Alam & Sains 06 Nov, 2020

Keutamaan Bajet 2021! Tumpu sektor perubatan dan kesihatan!

@haris fadilah ahmad
Pernah bertugas sebagai 'stringer' Utusan Malaysia dan Utusan Melayu (Jawi) mulai 1987 hingga Oktober 2019.

Share this

BENARKAH setiap kali Belanjawan atau Bajet yang dibentangkan di Parlimen pada tahun-tahun sebelum ini kurang memberikan tumpuan kepada pembangunan sektor perubatan dan kesihatan di negara ini. Mungkinkah ketika negara berdepan dengan penularan berterusan pandemik Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) ini, keadaan akan berubah?? : KitaReporters



Lagi cerita-cerita berkaitan barisan hadapan:

https://kitareporters.com/search?search=barisan+hadapan


Pembangunan kesihatan disenaraikan dalam kedudukan yang agak bawah setiap kali bajet dibentangkan berbanding kerajaan hanya mengutamakan projek kemudahan menjana sektor ekonomi, pendidikan, inisiatif sektor awam dan sebagainya.

Oleh itu, Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) memberikan pandangan kepada kerajaan supaya mengutamakan bajet yang besar dalam sektor perubatan dan kesihatan dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada hari ini, 6 November 2020.


DR AHMAD SHUKRI ISMAIL


Presidennya, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, bidang perubatan dan kesihatan sewajarnya diletakkan sebagai prioriti utama bajet tahun 2021 itu berbanding pendidikan, ekonomi dan sebagainya yang kerap diberi perhatian lebih dan inklusif dalam belanjawan sebelum ini.

"Kerajaan sewajarnya mengambil iktibar ancaman besar pandemik COVID-19 berskala global melanda negara ini sehingga mencecah kumulatif empat angka kes positif untuk mencongak belanjawan yang lebih besar bagi menyediakan pelbagai kemudahan kesihatan tahun depan dan pada masa akan datang.


Laporan kumulatif kes positif COVID-19 daripada Kementerian Kesihatan pada 5 November 2020. - Kredit foto: FB Kementerian Kesihatan Malaysia. 


"Malahan, Malaysia sepatutnya mencontohi negara maju lain sudah pun mengutamakan bajet yang lebih besar sektor perubatan kerana mereka yakin bahawa kesihatan merupakan teras kepada kesejahteraan rakyat sekali gus sebagai pelantar kejayaan (negara) menerusi visi dan misi pembangunan masing-masing," katanya kepada Mojo KitaReportes di Kuantan, Pahang pada 5 November 2020.

Menurut Ahmad Shukri, tumpuan belanjawan 2021 perlu diberikan kepada kesihatan masyarakat kerana banyak kemudahan awam berkaitan logistik, perubatan termasuk sumber manusia masih belum selesai dan bermasalah setiap kali negara berdepan bencana seperti pandemik COVID-19 termasuk menangani pelbagai jenis penyakit.

Beliau memberikan contoh, banyak premis kesihatan seperti hospital yang dibina sejak zaman British semakin uzur termasuk kemudahan fasiliti perubatan yang lama terutama terletak di kawasan bandar yang kepadatan penduduk melebihi 150,000 orang.

"Kita pernah mendengar laporan media mengenai hospital terbakar, kekurangan katil, sumber manusia seperti doktor termasuk pakar,  jururawat dan sebagainya yang berkemungkinan kita akan berada di belakang negara Asia yang lain sekiranya tidak ada perubahan belanjawan berbanding sebelum ini negara kita kerap dipuji dan terbaik dalam bidang ini," katanya.


Gambar hiasan... Seorang jururawat sedang bertugas di sebuah hospital negara ini. - Kredit foto: M.Star


Mengulas lanjut, Ahmad Shukri berkata, perkara yang menjadi fokus Perdim, iaitu mengenai pegawai perubatan yang berkelayakan selepas latihan (housemanship) belum selesai dilantik malah perlu dipercepatkan oleh kerajaan untuk mengisi tugas di semua hospital bagi mencapai nisbah sasaran 1:450 berbanding satu doktor bagi setiap 520 pesakit ketika ini.   

"Setiap tahun negara kita melahirkan kira-kira 6,000 orang siswazah dalam bidang perubatan termasuk farmasi yang mana separuhnya kembali selepas tamat belajar di luar negeri, tetapi gagal diserapkan menerusi latihan housemanship memandangkan hospital kerajaan belum mencukupi kemudahan tertentu. 


Sekumpulan doktor sedang merawat pesakit positif COVID-19 di wad sebuah hospital negara ini. - Kredit foto: Karteldakwah.com


"Malahan, ada sebilangan yang sudah melepasi latihan berkenaan, tetapi belum menerima jawatan tetap sebagai house officers (HOs) dibenarkan untuk mempraktik perubatan sebagai doktor atau medical officers (MOs) dan pegawai farmasi," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan menerusi Belanjawan 2021 perlu juga memberi peluang menaja doktor meneruskan pengajian dan latihan kepakaran tertentu di dalam dan luar negeri dalam usaha membanyakkan kalangan (doktor) pakar ditempatkan di hospital dan klinik kesihatan di setiap buah bandar (daerah) bukan hanya ditumpukan ke pusat perubatan di ibu negeri sahaja. - KitaReporters


Hospital Sungai Buloh, Selangor antara pusat perubatan kerajaan yang dilengkapi kelengkapan rawatan moden termasuk kumpulan doktor pakar yang menangani kes penghidap COVID-19 dan penyakit lain. - Kredit foto: BERNAMA

0
0
0
0
0
You will be interested