Alam & Sains 29 Nov, 2020

Tolong kami! Bantu kami singkirkan senjata nuklear di dunia!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this

TAN Sri Dzulkifli Abdul Razak membenci peperangan. Beliau mengimpikan suatu hari nanti apabila manusia dapat berdamai antara satu sesama yang lain dan mencapai ketenteraman diri.  Idealisme beliau adalah sungguh menyayat hati, terutama sekali daripada seseorang yang arwah bapanya merupakan rakyat Malaysia yang terselamat daripada pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945. : KitaReporters


TAN SRI DZULKIFLI ABDUL RAZAK


Lagi kisah-kisah berkaitan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC):

https://kitareporters.com/search?search=palang+merah 


Apabila bom tersebut dijatuhkan ke atas Hiroshima pada 6 Ogos tahun tersebut, Abdul Razak Abdul Hamid merupakan seorang pelajar berumur sembilan belas tahun yang sedang menghadiri kuliah di Universiti Hiroshima Bunn. Menurut kisah pengalamannya, beliau pitam apabila bangunan runtuh dan dikejutkan oleh kemusnahan yang besar. Beliau terselamat walaupun jarak di antara letupan itu dan dirinya hanya 1.5 kilometer. 

Namun begitu, apa yang beliau telah melihat dan mendengar pada hari tersebut – mayat-mayat yang hangus, laungan kesakitan mereka yang hampir-hampir maut, kulit yang tergantung daripada badan seperti kain-kain buruk yang berdarah, bandar yang telah diratakan – adalah seperti neraka di bumi. Ia telah meninggalkan suatu kesan yang kekal terhadap beliau dan inilah yang telah menjadikan beliau seorang penyokong tegar pengharaman perang nuklear. 

Dzulkifli juga mempunyai keazaman yang serupa dengan ayahnya. Baru-baru ini apabila berbual dengan kami, beliau yang kini merupakan profesor emeritus dan rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), meluahkan perasaan yang penuh dengan kekesalan kerana usaha didalam pengharaman senjata nuklear masih belum mencapai resolusi yang diperlukan walaupun tujuh puluh lima tahun telah berlalu semenjak malapetaka Hiroshima-Nagasaki.

Dzulkifli bertanya, ‘Adakah perlu untuk kita semua melalui pengalaman buruk yang serupa dengan apa yang telah dilalui ayah saya?’

Walaupun ayah Dzulkifli bernasib baik kerana terselamat daripada kecederaan fizikal dan psikologi yang berkekalan, beratus-ratus ribu daripada kalangan mereka yang tidak bernasib baik. Lebih 100,000 orang yang telah menemui ajal dengan serta merta apabila bom-bom tersebut dijatuhkan pada 6 dan 9 Ogos 1945. Tiga kali ganda daripada jumlah tersebut yang telah maut dalam jangka masa lima tahun setelah itu disebabkan oleh kerana kesan-kesan sampingan.




Kenapakah kami mengkehendaki pengharaman semua senjata nuklear?

Persatuan Palang Merah Jepun yang kemudiannya dibantu oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) adalah di antara organisasi–organisasi yang terawal membawa bantuan kepada mereka yang sakit, cedera atau hampir maut ketika tragedi Hiroshima-Nagasaki. Seperti Allahyarham Abdul Razak, ramai daripada kalangan sukarelawan-sukarelawan dan pegawai-pegawai perubatan yang telah menyaksikan sendiri penderitaan dan kemusnahan yang berlaku sewaktu peristiwa tersebut. Hospital-hospital Persatuan Palang Merah Jepun telah secara keseluruhannya memberi bantuan kepada lebih 2.5 juta pesakit luar yang terdiri dalam kalangan mereka yang merupakan mangsa-mangsa letupan bom atom tersebut dan  lebih daripada 2.6 juta mangsa-mangsa tersebut yang telah diwadkan. 

Bencana kemanusiaan biasanya menyebabkan undang-undang baru diluluskan dengan cepat. Ia bertujuan untuk mengelakkan penderitaan yang berterusan, kematian dan kekejaman di dalam peperangan. Namun begitu, walaupun dengan pengalaman Hiroshima-Nagasaki, masih terdapat kekurangan di dalam sistem perundangan hari ini mengenai kewujudan dan penggunaan senjata nuklear. 

