Alam & Sains 07 Dec, 2019

KHAIRULNIZAM JADI 'BAHAN UJI' FITECH, UITM?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this
SAINS sukan kini sentiasa merupakan antara faktor penyumbang kejayaan atlet dan mengambil manfaat itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cuba menerapkannya dalam membantu persediaan Khairulnizam Mohd. Afendy bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020. : KitaReporters.com

PARA pegawai UiTM, Fitech Asia dan agensi berkaitan menayangkan contoh pakaian atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd. Afendy selepas satu majlis MoU di sebuah hotel di Subang, Selangor pada 5 Disember lalu.


Atlet negara ini akan dijadikan ‘bahan eksperimen’ Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan syarikat Fitech Asia serta agensi lain termasuk Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) dalam menentukan fabrik yang sesuai bagi pakaian sukan canggih dalam sukan pelayarannya.

Beberapa inovasi juga akan dibuat berdasarkan pakaian Khairulnizam yang sedia ada untuk penghasilan produk yang lebih mengikut acuan fizikalnya, sekali gus memberikan lebih fungsi bagi membantu meningkatkan prestasinya.

Faktor angin, suhu dan kelembapan serta cuaca di venue pelayaran Olimpik, Pelabuhan Pelayaran Enoshima, Fujisawa, Jepun apabila perlumbaannya berlangsung dari 27 Julai hingga 6 Ogos depan juga akan diambil kira bagi menghasilkan pakaian ini.

Khairulnizam, 26, pelayar kelas laser juga merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, selain berpengalaman beraksi dalam dua temasya Olimpik, 2012 dan 2016.

Atlet kelahiran Kedah ini menduduki tempat ke-47 dan ke-35 dalam acara one person dinghy dalam Olimpik London 2012 dan Rio 2016, namun kini berdepan ancaman taufan Kammuri dalam Sukan SEA Ke-30 di venue, Kelab Pelayaran Teluk Subic, Filipina.

UiTM melangsungkan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Fitech Asia di Subang, Selangor pada Khamis (5/12/2019) lalu yang bertujuan menggalakkan kerjasama penyelidikan, perkhidmatan dan nasihat, perkongsian ilmu dan kepakaran akademia dan industri.

Gandingan ini juga mampu menyelesaikan masalah kebolehpasaran graduan-graduan, memastikan kesinambungan revolusi industri 4.0 (IR 4.0) dan merapatkan jurang akademia dan industri, terutamanya bagi membangunkan kurikulum yang sesuai dengan keperluan industri semasa.

Fitech Asia pula merupakan rakan industri UiTM dalam menghasilkan produk pakaian Khairulnizam yang juga atlet pertama menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo.

Dia juga meraih pingat perak acara laser Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, sekali gus layak secara merit atas tiket kuota Asia.

Anak kepada bekas jurulatih negara, Mohd. Afendy Abdullah ini menikmati tuah kelayakan itu kerana juaranya, Ha Jee Min dari Korea Selatan sudah mengesahkan slot Olimpik menerusi Kejohanan Dunia di Denmark, tahun sebelumnya.

Turut hadir ialah Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus DatukIr. Dr. Mohd. Azraai Kassim dan Timbalan Naib Canselor Kolej ICAN, Prof. Datuk Rahmat Mohamad.

Projek kajian ini dijalankan di bawah Fakulti Sains Gunaan; Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi; serta Pusat Sukan UiTM.

“Dalam tempoh kira-kira lapan bulan dari sekarang, pakar-pakar dari UiTM dan Fitech Asia akan berganding bahu dalam menjalankan kajian menerusi ujian lapangan dan ujian makmal.

“Hasilnya akan membolehkan kami mendapatkan fabrik pakaian atlet yang sesuai untuk digunakan oleh Khairulnizam dalam Olimpik Tokyo (Julai hingga Ogos ini),” kata ketua kumpulan kajian, Dr. Mohd. Iqbal Misnon.

Kumpulan ini kata beliau, menjangkakan Khairulnizam dapat mula memakai pakaian eksperimen ini secara berperingkat-peringkat selepas satu perlumbaan di Australia sebaik sahaja berakhirnya Sukan SEA sehingga menjelang Sukan Olimpik.

“Sebarang penemuan daripada kajian berkenaan akan membolehkan perkongsian ilmu dan teknologi dalam menghasilkan produk pakaian atlet seumpamanya supaya lebih optimum dan mampu dihasilkan di negara kita.

“Uji kaji fabriknya akan dibuat di STRIDE selain UiTM, Shah Alam. 

"Pada peringkat permulaan ini, kerjasamanya akan berjalan bagi tempoh tiga tahun dan mungkin diteruskan yang bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihakselepasnya,” katanya. - KitaReporters.com

2
0
0
0
0
You will be interested