Alam & Sains 17 Oct, 2023

KKB Star-Fest 2023: Peluang belajar ilmu astronomi! Juga perhati pelbagai jenis bintang di langit!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this


ASTRONOMI ialah bidang yang amat penting dalam Islam dan peradaban manusia. Ia adalah ilmu berkaitan suria, bintang, buruj, jarak, saiz dan gerakan jasad-jasad tersebut. Ia juga bagi mengkaji hal ehwal cakerawala yang bertaburan di angkasa lengkap dengan bentuk, kedudukan dan ukurannya.

Dalam al-Quran banyak menceritakan mengenai astronomi seperti kewujudan bintang, planet, matahari dan bulan seperti dalam surah-surah Qaaf, surah Ar-Ra'ad, A'raaf, al-Haj, al-Ma'rij.

"Maka tidakkah mereka memandang ke langit yang ada di sebelah atas mereka, bagaimana kami membinanya (dengan rapi) serta Kami menghiaskannya (dengan bintang-bintang) dan dengan keadaan tidak ada padanya retak renggang sedikit pun." - Qaaf:6 


KKB Star-Fest 2023 memberi peluang anak-anak belajar pelbagai perkara mengenai astronomi.


Malah, Islam melahirkan ramai tokoh astronomi, antaranya Ibnu Yunus, Jabir Ibn Aflah, Al-Zarqali, Al-Sufi, Al-Battani. Dan, yang popular seperti Al-Fazari dan Al-Nayrizi. 

Mereka mencipta kompas dalam pelayaran di laut, astrolab (jam matahari) dan alat mengukur bulatan dunia bagi manfaat manusia sejagat.

Namun, ilmu astronomi di Malaysia masih tertinggal jauh, kurang mendapat sambutan masyarakat, jarang dibicarakan secara besar-besaran malah tidak ramai mengambil bidang itu sebagai kerjaya masa depan.

Justeru, bagi membangkitkan minat masyarakat dan manfaat kepada astropelancongan negara, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bersama Sahabat Langit Utara (SALUT) dan International Astronomical Union Office of Astronomy for Development (IAU-OAD) menganjurkan Kuala Kubu Bharu in-house Star-Fest 2023 (KKB Star-Fest 2023).


  

Berkhemah bersama rakan-rakan dan keluarga sambil melihat pelbagai bintang di langit. 


Pengurus Unit Program SALUT, Nurul Fatini Jaafar, berkata KKB Star-Fest 2023 diadakan pada 21 Oktober 2023 di Taman Tasik Milenium, Kuala Kubu Bharu, bermula jam 3 petang hingga keesokan harinya (bergantung kepada keadaan cuaca).

Beliau berkata, terdapat pelbagai aktiviti untuk pengunjung termasuk cerapan hujan meteor Orionid, melihat bintang di langit dan planetarium.

"Kuala Kubu Bharu khususnya Empangan Sungai Selangor dipilih untuk KKB Star-Fest 2023 kerana keadaan langitnya kurang pencemaran cahaya dan antara paling gelap berbanding kawasan-kawasan lain di Lembah Kelang," katanya.


Nurul Fatini Jaafar


Menurut Nurul Fatini, tahun lalu (2022), Tourism Selangor memberikan dana pelancongan alternatif kepada SALUT untuk menganjurkan projek ‘Bima Sakti di Langit KKB’. Projek bersama syarikat telefon pintar Vivo dan Canon Malaysia itu mendapat sambutan baik orang ramai.

"SALUT amat berterima kasih dengan MPHS yang faham kepentingan astronomi kepada masyarakat dan negara malah mereka (MPHS) akan memasukkan program itu dalam kalendar acara pelancongan pada tahun depan (2024).

"Tahun ini KKB Star-Fest 2023 dijalankan secara "in-house" bagi memberi pengenalan, pendedahan dan kefahaman awal kepada masyarakat potensi astropelancongan," katanya. 


Canon Malaysia akan mengadakan bengkel bagaimana menggunakan kamera digital untuk mengambil pelbagai gambar bintang di langit.


NuirulFatini berkata, bagi membolehkan kehadiran ramai pengunjung ke program itu, KKB Star-Fest akan dilaksanakan di Taman Tasik Milenikum, KKB.

"Padang yang luas menghadap ke arah timur - arah terbit objek langit, kemudahan asas yang lengkap termasuk tandas, surau, dan parkir, serta tempat pemerhatian yang baik dan kurang gangguan cahaya amat sesuai untuk program itu. Program itu adalah percuma.

"Program bermula jam 3 petang membabitkan aktiviti pameran falak dan instrumen astronomi, tayangan video dalam kubah planetarium, jualan peralatan optik seperti teleskop dan kamera, jualan buku, cenderahati, kuiz, sembang santai, seni lukis wajah, dan mewarna.

"Bermula jam 8 malam, pemilik teleskop akan berkumpul untuk aktiviti cerapan bintang. Jika cuaca baik, pengunjung boleh memerhati bulan separa, planet Zuhal, dan planet Musytari. 

"Syarikat Canon Malaysia pula akan mengendalikan bengkel penggunaan kamera untuk merakam imej bintang," katanya lagi.


Sambil duduk di atas tikar, pengunjung dapat memerhati pelbagai fenomena alam di langit, bukti kebesaran Allah.


Selain itu, katanya, sambil pengunjung menjawab kuiz spontan, mendengar jurupandu astronomi bercerita, dan mendengar lagu-lagu bertemakan alam, orang ramai boleh bersantai di atas tikar sambil menghirup kopi panas.

"Pameran dan cerapan teleskop akan berakhir jam 10 malam tapi anda boleh terus menunggu dengan mendirikan khemah untuk melihat kehadiran buruj Orion di ufuk timur. Malah, jika bernasib baik, anda boleh melihat hujan meteor Orionid.

"Anda boleh merakam gambar meteor dan imej langit menggunakan kamera digital dan mengambil bahagian dalam Pertandingan Astofotografi yang diadakan malam itu juga. KKB Star-Fest akan melabuhkan tirai apabila terbit matahari 22 Oktober 2023," katanya.  

Layari Facebook Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Sahabat Langit Utara - SALUT untuk maklumat lanjut mengenai KKB Star-Fest 2023. - KitaReporters

21
9
0
11
0
You will be interested