Alam & Sains 22 Jul, 2020

Syabas! Celcom, Aerodyne terokai pembangunan teknologi dron

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

DALAM usaha memberi sokongan digital yang lebih kukuh kepada usahawan rintis digital dan teknologi tempatan, Celcom Axiata Berhad (Celcom) dan Aerodyne  Group (Aerodyne), iaitu penyedia penyelesaian DT3  (Drone Tech, Data Tech and Digital Transformation) antarabangsa, mendandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meneroka pembangunan penyelesaian IR4.0 dengan fokus kepada sektor perbandaran dan pertanian. - KitaReporters

Idham Nawawi (kiri) dan Kamarul A. Muhamed bekerjasama untuk meneroka teknologi dron dan data dalam penyelesaian IR 4.0, dengan fokus kepada sektor bandar dan pertanian.


Kerjasama itu dilihat membuka peluang bersama untuk membangunkan serta memasarkan penyelesaian yang inovatif dalam kedua-dua sektor berkenaan.

Pembangunan penyelesaian inovatif yang dicadangkan bakal membuka laluan bagi Celcom dalam memperluas penawaran untuk penyelesaian perusahaan dalam ekosistemnya. 

Selain itu, penyelesaian dron yang sedia dimiliki Aerodyne akan dikuasakan oleh Celcom, dan ini akan diperluaskan kepada pelbagai penyelesaian Aerodyne yang lain.

Idham Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad berkata, kolaborasi seumpama ini penting bagi mengukuhkan pembangunan golongan pakar yang mampan dalam ekosistem tempatan, sekali gus membolehkan pelbagai industri di Malaysia mengadaptasi revolusi industri tersebut. 

“Inisiatif ini juga adalah kesinambungan daripada sokongan yang diberikan oleh Axiata Digital Fund (ADIF), melalui pelaburannya ke atas Aerodyne sebelum ini. 

"Kami berharap untuk membentuk lebih banyak kerjasama sebegini untuk menginspirasi usahawan dan syarikat rintis di Malaysia dalam adaptasi pantas bagi penyelesaian Internet Pelbagai Benda (IoT) dan Kecerdasan Buatan (A.I.), dan pada masa yang sama menyumbang dalam pembangunan ekosistem digital yang inklusif,” tambah Idham.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aerodyne Group, Kamarul A Muhamed pula berkata, “Kami amat teruja dengan kerjasama strategik ini, dan bersama Celcom penerokaan dan pembangunan penyelesaian pintar menggunakan dron dan teknologi 5G akan dapat dijalankan. 

"Ia akan membolehkan dron menghantar rakaman definisi tinggi dalam masa nyata. 

"Latensi milisaat bagi 5G dan kelajuan data hingga 100 kali lebih pantas daripada 4G membolehkan dron menghantar rakaman dan data berkualiti tinggi kepada pengendali di darat.”

Dron kini telah diterima sebagai alat yang sesuai untuk aplikasi komersial dan kerajaan tempatan dalam sektor pertanian, fotografi udara, pemantauan, perlombongan, tenaga, pembinaan, keamanan dan keselamatan, serta industri logistik. 

Bagi mencapai potensi maksimum daripada aplikasi tersebut, keterhubungan yang lancar antara juruterbang dron kepada dron amat diperlukan dan ia boleh dicapai melalui 5G.

Turut bersama Idham Nawawi dan Kamarul ialah Muniff Kamaruddin, Ketua Pegawai Penciptaan Nilai Celcom Axiata Berhad (kiri);  Azlan Zainal Abidin, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Celcom Axiata Berhad;  Azita Azizan, Pengarah Eksekutif Kumpulan Aerodyne; dan Amir Zakwan Anuar, Naib Presiden Kanan, Pelaburan Strategik dan Perkongsian Kumpulan Aerodyne (kanan).

Sementara itu, menurut firma penyelidikan MarketsandMarket, pasaran pertanian pintar dianggarkan berkembang dari AS$13.8 bilion pada tahun 2020  menjadi AS$22.0 bilion pada tahun 2025, dengan CAGR 9.8%.

Pandemik Covid-19 telah meletakkan tumpuan kepada pelan segera dan jangka panjang bagi bekalan makanan di Malaysia.

Sehubungan itu, penggunaan teknologi canggih yang berkembang seperti IoT dan AI di ladang akuakultur, pemantauan ternakan, dan ladang pertanian pintar untuk meningkatkan hasil pertanian mendorong pertumbuhan pasaran pertanian pintar. 

Manakala, pembangunan bandar pintar dijangka terus berkembang di serata dunia dengan jumlah nilai pasaran bandar pintar yang diunjurkan melebihi AS$2.5 trillion menjelang 2025, apatah lagi bandaraya di serata dunia kini bergantung kepada inovasi untuk kemampanan, penambahbaikan perkhidmatan bandar dan penyediaan persekitaran yang selamat dan sihat bagi penduduknya. - KitaReporters

0
3
0
0
0
You will be interested