aktiviti penanaman terumbu karang, menandakan langkah penting ke arah pemuliharaan marin.

14
15
0
10
0
You will be interested