Alam & Sains 21 Aug, 2024

Video| Hari Gajah Sedunia! Pastikan dapat hidup aman! Tanpa konflik dengan manusia, pemburuan haram!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this



HARI Gajah Sedunia yang disambut pada 12 Ogos setiap tahun sejak 2011 adalah tarikh penting untuk mengingatkan kita mengenai kepentingan melindungi dan memulihara haiwan paling besar di muka bumi itu terutama di Malaysia yang merupakan salah satu khazanah biodiversiti negara yang berharga.

Ia diwujudkan bagi mendedahkan masyarakat dunia mengenai pemuliharaan spesies gajah, serta menyebar dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman kritikal yang dihadapi populasi gajah di seluruh dunia termasuk di hutan Malaysia.

Gajah merupakan spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan dikategorikan hidupan liaryang terancam. 

Gajah memainkan peranan penting dari segi keseimbangan ekosistem dan merupakan lambang ke arah konservasi biodiversiti negara. 


Sempena Hari Gajah Sedunia, haiwan di Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah diberi makan pelbagai jenis buah-buahan sehingga kenyang.


Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia meraikan hari gajah itu dalam satu sambutan besar-besaran di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, Pahang, baru-baru ini bagi memberi peluang orang ramai bertemu dengan haiwan itu secara lebih dekat berbanding hanya melihat melalui luar di kandang di zoo.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, gajah merupakan spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan dikategorikan hidupan liar yang terancam. 

Haiwan itu memainkan peranan penting dari segi keseimbangan ekosistem dan merupakan lambang ke arah konservasi biodiversiti negara.

Beliau berkata, anggaran populasi gajah liar di Semenanjung Malaysia kini adalah sebanyak 1,220 hingga 1,450 ekor, kebanyakannya di Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak, Johor dan Negeri Sembilan. 

Datuk Abdul Kadir Abu Hashim (tujuh dari kanan) bergambar kenangan bersama sebahagian penaja yang memberi sumbangan sempena Hari Gajah Sedunia 2024.


"Seiring dengan pembangunan negara, terdapat beberapa kawasan habitat gajah dibuka bagi tujuan pertanian, perladangan, kawasan penempatan serta pembinaan empangan dan pembinaan jalan raya atau lebuh raya.

"Keadaan ini memberi kesan kepada habitat gajah dan hidupan liar lain secara keseluruhannya malah menyumbang kepada konflik manusia-hidupan liar. 

"Aibatnya sering berlaku kemalangan apabila hidupan liar seperti gajah cuba melintas jalan raya atau lebuh raya untuk mencari makanan, pasangan.

"Bagi mengurangkan insiden kemalangan hidupan liar, kerajaan memasang 280 papan tanda lintasan hidupan liar di 170 lokasi hotspot yang dikenal pasti di seluruh Semenanjung Malaysia," katanya pada sambutan Hari Gajah Sedunia di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, Pahang. pada 17 Ogos 2024.

Kanak-kanak paling gembira kerana dapat memberi makan kepada gajah dari dekat sempena Hari Gajah Sedunia 2024.


Pelbagai aktiviti diadakan sempena sambutan itu, antaranya pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, perarakan anak gajah dan gajah dewasa, penyampaian sijil kepada penaja, pertunjukan gajah makan durian dan kenduri gajah apabila mereka dihidangkan pelbagai jenis makanan dan makan sepuas hati sambil diberikan tepukan oleh pengunjung.  

Kebanyakan gajah yang tinggal di pusat konservasi di Kuala Gandah itu ditemui di hutan sama ada mengalami kecederaan akibat terkena jerat yang dipasang pihak tidak bertanggungjawab selain ada anak gajah yang kehilangan ibu bapa mereka yang dibunuh pemburu haram. 

Ada gajah yang kehilangan ekor malah kaki dan terpaksa menggunakan kaki palsu untuk berjalan. 


Orang ramai berpeluang melihat dan bergambar dengan gajah secara terbuka sempena Hari Gajah Sedunia 2024.


Orang ramai terutama kanak-kanak amat teruja melihat haiwan itu di hadapan mata, mungkin sebelum ini mereka hanya melihat pada kaca televisyen atau zoo. Ramai ibu bapa membelikan tebu dan meminta anak-anak mereka memberikan kepada gajah tanpa sebarang perasaan takut.

