
Satu
inisiatif di peringkat serantau berkaitan kaedah penjagaan pesakit kanser
serviks yang dikenali sebagai Projek ACTIVE 2.0 telah dilancarkan di Malaysia,
baru-baru ini.
Melibatkan
enam negara di Asia Tenggara, Projek
ACTIVE 2.0 ini dilaksanakan dengan tujuan untuk menambah baik usaha rawatan dan
menyokong proses pemulihan pesakit kanser serviks di serata Asia Tenggara.
Sebagai
satu-satunya institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT)
yang dipilih untuk menyertai program ACTIVE 2.0 ini, Institut Perubatan dan
Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) akan terus
meningkatkan usaha terutama dalam bidang penyelidikan, latihan dan inovasi.
Sebagai sebahagian dari inisiatif ini, IPPT USM menawarkan khidmat dua orang pakar onkologi dan juga seorang ahli fizik perubatan, di samping infrastruktur terkini yang sedia ada, sesuai dengan peranannya sebagai pusat latihan bagi khidmat ‘brachytherapy’ atau brakiterapi.

Dr Jasmin Jamil sedang menunjukkan aplikator brakiterapi yang digunakan bagi merawat kanser pangkal rahim.
Inisiatif yang diketuai Dr. Jasmin Jalil di IPPT ini juga akan meletakkan institut berkenaan sebagai satu-satunya institusi di bawah KPT yang terlibat, yang juga merupakan satu dari 17 pusat latihan di Asia Tenggara yang berfungsi sebagai pusat latihan yang menumpukan kepada rawatan brakiterapi lanjutan bagi kanser serviks.
"Inisiatif selama tiga tahun ini akan memberi tumpuan kepada pengukuhan sistem penjagaan kesihatan melalui latihan klinikal, peningkatan infrastruktur, dan inovasi digitalisasi, dengan matlamat untuk melebarkan akses terhadap penjagaan khusus berkualiti tinggi bagi pesakit kanser serviks dan keluarga mereka," menurut kenyataan Pusat Media USM pada 9 Julai 2025.
Dalam pada
itu, Pengarah Projek ACTIVE 2.0, Paul Lee berkata, kanser serviks masih menjadi
cabaran besar dalam bidang penjagaan kesihatan di rantau Asia Tenggara dengan
lebih dari 69,000 kes baharu dan 38,000 kematian dilaporkan dalam tahun 2022
menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Walaupun
kaedah radiasi moden telah meningkatkan hasil rawatan dengan ketara, masih ada
jurang dari segi akses kepada rawatan terkini dan kepakaran terlatih.
"ACTIVE
2.0 berusaha merapatkan jurang ini melalui latihan perubatan lanjutan,
penambahbaikan infrastruktur, dan inovasi tertumpu dalam penjagaan pesakit
kanser.
“ACTIVE 2.0 adalah satu langkah penting dalam mempertingkat akses kepada penjagaan lanjutan di seluruh Asia Tenggara, termasuk Malaysia,” katanya.

Melalui
projek ini, katanya, Malaysia akan meningkatkan bilangan pakar klinikal
terlatih dalam bidang rawatan lanjutan kanser serviks, meningkatkan keupayaan
hospital tempatan, dan akan lebih mampu memberikan sokongan kepada para pesakit
dalam tempoh pemulihan mereka.
“Matlamatnya
adalah untuk memberi harapan kepada semua pihak yang terpaksa berhadapan dengan
kanser serviks,” katanya.
Menurutnya,
ACTIVE 2.0 akan bekerjasama dengan pusat rawatan onkologi ternama di
Semenanjung Malaysia dan juga di Sabah dan Sarawak , untuk membangunkan
jaringan empat Pusat Kecemerlangan (CoE) bagi rawatan kanser serviks.
"Kesemua pusat ini akan menerima peralatan latihan radioterapi terkini dari projek tersebut, di samping peningkatan infrastruktur bagi menyokong proses pemulihan jangka panjang para pesakit," ujarnya. - KitaReporters