Alam & Sains 15 May, 2024

Video| Ikan bandar raya kuasai sungai! Ikan air tawar asal dah tiada! Ada kempen buru ikan pleco!

@rashidah ibrahim
Bermula di Berita Harian sebagai wartawan di meja berita am 1985, diikuti Berita Minggu, meja mahkamah dan pendidikan sebelum ke majalah Anjung Seri (1993-2015). Jawatan terakhir Timbalan Editor. Meneraju variaseri.com youtube Anjung Destinasi TV.

Share this


Walaupun hodoh, sifat semula jadi ikan bandar raya yang memakan kotoran algae, membersih akuarium sebab itu ia dipelihara bersama ikan hiasan. Menjelang dewasa dikeluarkan daripada akuarium dan dibuang ke sungai kerana tidak sesuai lagi hidup bersama ikan hiasan lain. - Kredit foto - Wikipidea


Dikenali dengan bentuk ikan keli kerana memang pun daripada famili ikan itu tetapi lebih dikenali dengan nama ikan bandar raya dan ia adalah jenis ikan pendatang. Pada awalnya, fungsi dipelihara untuk membersih akuarium. 

Sifat semula jadinya memakan bahan organik dan alga (lumut) iaitu kotoran dalam air, maka itu ia digelar Ikan bandar raya, nama rasminya "pleco" daripada perkataan asal Plecostomus.

Ikan bandar raya adalah spesis ikan invasif berasal dari Amerika Selatan, memiliki struktur mulut seakan penyedut, berupaya `menyedut` mendapan kotoran di kawasan persekitarannya. Waktu beli halus saja kira-kira 8cm namun boleh membesar sehingga 60cm, bergantung spesies. 

Di luar akuarium, pleco liar membina koloni di kawasan sungai tercemar. Beberapa spesies ikan bandar raya di Malaysia dikenali Hypostomus plecostomus. 

Mula dikenali di Malaysia sekitar 1970-an, apabila dibawa masuk ke negara ini sebagai ikan peliharaan. Sewaktu kecil kehadirannya menjadi `petugas` setia akuarium. Hidup bersama ikan-ikan hiasan lain dan memakan kotoran lumut dalam akuarium.

Zaman 80-90-an hatta sehingga ke hari ini saya mengenalinya sebagai ikan halus yang buruk rupa seperti Dayang Senandung.

Berwarna hitam legam kontras dengan ikan-ikan berwarna lain. Apabila di akuarium nampak kaku setempat di dasar, seolah mati tapi dalam diam dia membersih akuarium dengan memakan kotoran organik seperti algae (lumut) yang ada.  


Menimbang salah satu ikan yang ditangkap. - Kredit foto: FB Tok Tuah channel Haziq 


Terkini, ikan pembersih akuarium ini telah membanjiri sesetengah kawasan sungai dengan saiz yang besar. 

Setelah lama berkhidmat sebagai pembersih semula jadi akuarium, rupa-rupanya pemilik melepaskan ikan bandar raya yang telah besar/dewasa ke sungai atau longkang tanpa memikirkan masalah yang akan ditimbulkan kemudian. Inilah punca ikan pendatang itu terlepas ke sungai di Malaysia. 

Apabila ikan-ikan ini dibuang ke sungai, ia terus membesar dan membiak dan apabila bilangannya semakin banyak dengan keterlaluan, membawa petaka pula kepada ikan-ikan air tawar tempatan yang sedia ada. 

Bentuk badan berperisai sebagai senjata pelindung, apabila dewasa berbahaya pula untuk ikan-ikan lain. Patutlah kawasan sungai yang selalunya banyak dengan ikan air tawar tempatan semakin tiada apabila ikan bandar raya hidup dan membiak di situ. 

Hal ini disedari dalam kalangan pemancing apabila mereka mendapati ikan air tawar yang hendak ditangkap semakin tiada, sebaliknya yang semakin banyak adalah ikan bandar raya. Ternyata kehadiran ikan bandar raya sudah menguasai sungai dan menganggu habitat ikan air tawar tempatan.


Peserta bergambar dengan hasil tangkapan ikan bandar raya. - Kredit foto: FB Tok Tuah channel Haziq 


Ekoran itu, tertubuhlah Komuniti Pemburu Ikan Bandar Raya yang menjalankan aktiviti sukarela membaik pulih dan menyelamat ekosistem sungai di Malaysia.

Terkini, mereka menjalankan kegiatan memburu ikan bandar raya di Sungai Klang berhampiran masjid Al-Ridhuan mukim Hulu Kelang Batu 7 1/2 pada 5 Mei 2024. 

Dalam operasi siri 5.0 sesi 2024 Memburu Ikan Bandar Raya, pihak pengurusan merekod penemuan beberapa spesies ikan bandar raya, namun mereka dukacita kerana tiada satu pun spesimen ikan, udang atau ketam tempatan diperolehi. Ke mana habis pergi ikan air tawar tempatan?

