Alam & Sains 27 Mar, 2023

Catatan Akademik| Jenis penyakit perlukan perhatian pada bulan Ramadan! Ikut nasihat doktor, pakar!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Oleh DR MOHD RADZNIWAN A RASHID 

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)


Bulan Ramadan merupakan bulan yang ditunggu-tunggu oleh semua orang Islam. Kita sedia maklum bahawa secara umumnya, berpuasa banyak memberi kebaikan kepada kesihatan kita.

Antara penyebab kepada keadaan yang sedemikian adalah selama sebulan, usus kita direhatkan semasa siang hari daripada “bekerja“ mencerna makanan yang dimakan siang ke malam. 

Organ badan yang lain juga dapat rehat secara tidak langsung dan perkara ini membolehkan sel-sel dipulihkan dan semasa ini juga, banyak enzim dan hormon dirembeskan bagi proses pembaikan, pemulihan dan penyingkiran sel rosak, tokin dan kotoran dari badan. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan amalan berpuasa


Kajian mendapati juga bahawa amalan berpuasa juga boleh merencatkan proses penuaan Namun ia boleh menjadi cabaran kepada segelintir masyarakat yang mempunyai pelbagai penyakit.

Contonya pesakit gastrik, mula merasa resah apabila bulan Ramadan bermula. Alasan yang diberikan adalah mereka khuatir penyakit mereka akan menjadi teruk apabila berpuasa. 

Keadan ini boleh memberikan tanggapan negatif orang ramai terhadap pesakit gastrik. Yang tidak sedap didengar adalah ada yang berbohong dengan menyatakan bahawa mereka mengidap sakit gastrik kepada pihak berkuasa apabia ditangkap makan pada siang hari. 

Memang ada pesakit gastrik yang tidak boleh berpuasa, tetapi mereka terdiri daripada pesakit gastrik yang teruk di mana amalan berpuasa akan menyebabkan dinding perut mereka terhakis, seterusnya mengakibatkan pendarahan berlaku.

Tanda-tanda teruk adalah sakit perut yang teramat sangat pada bahagian ulu hati, muntah darah dan najis berdarah atau berwarna hitam pekat. Pesakit yang sedemikian memang telah dinasihatkan oleh doktor untuk tidak berpuasa.

Selain itu, pesakit asma juga mula takut kerana bimbang serangan asma akan menjadi lebih. Antara pencetus asma adalah perubahan emosi, cuaca dan fizikal. Ada juga yang dicetuskan oleh pengambilan minuman sejuk, berais dan bergas. Ini sering berlaku semasa berbuka. 

Mungkin ada sesetengah pesakit akan rasa stres semasa berpuasa. Faktor sedemikan akan menjadikan mereka mendapat serangan asma yang kerap. 

Isu pengambilan “ubat sedut” iaitu ubat bagi penyakit asma, juga boleh menyebabkan mereka tidak berpuasa kerana berpendapat ia akan membatalkan puasa.

Untuk hal ini, para ulamak ada menyediakan panduan yang berkenaan. Kebanyakan agamawan dan ilmuan berpendapat, ubat sedut tidak membatalkan puasa dan boleh diambil sekiranya mendapat serangan asma.

Bagi pesakit kronik seperti diabetis dan darah tinggi, kedatangan bulan puasa juga menjadi cabaran, bukan sahaja pada pesakit, namun kepada para doktor yang merawat mereka juga. 

Contonya pesakit diabetis takut akan mendapat ancaman hipoglisemia disebabkan gula dalam darah akan jatuh akibat tidak makan dan jugak ubatan diabetis yang menurunkan kadar gula dalam darah. 

Pesakit darah tinggi pula takut bacaan darah mereka tidak terkawal akibat makanan semasa berbuka tinggi dengan

kandungan garam dan sekiranya terlupa mengambil ubat pada malam hari, maka mereka tidak dapat megambilnya pada siang hari. Akibatnya, darah tinggi mereka menjadi tidak terkawal.

Islam itu indah dan Allah tidak mahu menyusahkan umat-Nya. Oleh itu pada yang tidak dapat berpuasa, mereka perlu membayar fidyah yang berpatutan. Untuk itu, nasihat daripada pihak berkuasa, pakar dan jabatan agama, harus dicari untuk memastikan jumlah fidyah adalah tepat untuk keadaan mereka.



Tetapi, banyak juga jenis penyakit di mana berpuasa dapat memberikan kebaikan yang sangat nyata. Contohnya pesakit tinggi kolesterol dan obesiti, di mana keadaan penyakit mereka boleh diuruskan dengan baik. 

Ramai pesakit yang obes dapat menurunkan berat badan disebabkan kurang kalori diambil sepanjang hari semasa berpuasa.

Harus diingat bahawa kesemua kebaikan ini boleh diperolehi dengan syarat pesakit masih mengawal pengambilan makanan semasa berbuka, moreh dan bersahur. 

Contohnya, pesakit diabetis masih dilarang untuk minum air manis dan makanan yang bergula. Manakala pesakit darah tinggi perlu memastikan makanan mereka tidak masin dan pesakit koleterol perlu mengambil makanan yang kurang lemak. 

Mereka juga harus meneruskan senaman yang dibolehkan semasa berpuasa. Antara nasihat berguna bagi meneruskan senaman pada bulan Ramadan adalah buat secara sederhana, dan tidak keterlaluan. 

Hindari bersenam di bawah terik matahari, semasa perut terlalu penuh dan pastikan air dalam badan adalah cukup. Waktu yang disarankan adalah selepas berbuka puasa, selepas solat terawih dan sebelum bersahur.

Pengambilan ubatan yang betul dan teratur juga wajib diamalkan. Nasihat daripada doktor sebelum bulan puasa perlu didengar walaupun kita terbiasa dengan “cara kita tahun lepas“. 

Perlu diingat bahawa pesakit kronik pada kebanyakan masa tidak akan sedar kawalan gula dalam darah atau bacaan darah tinggi mereka tidak baik sehinggakan tanda-tanda yang teruk mereka hadapi di mana pada masa itu, keadaan sukar untuk dipulihkan sehinggakan mereka perlu dimasukkan ke hospital bagi mengawal status penyakit mereka. 

Kes sedemikian memang banyak berlaku di mana ia boleh mengundang maut dek gula dalam darah yang terlampau tinggi, mahupun rendah dan mendapat strok akibat tekanan darah yang terlampau tinggi.

Ada banyak lagi penyakit yang boleh berubah statusnya semasa bepuasa lebih-lebih lagi jikalau pesakit ambil mudah dan tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat demi menjaga kesihatan.

Antaranya adalah pesakit buah pinggang, sakit jantung, lemah jantung dan penyakit yang berkaitan dengan nutrisi. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat. 

Jadikanlah bulan Ramadan ini dapat melahirkan kesihatan kita yang terbaik daripada tahun sebelumnya, seiring

dengan ibadah kita pada yang Maha Esa. 


PROF MADYA DR MOHD RADZNIWAN A RASHID adalah Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Bulan Sabit Hijau, Malaysia, merangkap Pensyarah and Pakar Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis.


13
6
0
6
0
You will be interested