Oleh kerana ini, kami sebagai ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) Delegasi Serantau Kuala Lumpur dan rakan-rakan Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa membuat usaha sama ini untuk penghapusan penggunaan semua senjata nuklear.

Pada pandangan kami, senjata-senjata nuklear tidak menepati prinsip-prinsip asas undang-undang kemanusiaan antarabangsa seperti kemanusiaan (humanity), perbezaan (distinction) dan perkadaran (proportionality). Kami juga tahu bahawa letupan nuklear boleh menyebabkan cabaran-cabaran yang tidak dapat diatasi di dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan. Di samping itu, kapasiti bantuan yang mencukupi masih tiada di peringkat tempatan dan antarabangsa. Sekiranya bantuan tidak dapat disalurkan maka siapakah yang akan membantu mangsa-mangsa senjata nuklear ini? Bagaimanakah bantuan tersebut akan dihulurkan?

Namun begitu, harapan masih ada.




Triti Pengharaman Senjata Nuklear

Pada Sabtu, 24 Oktober 2020, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengesahkan lima puluh negara telah meratifikasi Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW). Ini membuka jalan untuk penguatkuasaannya pada 22 Januari 2021. 

Ini bermakna, dalam jangka masa 90 hari, norma global baru akan berkuat kuasa di mana senjata nuklear yang merupakan senjata yang paling dahsyat dan tidak berperikemanusiaan pernah dicipta akan diharamkan secara eksplisit.

Kami menyambut hari yang bersejarah ini bukan kerana ia akan menyegerakan atau memastikan yang senjata nuklear tidak akan digunakan lagi, tetapi kerana triti TPNW ini boleh mengubah dan mempengaruhi persepsi dan cara bagaimana senjata nuklear akan digunakan pada masa hadapan. 

Walau bagaimanapun, ia akan melengkapi sistem perundangan yang telah diperkenalkan oleh triti-triti seperti Triti Mengenai Ketakcambahan Senjata Nuklear (NPT) dan Triti Melarang Ujian Lengkap (CTBT) dengan mengharamkan penggunaan senjata nuklear secara komprehensif. Ini dilakukan dengan menangani ujian dan kegunaan senjata nuklear dari sudut impak kemanusiaan. 

Ia juga mewajibkan negara anggota yang terdiri daripada negara-negara yang memiliki dan tidak memiliki senjata nuklear dengan kewajiban-kewajiban yang spesifik dan tersendiri. Ini bertujuan untuk memansuhkan senjata nuklear secara keseluruhan.

Negara anggota juga dikehendaki secara individu ataupun bersama, menyediakan bantuan kemanusiaan (bantuan perubatan, sokongan psikisosial dan sosioekonomi) kepada mangsa-mangsa dan memulihkan alam sekitar yang telah tercemar. Ini dilakukan bersama ataupun tanpa sokongan Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa.

Secara ringkas, ia membawa kita lebih dekat kepada dunia yang bebas daripada senjata nuklear.




Pencapaian Malaysia

Dengan perasaan bangga, Malaysia sebagai negara yang ke-46 meratifikasikan Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW) pada 30 September 2020, telah memainkan peranan yang penting di dalam penguatkuasaan triti tersebut.

Malaysia adalah negara anggota kepada Triti Mengenai Ketakcambahan Senjata Nuklear (NPT) dan Triti Melarang Ujian Lengkap (CTBT), dan memainkan peranan yang aktif pada forum pelbagai hala. Sewaktu prosiding kesahan ancaman atau penggunaan senjata nuklear 1996, Malaysia telah menyumbangkan pendapat dari sudut perundangan dan keprihatinannya di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Malaysia juga merupakan salah satu daripada enam belas negara-negara yang mula-mula menumpukan fokus kepada perdebatan mengenai perlucutan senjata nuklear dari sudut impak kemanusiaan. 

