SUKAR untuk dipercayai terdapat sebuah jambatan merentangi sebatang sungai hanya dihasilkan daripada jalinan akar kayu, bukannya daripada bahan binaan lebih kukuh seperti besi, konkrit mahu pun kayu yang biasa ditemui.
Namun, ia bukan cerita dongeng kerana di Barat Sumatera, Indonesia jambatan seumpama itu benar-benar wujud merentangi Sungai Batang Bayang sepanjang 25 meter pada ketinggian 10 meter.
Jambatan selebar kira-kira satu meter itu tercatat sebagai salah satu jambatan unik di dunia dan mengambil masa selama 26 tahun untuk disiapkan penciptanya sebelum boleh digunakan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan jambatan
Keadaan jambatan akar yang unik dan menarik serta selamat digunakan. - Kredit foto : Namgtime.com
Menghubungkan Desa Pulut-pulut dan Desa Lubuk Silau, jambatan digelar sebagai jambatan akar dalam kalangan penduduk setempat dikatakan mula ’dibina’ oleh seorang ulama bernama Pakiah Sokan pada tahun 1890 dan hanya boleh digunakan pada tahun 1916.
Memetik laporan DetikTravel, ‘jambatan akar’ tersebut terletak di Desa Pulut-pulut, Daerah IV Nagari Bayang Utara, Pesisir Selatan yang berlokasi kira-kira 24 kilometer dari Painan, ibu kota Pesisir Selatan dan 80 kilometer dari Kota Padang melalui Teluk Bayur.
Menurut ceritanya, ketika itu Pakiah Sokan yang juga merupakan guru mengaji mendapati pelajarnya mampu sampai ke tempat mereka belajar dengan lebih cepat sekiranya dapat menyeberangi Sungai Batang Bayang berbanding menggunakan laluan lain.
Pada peringkat awal beliau hanya meletakkan batang buluh sebagai jambatan namun buluh-buluh tersebut cepat mereput dan perlu selalu diganti dengan yang baharu lalu .
Pakiah kemudiannya mendapat idea menanam pokok beringin di kedua-dua belah tebing sungai dan melihat akar mulai terjuntau ke dalam air apabila pokok semakin membesar beliau mula melilit serta menjalin akar-akar berkenaan hingga akhirnya membentuk sebuah jambatan.
Selain menjadi penghubung kepada penduduk Desa Pulut-Pulut dan Desa Lubuk Silau, Jambatan Akar turut menjadi tumpuan pelancong. - Kredit foto: Nangtime.com
Sudah lebih 100 tahun berlalu namun hasil titik peluh, kegigihan dan kesabaran Pakiah menjalin akar-akar pokok beringin itu hingga terbinanya sebuah jambatan yang penuh dengan nilai estetika berkenaan masih wujud serta utuh sehingga ke hari ini.
Malah, keadaannya bukan kian reput sebaliknya semakin kukuh hasil jalinan akar-akar pohon beringin tersebut yang berpintal secara semula jadi serta semakin membesar.
Kini, pihak berkuasa menambah kabel logam sebagai sokongan untuk menjamin kekukuhan jambatan tersebut selain meletakkan papan dipermukaan jalinan akar tersebut sebagai laluan bagi memudahkan mereka yang menggunakan jambatan tersebut. - KitaReporters
Papan diletakkan di atas jalinan akar kayu yang membentuk jambatan akar bagi memudahkan orang ramai untuk melaluinya. - Kredit foto: FB Siakapkeli.
Semakin lama jalinan akar pohon beringin yang semakin membesar membuatkan jambatan akar semakin mengukuh. - Kredit foto: FB Siakapkeli.