Difahamkan gajah memang suka memakan durian, ada haiwan yang memakan terus jika buah itu kecil tapi jika saiznya besar, gajah akan memijak dengan tapak kaki sebelum mengambil isi dan menelan terus termasuk dengan bijinya sekali. 

Petugas Jabatan Perhilitan menunjukan lakonan semula bagaimana gajah denak membantu menyelamatkan gajah liar yang ditemui di dalam penempatan manusia.  


"Gajah di tempat kita memang "hantu durian", berapa banyak yang kita kasi pun, dia boleh habiskan. Jika tuan puan nak tahu sama ada dia (gajah) suka durian atau tidak, tengok air liur yang meleleh tu. Dia suka la tu.

"Ada yang boleh menelan terus buah durian, duri yang kita anggap tajam, tiada masalah bagi mereka tapi jika saiz buah terlalu besar, dia akan memecahkan durian dengan memijak menggunakan tapak kaki sebelum memakan isi," kata seorang penjaga gajah ketika melayan soalan orang ramai yang hadir. 

Petugas Jabatan Perhilitan bersama anak-anak gajah yang ibu bapa mati dibunuh oleh pemburu haram.


Abdul Kadir Abu Hashim berkata, gajah juga merupakan sasaran penjenayah hidupan liar yang menjalankan aktiviti pemburuan haram. Haiwan itu dijadikan mangsa kerakusan manusia demi mendapatkan keuntungan secara singkat tanpa melihat kesan jangka panjang kepada spesies ini.

"Justeru itu, Jabatan Perhilitan terbabit dalam Program Pemantauan Pemburuan Haram Gajah bagi membendung aktiviti pemburuan haram gajah yang semakin berleluasa di negara ini.

"Gajah juga menjadi sasaran jerat yang dipasang pemburu haram. Bagi menangani kemelut itu, tahun 2018 diisytiharkan sebagai Tahun Perangi Jerat dan hasilnya, lebih 2,890 utas jerat telah dimusnahkan oleh Jabatan Perhilitan," katanya. 

Abdul Muhaimin Md Khir


Sementara itu, bagi pengasas Virtual Run, Starun Malaysia, Abdul Muhaimin Md Khir, berkata  pihaknya berbangga dapat menjadi penaja bagi Hari Gajah Sedunia, yang merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan kesedaran dan menyokong konservasi gajah.

"Kami menyumbang RM2,400 dari hasil larian 12.8KM Jejak Gajah Virtual Run ke Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah bagi membantu usaha konservasi gajah di Malaysia. Walaupun jumlah itu tidak terlalu besar, ia adakah bukti keprihatinan kami kepada haiwan yang kini semakin terancam.

"Kami memilih memberi tajaan kepada gajah kerana ia adalah haiwan yang melambangkan kekuatan, kebijaksanaan, dan ketabahan, yang sangat kami hargai.

"Mereka juga memainkan peranan penting dalam memelihara ekosistem alam semula jadi. Sebagai 'pembentuk ekosistem,' gajah membantu membuka ruang hutan, menyebarkan benih, dan memastikan keseimbangan alam semula jadi terpelihara. Gajah adalah habitat yang hebat," katanya lagi.

Antara reruai yang menjual pelbagai produk dan baju berkaitan gajah sempena Hari Gajah Sedunia 2024 di Kuala Gandah, Pahang.


Ditanya harapan untuk masa depan gajah, katanya sempena Hari Gajah Sedunia 2024, beliau berharap untuk melihat peningkatan global dalam kesedaran dan tindakan konservasi terhadap haiwan itu.

"Kami berharap masyarakat lebih memahami kepentingan menjaga dan melindungi gajah, bukan sahaja kerana peranan mereka dalam ekosistem, tetapi juga sebagai warisan alam yang perlu dipertahankan untuk generasi akan datang.

"Kami juga berharap kegiatan seperti pemburuan haram dan kematian akibat kemalangan dan konflik antara mereka dan manusia dapat dikurangkan secara signifikan melalui usaha bersama antara organisasi konservasi, pemerintah, dan masyarakat," katanya. - KitaReporters

11
13
0
17
0
You will be interested