Memetik kenyataan dalam laman FB Jejak Air Tawar, sebanyak tujuh spesies pendatang (termasuk udang dan kura-kura) telah direkodkan ditemui dalam operasi. Didapati populasi pterygoplichthys sp yang dikenali sebagai amazon sailfin catfish (ikan bandar raya) dan poecilia reticulata (guppy), adalah paling dominan di samping beberapa spesies pendatang lain.

"Lokasi operasi di kawasan hulu sungai, suhu airnya agak rendah dan arus agak laju dan sepatutnya sesuai bagi ikan sisik tebal, terbul, temperas, sia, tilan dan pelbagai lagi. 

"Saya cuba sedaya upaya menjejak spesies tempatan yang sepatutnya masih berpotensi bertahan dengan persekitaran begini, seperti udang rawa (macrobrachium sp.), anabas testudineus (puyu), clarias batrachus (keli kayu), monopterus javanensis (belut paya/sawah), atau aplocheilus armatus (kepala timah), tapi juga tiada sebarang jejak dapat dikesan," tulis sumber kenyataan itu.

"Mungkin yang masih ada ialah channa striatus (haruan), tapi disebabkan tiada tangkapan yang berjaya maka tidak boleh dijadikan sebagai bukti. Selebihnya saya cuma temui beberapa spesies siput (mungkin tempatan) dan beberapa pokok akuatik tempatan.

"Apa yang saya boleh katakan, biodiversiti di sini telah musnah, ditambah lagi dengan berlakunya pencemaran air sungai akibat saliran tidak sistematik dari kawasan perumahan, kilang dan pelbagai lagi, ditambah pula banyak sampah sarap dibuang secara terus ke dalam sungai oleh penduduk sekitar," tambahnya.


Ikan talapia, juga spesies ikan pendatang, antara lain yang ditangkap. - Kredit foto: FB Tok Tuah channel Haziq 


Beliau menyifatkan semua masalah itu `berpunca daripada tangan kita sendiri. Apa pun ulasnya itu tidak bermakna ia tidak boleh dipulihara lagi, masih ada peluang pulihkan sungai ini dan hidupan di dalamnya.

Sarannya, pertama,masyarakat dan semua pihak perlu ada kesedaran mengenai isu ini dan cakna akan kepentingannya. Kedua, perlu ada usaha sama semua pihak dari segi penjagaan sebaik mungkin dan ketiga pergiatkan usaha membasmi ikan pendatang. 

Penting, masyarakat perlu elak mencemarkan sungai. Jangan buang sampah dan berhenti lepaskan ikan asing seperti ikan bandar raya ke perairan tempatan.

Perbuatan ini juga dikira satu sumbangan terpuji dalam usaha ini, seperti mana dilakukan oleh Komuniti Pemburu Ikan Bandar Raya dan Jejak Air Tawar, mereka telah buktikan usaha ini boleh dilaksanakan.

Difahamkan ikan bandar raya yang ditangkap telah diberi kepada pihak yang mahu jadikannya sebagai makanan kepada haiwan, manakala telur dijual kepada pemancing untuk dijadikan umpan. Ikan-ikan lain diagih kepada yang nak makan, kura-kura diberi kepada peminat reptilia untuk dipelihara. 

Menariknya, kegiatan kali ini telah memecah rekod tahun 2021, yang mana hasil tangkapan ikan bandar raya terbesar ditangkap di perairan aiar tawar setakat ini seberat 1.5kg, berukuran 58.5cm (2024) berbanding rekod sebelum ini, seberat 1.2kg dan berukuran 53cm (2021). 

Menurut sumber FB Tok Tuah chanel Haziq, data spesis ikan pendatang ditangkap, ikan bandar raya 258 ekor, talapia (164 ), jaguar (4 ), midas (7 ), kura-kura Brazil (2 ), udang/lobster air tawar (1) dan spesies ikan tempatan (0%).

Penyertaan setiap aktiviti terbuka untuk sesiapa berminat, setiap minggu operasi dijalankan di lokasi berbeza untuk mengetahui jadual sertai grup Facebook berkaitan. Tiada sebarang bayaran penyertaan dikenakan.

Pihak penganjur berharap lebih ramai membantu berkerjasama dalam usaha ini, dengan itu cerahlah peluang untuk kembalikan kemeriahan ikan tempatan di perairan negara kita dan paling penting demi kelestarian ekosistem sungai. 

Ekosistem yang baik amat penting untuk kelangsungan hidup manusia iaitu kita sendiri. - KitaReporters


Operasi Menghapus Ikan Bandaraya yang sebelum ini, di Sungai Bukit Jalil Mac 2024

12
9
0
7
0
You will be interested