Alam & Sains 22 Apr, 2025

Tahu tak? Kanser usus besar pembunuh kedua tertinggi di Malaysia! Kena peka, buat ujian saringan!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this

.


Jika mengalami usus tersekat dan ketidakselesaan perut berterusan, segera buat pemeriksaan bagi menentukan sama ada ia kanser kolon atau sebaliknya.


ADA kes kanak-kanak berusia 12 tahun yang menghidap kanser kolorektal (usus besar) selepas membuang air besar berdarah. Sebelum itu, ketika pemeriksaan awal, doktor di klinik hanya memberikan ubat biasa tapi apabila keadaan kian serius dan pemeriksaan lanjut, baru disahkan.

Begitu juga ada pesakit berusia 28 tahun mengadu sakit ketika membuang air besar. Mulanya mereka menyangka ia berkaitan masalah apendiks tapi selepas pemeriksaan lanjut, ia disahkan kanser kolorektal yang juga disebut kanser kolon.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), lebih 14.6 peratus kanser kolorektal dihidapi golongan usia kurang 50 tahun dan tujuh peratus berusia di bawah 40 tahun. Kajian juga mendapati kaum Cina di Malaysia lebih cenderung menghidap kanser kolorektal berbanding bangsa Melayu dan India. 

Pakar Bedah Am & Kolorektal, Hospital Pakar An-Nur Bandar Baru Bangi (BBB), Dr Mohd Zailani Mat Hassan berkata, kanser kolorektal adalah pembunuh kedua selepas kanser payudara. Jumlah kanser ini semakin meningkat dalam kalangan golongan lebih muda.


Dr Mohd Zailani Mat Hassan.


Beliau berkata, lebih membimbangkan, kebanyakan kes kanser kolorektal dikesan sama ada pada peringkat tiga atau empat.  Malangnya, salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes ini disebabkan kurang kesedaran bahaya penyakit itu.

"Individu yang menghadapi perubahan tabiat membuang air besar secara tiba-tiba, perlu berwaspada kerana ia adalah antara simptom kanser kolorektal.

"Jika tabiat itu berlanjutan lebih sebulan, mereka perlu merujuk ke hospital segera supaya harapan untuk sembuh sepenuhnya masih ada.

"Pastikan tanda amaran penyakit dikesan sejak awal sebelum ia menjadi polip, jika di tahap empat, peratusan sembuh sepenuhnya semakin rendah berikutan sel sudah merebak ke organ lain seperti paru-paru, hati, tulang dan otak," katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ceramah kesihatan bertajuk, Kesedaran Bahaya Kanser Usus Besar di Dewan Seminar Masjid Al-Hasanah (MAH), Bandar Baru Bangi, Selangor, yang dianjurkan oleh Biro Muslimat MAH. Turut hadir, Pengerusinya, Dr Norshidah Muhamad. 


Kanser kolorektal adalah pembunuh kedua terbesar di Malaysia selepas kanser payudara.


Ada beberapa tanda simptom kanser kolorektal, antaranya perubahan tabiat buang air besar secara berterusan, najis berdarah, berat badan menurun, usus tersekat dan ketidakselesaan perut dalam tempoh lama. Gejala ini jarang muncul pada peringkat awal menyebabkan penghidap menganggap ia fenomena biasa.

"Simptom lain seperti kurang selera makan hingga berat badan menurun serta keletihan akibat kurang darah merah. Jika semua simptom ini berlanjutan lebih sebulan, mereka perlu merujuk pakar kerana simptom itu boleh bertindih dengan penyakit lain seperti gastrik dan radang usus.

"Jika kanser dikesan awal peratusan pulih sepenuhnya hampir 100 peratus selain kurang komplikasi selepas rawatan. 

"Saya sarankan orang ramai melakukan saringan kesihatan kerana ia dapat menentukan sebarang perubahan dalam usus besar sama ada menemui kanser atau sebaliknya. Jika ada, beberapa ujian boleh dilakukan sama ada kolonoskopi atau biopsi," kata Dr Mohd Zailani lagi.


 

Salah satu faktor yang menyebabkan kanser usus besar ialah merokok.


Kanser kolorektal boleh dikesan awal menerusi ujian kolonoskopi dan jika ketumbuhan belum menjadi kanser dikesan awal,


Dr Mohd Zailani berkata, apabila disahkan kanser, doktor akan melakukan pembedahan bagi membuang bahagian yang dijangkiti dan usus besar disambung supaya kembali berfungsi secara normal.

"Kemudian diikuti rawatan kemoterapi oral, intravena dan ubat-ubatan bersesuaian untuk tahap dua sehingga empat. Jika membabitkan rektum, pesakit perlu menjalani rawatan radioterapi.

"Sebab itu apabila pesakit sudah diagnosis dengan kanser kolorektal, mereka perlu terus membuat imbasan bagi menentukan tahap kanser itu," katanya lagi.

Terdapat kaedah rawatan selain kemoterapi atau radioterapi, iaitu terapi sasaran dan imunoterapi. Beberapa rawatan pilihan memberi peluang kepada pesakit untuk sembuh.


Amalkan gaya hidup sihat dan banyak mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan untuk mencegah kanser kolon.


Mengenai tempoh pesakit sembuh selepas mendapatkan rawatan, ia bergantung tahap kanser dihidapi pesakit. Pembedahan dan rawatan terapi mengambil masa kira-kira enam bulan sehingga satu tahun. 

"Pesakit perlu bertemu pakar untuk buat imbasan serta kolonoskopi sekurang-kurangnya setahun sekali untuk melihat perkembangan. Dalam tempoh lima tahun jika keadaan sudah baik, mereka hanya perlu melakukan pemeriksaan bila perlu.

"Namun, masih terdapat komplikasi kerana kanser kolorektal boleh menyebabkan usus tersumbat, pendarahan serius, membahayakan kesihatan dan nyawa pesakit.

"Memang akan berlaku sedikit perubahan terutama apabila usus besar yang menjadi tempat menyimpan sisa najis dipotong menjadi lebih pendek, antaranya perubahan membabitkan pembuangan air besar," katanya.



Dalam perkembangan yang sama, Dr Mohd Zailani kecewa kerana ramai rakyat Malaysia enggan atau mempunyai tabiat malas menjalani ujian saringan dengan alasan takut dan tiada masa. 

"Kanser kolorektal boleh dikesan awal menerusi ujian kolonoskopi dan jika ketumbuhan belum menjadi kanser dikesan awal, ia sudah pasti dapat dirawat dan seterusnya mengelak menjadi lebih serius.

"Yang ada sejarah keluarga menghidap kanser, mereka amat digalakkan menjalani ujian saringan tapi jika tiada sejarah keluarga terutama yang berusia 45 tahun hingga 50 tahun ke atas, mereka boleh menjalani ujian saringan untuk pengesanan awal sebagai langkah berjaga-jaga.

"Amalkan gaya hidup sihat, jaga pemakanan termasuk tidak mengambil makanan segera dan berproses. Lakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit sehingga sejam sehari bagi mengelak obesiti dan mencegah penyakit terutama kanser kolorektal," katanya. - KitaReporters


Dr Mohd Zailani dan Dr Norshidah Muhamad bergambar kenangan bersama sebahagian peserta ceramah kesihatan bertajuk, Kesedaran Bahaya Kanser Usus Besar di Dewan Seminar, Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor.

14
11
0
16
0
You will be interested