Alam & Sains 14 Nov, 2020

Amaran Selangor! Perubahan monsun! Air pasang besar 15-16 Nov

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
SEPERTI negeri-negeri lain di jajaran Pantai Barat Semenanjung yang mempunyai kawasan pantai, Selangor dijangka terjejas akibat air pasang besar selama dua hari pada Ahad, 15 November dan Isnin, 16 November 2020 ini selain berpunca daripada peralihan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh. : KitaReporters

Info Grafik mengenai fenomena air pasang besar yang berlaku di persisir pantai Selangor pada 15 November  dan 16 November 2020 ini.

Lagi kisah-kisah berkaitan air pasang:

https://kitareporters.com/search?search=air+pasang


Air pasang besar dengan ketinggian sekitar 6.6 meter pada kedua-dua hari itu berlaku pada sekitar jam 5.44 pagi (Ahad) dan 6.24 pagi (Isnin). Fenomena ini berlaku kali ketiga sepanjang tahun 2020. Sebelum ini, ia berlaku selama lima hari iaitu pada 19 dan 20 September 200 dan 17, 18 serta 19 Oktober 2020.
Lima daerah yang mempunyai kawasan persisir pantai dan akan terjejas ialah Kuala Selangor, Sabak Bernam, Sepang, Kuala Langat dan Klang. 

Ban yang menjadi benteng pecah semasa air pasang besar akan mengakibat air laut memasuki kawasan kediaman seperti yang berlaku di Kampung Batu 5 Jalan Kapar, Klang pada fenomena air pasang besar pada Oktober 2020. - Kredit Foto: Unit Pengurusan Bencana Selangor dan FB Pelancongan Selangor.

Jika peralihan Monsun Timur Laut kali ini disertai angin kencang dan hujan lebat berlebihan, air pasang besar dijangka boleh membawa banjir terutama dikawasan-kawasan rendah yang mudah dinaiki air.
Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) yang beroperasi di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Bangunan Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dan pejabat-pejabat pada peringkat daerah yang ditempatkan di Pejabat Tanah dan Daerah sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku disebabkan fenomena ini.
Di samping itu, pasukan petugas termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Unit Penguat Kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Majlis-Majlis Daerah terlibat siap sedia sepanjang masa terutama pada hari kejadian.
Maklumat daripada laman sosial Majlis-Majlis Daerah terlibat, pemantauan bersekala turut dijalankan oleh unit khas sama ada di kawasan rendah yang mudah dinaiki air juga ban-ban di pesisir pantai terutama yang telah diperbaiki sebelum ini supaya tidak terjejas jika berlaku ombak besar.
Unit Pengurusan Bencana Negeri juga menyediakan lima bilik gerakan ditempatkan di setiap Pejabat Tanah dan Daerah bagi daerah-daerah terlibat serta 20 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi kemudahan mengurus dan menyelenggara mangsa terjejas.

Daerah Kuala Selangor mempunyai 10 PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa, Dewan Orang Ramai Sungai Buloh,Balai JKKK Kampung Sungai Sembilang, Dewan Orang Ramai Jeram, Balai Raya JKKK Kampung Pasir Tuntung,

Sekolah Kebangsaan Asam Jawa, Sekolah Kebangsaan Pasangan, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tanjung, Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Pasir Penambang dan Institut Pengurusan Peladang Tanjung Karang.
Di Daerah Klang dan Sabak Bernam, 4 PPS setiap satu iaitu Dewan Serbaguna Kampung Sungai Serdang, Sekolah Rendah Agama Batu 4 Jalan Kapar, Dewan Kompleks Sukan Pandamaran dan Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) Pelabuhan Klang. Bagi Daerah Sabak Bernam di Dewan Sri Sekinchan, Dewan Seri Bernam, Dewan Parit Baru dan Dewan Sri Nakhoda.
Untuk Daerah Kuala Langat dua PPS iaitu Dewan Orang Ramai Sri Nanding dan Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang manakala Daerah Sepang di Maahad Intergrasi Tahfiz Selangor.

Info grafik mengenai bilik gerakan dan pusat pemindahan disediakan oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor .

Antara kawasan berisiko disenaraikan oleh UPBN berikutan fenomena air pasang besar ini ialah di Daerah Sabak Bernam 16 tempat iaitu Kampung Sungai Air Tawar, Bagan Sungai Besar, Tebuk Mendeleng, Pantai Bagan Nakhoda Omar, Sungai Lang, Pantai Batu 23 Sungai Nibong, Kampung Sungai Tengar, Parit Baru, Institut Latihan dan Dakwah Selangor (ILDAS), Politeknik Sultan Idris Shah, Persisiran Pantai Bedena, Sekolah Menengah Agama Pasir Panjang, Bagan Sekinchan, Bagan Sungai Besar, Bagan Sungai Burung dan Jalan Sentosa Kampung Sekendi.
Bagi Daerah Kuala Selangor pula 10 kawasan meliputi Bagan Tengkorak, Kampung Sungai Janggut, Kampung Sungai Sembilang, Kampung Lembah pantai,Sungai Kajang, Bagan Pasir Penambang, Bagan Pasir Tanjung Karang, Kampung Bagan Pasir, Kampung Tok Adam dan Pantai Remis Jeram.
Sejumlah 11 kawasan dijangka turut terjejas fenomena kali ini meliputi Pangkalan Tok Muda, Ban Sementa, Ban Sungai Keramat, Jalan Pandamaran, Taman Selat Damai, Pelabuhan Klang, Kampung Sungai Serdang, Kampung Perepet, Pelabuhan Utara, Pulau Ketam dan Telok Gong.
Daerah Kuala Langat melibatkan 10 kawasan iaitu Ban Sijangkang, Jalan Harmoni, Istana Pantai Bahagia, Persisir Pantai Tanjung Sepat, Pantai Batu Laut, Pantai Morib, Pantai Kelanang, Pekan Tanjung Sepat, Ban Kampung Kundang dan Rumah Peranginan Persekutuan di Morib.

Tiga kawasan di Daerah Sepang ialah Kampung Orang Asli Bagan Lalang,Kampung Tanjung Rhu dan Persisir Pantai Bagan Lalang.


Orang ramai perlu mengelakkan diri daripada mengunjungi atau berada di pesisir pantai di Selangor termasuk Pantai Morib semasa air pasang besar pada 15 November dan 16 November 2020.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam satu kenyataan menasihatkan orang ramai sentiasa bersiap sedia menghadapi musim peralihan monsun yang membawa amaran hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora.
Ketua Pengarahnya, Jailan Siman berkata, semua pihak terutama mereka yang tinggal di pesisir pantai perlu waspada fasa awal Monsun Timur Laut  sepanjang November dan Disember ini dengan segala kemungkinan berlaku. Selain itu perlu sentiasa peka dengan keadaan semasa terutama amaran hujan lebat dan angin kencang.
Secara kebetulan air pasang besar kali ini semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang termasuk Selangor, maka orang ramai yang terjejas dan terpaksa berpindah ke PPS hendaklah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk menjaga penjarakan sosial ,memakai pelitup muka dan membasuh tangan.
Selain itu, orang ramai dinasihatkan jangan menghampiri kawasan pesisir pantai sama ada untuk tujuan berkelah atau memancing bagi mengelakkan suatu tidak diingini berlaku nanti. - KitaReporters

Aktiviti memancing disekitar Pantai Jeram, Kuala Selangor yang menjadi kegemaran kaki pancing perlu dielakkan semasa fenomena air pasang besar berlaku.

0
0
0
0
0
You will be interested