Malaysia telah memainkan peranan yang penting di dalam perbincangan dan perundingan sewaktu ketiga-tiga persidangan Impak Kemanusiaan Penggunaan Senjata Nuklear pada tahun 2013 dan 2014 dan mesyuarat Kumpulan Kerja Terbuka Berhubung Melanjutkan Proses Rundingan Pelbagai Hala Mengenai Pelucutan Senjata Nuklear pada tahun 2016. Datuk Dr Ronald McCoy dari Malaysia juga adalah yang mula-mula mencadangkan penubuhan Kempen Antarabangsa Menentang Senjata Nuklear (ICAN) pada tahun 2005. Kempen tersebut kemudiannya memenangi Hadiah Keamanan Nobel pada tahun 2017.

Inisiatif-inisiatif ini memuncak pada tahun 2017 dengan penerimaan Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW) di mana Malaysia merupakan salah satu daripada 122 negara yang menyokong triti tersebut. Oleh itu, ratifikasi kelima puluh treati tersebut merupakan suatu kejayaan kepada Malaysia dan disebabkan oleh ini maka kami menyanjung tinggi keputusan kerajaan Malaysia. 




Rancangan Masa Hadapan: Apakah yang boleh anda lakukan untuk perlucutan senjata nuklear

Sememangnya, kami tidak dapat menafikan bahawa perjalanan untuk melucutkan senjata nuklear masih jauh. Pengharamannya cumalah suatu permulaan. Kita harus memastikan agar peruntukan-peruntukan di dalam Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW) akan dijalankan dengan bermakna oleh negara-negara anggota.

Dalam perkara ini, Malaysia telah dan akan terus menerajui melalui contoh yang baik. Apa yang perlu dilakukan setelah ratifikasi dan penguatkuasaan treati ini adalah implementasi kerangka undang-undang pada peringkat domestik. Kami di Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah sedia memberi sokongan kepada pihak kerajaan di dalam usaha ini.

Kami juga berharap agar Malaysia akan memperhebatkan dan mempertingkatkan usahanya pada peringkat global dengan menggalakkan lebih banyak negara untuk menandatangani triti tersebut dan akur kepadanya. Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Utama 1 Mengenai Pelucutan Senjata Nuklear di Persidangan Mengkaji Semula Triti Mengenai Pengawalan Senjata Nuklear pada tahun 2021, Malaysia berada di kedudukan yang terbaik untuk melakukannya.

Pada hakikatnya, walaupun lima puluh negara telah meratifikasi Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW), ia cuma merupakan sebilangan kecil daripada negara-negara di dunia ini. Kini, terdapat lebih daripada 13,000 senjata nuklear di mana kebanyakkan daripada senjata tersebut adalah sepuluh kali ganda lebih kuat daripada bom yang telah dijatuhkan ke atas Hiroshima dan Nagasaki.

Disebabkan oleh ini, maka kami memohon bantuan daripada anda sekalian.

Pastinya sukar untuk melakukan sesuatu, jika kebarangkalian berlakunya perang nuklear tidak dapat kita tentukan.

Namun begitu, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Dzulkifli Abdul Razak, kita tidak perlu dan tidak mahu melalui pengalaman yang dialami arwah bapanya sebelum bertindak untuk melakukan sesuatu perkara itu.

Langkah-langkah yang diambil boleh dilakukan dalam bermacam bentuk dan cara. Kita boleh mulakan dengan mempelajari isu yang berkaitan dengannya. Kemudian sebarkannya, poskannya dalam media sosial dan berbincang mengenainya. Letakkan isu-isu berkaitan senjata nuklear pada agenda perjumpaan-perjumpaan sivik, keagamaan, sosial dan organisasi-organisasi yang mana anda terlibat. Tulislah pada media, kongsikan perkara-perkara yang membimbangkan anda dengan komuniti dan pemimpin-pemimpin politik. Sila libatkan diri anda dan menjadi sebahagian daripada penyelesaiannya.

Tiada apa yang kita lakukan adalah terlalu kecil ataupun sedikit. Tentukan masa hadapan senjata nuklear sebelum ia memusnahkan masa depan kita. - KitaReporters


Artikel ini telah ditulis bersama oleh Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah, yang juga Pengerusi Kebangsaan, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Biljana Milosevic, Ketua Delegasi Serantau, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Kuala Lumpur.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai senjata nuklear dan apa yang boleh dilakukan oleh kami, sertailah kempen kami. 

http://www.icrc.org/en/nuclear-ban-treaty-no-to-nukes



0
1
0
0
0
You will be interested