Alam & Sains 01 Nov, 2021

Baik punya! MakmurAgro bakal lancar Kota Tani! 1 Parlimen 1 Nurseri! Bekal bahan tanaman terbaik

@news editor 2
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke editor@kitareporters.com

Share this


RAKYAT Malaysia khususnya golongan petani bakal menikmati lebih kemudahan bagi mendapatkan bekalan bahan tanaman terbaik melalui Program Pembangunan Tapak Semaian Kebangsaan Satu Parlimen Satu Nurseri (1P1N).

Program pembangunan inisiatif sebuah syarikat terlibat dalam sektor pertumbuhan utama iaitu Aras Niaga Makmur Agro Berhad (MakmurAgro) menerusi anak syarikatnya, Makmur Biotechnology Sdn. Bhd. itu akan dilancarkan akhir tahun 2021 di seluruh negara.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pertanian


Mohd Al Khafiz Zainal


Ketua Pegawai Eksekutif MakmurAgro, Datuk Mohd Al Khafiz Zainal berkata rangkaian nurseri 1P1N akan diuruskan secara bersepadu di bawah jenama Kota Tani dan semua produk juga akan turut dipasarkan melalui platform digital atau secara dalam talian.

Kota Tani sebagai pusat sehenti yang mampu berikan kemudahan kepada orang ramai terutama golongan petani bagi mereka dapatkan bekalan bahan tanaman terbaik pada masa yang dikehendaki.

“Banyak produk  berpotensi untuk dijual dalam rangkaian nurseri 1P1N. Peringkat permulaan, Kota Tani akan menjual anak pokok untuk tanaman kontan seperti pokok pisang, betik dan kunyit hitam selain tanaman industri  (kelapa sawit serta getah). 

“Begitu juga dengan tanaman hiasan seperti anak pokok bunga orkid, palma, heliconia, celosia dan zinnia juga mendapat permintaan yang tinggi ketika ini,” katanya menerusi kenyataan media bertarikh 30 Oktober 2021. 


Makmur Biotechnology Sdn. Bhd bakal lancarkan Program Pembangunan Tapak Semaian Kebangsaan 1P1N di seluruh negara pada akhir tahun 2021


Tambah beliau, Kota Tani hanya membekalkan bahan tanaman terbaik dan bermutu tinggi terutama hasil daripada kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta semua agensi berkaitan pembangunan pertanian kebangsaan.

Katanya lagi, antara input tani yang boleh dijual adalah baja, tanah campuran, bahan kawalan perosak dan rumpai, alatan kecil pertanian, pasu serta polibeg.

“Bahan tanaman dan benih ini telah mendapat pengesahan Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI). Penjualan input tani akan hasilkan pendapatan berulang kerana sentiasa diperlukan petani dan pekebun.

“Meskipun kesemua nurseri 1P1N di 222 buah Parlimen berfungsi sebagai pusat jualan namun sebahagian daripadanya juga turut berperanan sebagai pusat pengedaran serta semaian,” ujarnya. 


Kota Tani hanya membekalkan bahan tanaman terbaik dan bermutu tinggi 


Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Al Khafiz berkata pusat semaian berpusat akan diwujudkan di Rembau, Negeri Sembilan iaitu lokasi bahan-bahan utama dihasilkan.

Kata beliau, anak-anak benih atau bahan dihasilkan kemudiannya dihantar ke pusat-pusat pengedaran yang diwujudkan di setiap negeri yang berfungsi untuk menerima dan menyimpan stok produk diperoleh daripada pembekal.

“Produk daripada pusat pengedaran akan dihantar ke pusat jualan mengikut keperluan. Kewujudan pusat pengedaran ini mampu jimatkan kos logistik dan membolehkan produk dihantar kepada pelanggan dengan segera.

Kedai Kota Tani pula akan menjadi medium interaksi utama bersama pelanggan melibatkan aktiviti jual beli berlaku.

“Produk daripada rangkaian nurseri 1P1N turut disasarkan untuk kegunaan di Ladang MakmurAgro yang kini dianggarkan lebih 2,000 ekar (816 hektar), Ladang Integrasi Tanaman Rakyat (LITAR), nurseri runcit dan orang awam,” katanya.


 


Untuk info, 1P1N dilaksanakan bersama rakan strategik seperti Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), MAFI, MARDI, Agrobank Malaysia Berhad, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Sementara itu, pada masa yang sama, MakmurAgro juga bakal menandatangani Momorendum Persefahaman (MoU) bersama Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) dan beberapa institusi lain sebagai rakan strategik komersial.

Kerjasama bersama UCAM merangkumi penempatan latihan praktikal dan kerjaya mahasiswa, latihan profesional jangka pendek dalam bidang-bidang yang ditentukan serta bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara kerjasama yang bakal dijalin kedua-dua pihak. - KitaReporters


6
11
0
12
0
You will be interested