Penyakit mental dijangka menjadi penyakit kedua tertinggi di negara kita selepas penyakit jantung menjelang tahun 2030.
Menurut laporan KKM pada tahun lepas (2022), seramai 336,906 jumlah saringan kesihatan mental dijalankan di seluruh negara. Daripada jumlah itu sebanyak 24,139 atau 7.1 peratus kes didapati mempunyai simptom kemurungan.
Melihat pada statistik yang membimbangkan ini, masyarakat dan individu yang mengalami kemurungan dan masalah mental boleh mengatasi penyakit ini dari terus menjadi penyakit tertinggi di negara kita dengan mendapatkan rawatan dan bantuan kesihatan yang awal.
Lagi cerita-cerita sedih berkaitan masalah kemurungan
Dr Rafidah Kastawi
Dr Rafidah Kastawi, seorang kaunselor berdaftar dan juga seorang psikologis, memberitahu seseorang yang mula mendapat simptom kemurungan perlu dibantu dengan segera. Ahli keluarga dan mereka yang rapat dengan individu berkenaan perlu peka terhadap perubahan dalam diri seseorang.
Jika dulunya nampak ceria tetapi tiba-tiba menjadi antisosial dan tidak mahu berkawan dengan sesiapa dan suka memencilkan diri, keluarga perlu bertindak pantas membantu individu berkenaan. Jangan dibiarkan sehingga penyakit itu menjadi lebih teruk dan sukar di ubati serta dikawal
Dr Rafidah juga memberitahu, sebelum berjumpa doktor psikiatrik, bawalah berjumpa kaunselor dahulu, kenal pasti apa masalah yang dihadapi individu berkenaan. Kemudian dari perbincangan dengan kaunselor jika dirujuk ke hospital dan doktor psikiatrik keluarga perlu membawa individu berkenaan untuk mendapat rawatan.
Tidak dinafikan peranan keluarga sangat penting untuk membantu pesakit atau individu yang mengalami kemurungan.
Biasanya mereka yang murung merasakan diri tidak berguna, tak bermotivasi, selalu rasa rendah diri, suka marah marah, tak berminat dengan kehidupan, tidak mahu bercakap dengan sesiapa dan suka menyendiri.
Jika ini berlaku keluarga mesti menjadi orang yang lebih rapat dengan individu berkenaan.
Dekati individu berkenaan. Sentiasa ambil tahu dan peka terhadap perlakuannya. Jangan biarkan mereka yang sedang mengalami proses kemurungan keseorangan dan merasa tidak ada sesiapa mempedulikan dia.
Jika mereka berhadapan dengan masalah kemurungan keseorangan kemungkinan mereka akan membuat sesuatu yang boleh membahayakan diri mereka atau tidak rasional.
Peranan keluarga dan orang yang rapat dengan individu ini ialah sebagai "pelindung" atau teman yang boleh dijadikan tempat meluahkan masalah dan keserabutan minda yang sukar untuk diluahkan.
Menurut beliau lagi, antara terapi yang boleh membantu mereka yang mengalami kemurungan ialah terapi senaman ringan, terapi seni seperti melukis, menyanyi, main muzik, beribadat, berurut, dan cuba berfikiran positif.
"Sebenarnya bukan mudah pun hendak mengajak mereka yang mengalami kemurungan melakukan terapi yang dinyatakan di atas, ini kerana sikap orang yang mengalami kemurungan biasanya bersifat malas, sentiasa negatif dan sudah putus asa dengan kehidupan.
"Jadi di sini dapat ditegaskan bahawa peranan keluarga dan kawan rapat sangat penting untuk membantu mengembalikan jiwa yang lebih segar dan baru dalam diri pesakit mental atau individu yang mengalami kemurungan. Dengan kasih sayang dan perhatian, pesakit mental boleh termotivasi untuk kembali normal," katanya lagi.
Dr Salina Abdul Aziz
Sementara itu Dr Salina Abdul Azizi, Mantan Ketua Jabatan Psikiatrik dan Kesihatan Mental Hospital Kuala Lumpur berkata, mereka yang mengalami kemurungan, stres dan masalah kesihatan mental yang lain, boleh merujuk kepada klinik Kesihatan berdekatan mereka.
Beliau berkata, KKM ada menyediakan perkhidmatan kesihatan mental di 1,161 klinik kesihatan, 58 hospital, 34 buah Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) di seluruh negara.
Selain itu KKM juga menyediakan empat institusi mental membabitkan aspek promosi, pencegahan, pengesanan awal dan rehabilitasi.
Hospital-hospital yang berkaitan dengan masalah mental yang biasa diketahui masyarakat ialah seperti Hospital Bahagia Ulu Kinta (Hospital Tanjung Rambutan), Hospital Permai di Tampoi, Johor; dan beberapa lagi hospital psikiatrik di seluruh negara.
Selain hospital kerajaan, hospital swasta dan separa kerajaan seperti PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya} juga ada menyediakan perkhidmatan untuk pesakit mental.
Dr Salina berkata, pesakit yang mengalami awal kemurungan perlu mendapat rawatan dengan segera dan jika mereka makan ubat dan menjalani rehabilitasi mental, mereka mempunyai peluang yang cerah untuk kembali normal.
Bagaimanapun jika mereka dibiarkan mengalami kemurungan yang berpanjangan tanpa mendapat rawatan, mereka mungkin memasuki fasa sakit mental yang kronik dan sukar untuk pulih sepanjang hayat.
Oleh itu beliau menasihatkan mereka yang mengalami kemurungan agar mendapat rawatan awal dan sentiasa mengikut nasihat doktor untuk mengawal sakit mental mereka dan cuba menjalani kehidupan dengan lebih positif dengan menjalani latihan rehabilitasi. - KitaReporters