Selera & Santai 26 Dec, 2020

Video| Kedai makan Belagoangin! Tempat untuk belago selera!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

NAMA kedai pun agak pelik, kedudukanya pula di tepi sawah padi yang menghijau manakala menu masakan klasik Melayu, tidak hairanlah kedai makan ‘Belagoangin’ menjadi tumpuan orang ramai bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan tetapi juga pelancong asing. : KitaReporters.


Beginilah bangsal kedai Belagoangin yang menjadi pilihan orang ramai


Kedai makan Belagoangin di tepi sawah Kampung Pancur Kuin, Batu Rakit, Kuala Terengganu berkonsepkan tradisional. - kredit gambar-gambar: Facebook Kedai Makan Belagoangin dan Kama Zakaria


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan gerai makan:

https://kitareporters.com/search?search=gerai+makan


Bukan itu sahaja, daya tarikan pelayan yang mengenakan pakaian seragam tradisional Melayu dengan membawa hidangan menggunakan dulang buluh, pastinya mampu mengimbau kembali pada situasi zaman silam.

Pelbagai keistimewaan yang dimiliki kedai makan Belagoangin yang menghidangkan makanan tradisional dengan pelanggan makan di bawah bangsal beratap rumbia pastinya menyeronokkan setiap pengunjung.


Petugas di kedai makan Belagoangin berpakaian seragam



Pemilik kedai makan Belagoangin, Kama Zakaria, 53, tidak sia-sia membina konsep kedai makan berteraskan alam tradisional tersebut walaupun lokasi tempat dia menjalankan perniagaan agak jauh dari bandar tetapi pengunjung tetap mencarinya. 

Terletak di Kampung Pancur Kuin, Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu, kedai makan tersebut kini semakin popular selepas ia sering ditularkan dalam media sosial oleh pelanggan yang pernah singgah menikmati makan di situ kerana ia dianggap unik.

Kama berkata, ketika ini pihaknya ada menyediakan lebih 30 jenis masakan tradisional dan jarang ditemui termasuk budu goreng, gulai siput sawah, gulai kepala ikan tasik serta masak asam pedas ikan puyu, gulai telor itik, kerabu perut, gulai ikan yu, pari bakar berempah, pais patin, ayam percik, cencaru bakar, baung masak tempoyak dan pelbagai jenis ulam-ulaman.


Seorang pelayan membawa tempahan lauk menggunakan dulang buluh


Kama Zakaria (tengah) bersama pekerja yang berpakaian seragam kedai tersebut.


Kedai makan berkonsepkan 'kembali pada masa lalu' bukan sahaja menarik perhatian masyarakat tempatan malah pelancong dari luar negeri. 

Inisiatif bapa kepada empat anak itu membuahkan hasil apabila memperoleh pendapatan lumayan sejak berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mei 2020 lepas. 


Pelanggan sedang menjamu selera di kedai makan Belagoangin terletak di tepi sawah


Lebih menarik apabila makanan dan minuman yang pelanggan pesan akan dibawa menggunakan dulang buluh yang jarang dilihat pada masa kini serta menjadi tarikan utama pengunjung terutama kepada pelancong luar.  

Kedai makan Belagoangin ini dibuka setiap hari kecuali pada Khamis dan Jumaat dari pukul 11 pagi hingga 3.30 petang.

Belagoangin ini diusahakan oleh Kama seorang kontraktor yang telah hilang pekerjaan pada 2018 dan mengambil inisiatif berniaga kedai makan di sekitar kawasan rumahnya dengan menampilkan konsep kreatif iaitu 'kembali pada masa lalu'.


Antara menu yang disediakan di kedai makan Belagoangin


Pada peringkat permulaan, Kama hanya mengusahakan kedai makan tersebut bersama isteri Wan Jasnah Wan Sulong, 46, dengan dibantu oleh anak sulung mereka Mohd Zulhakim, 29, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) akibat sindrom Down, namun sejak pertengahan tahun lalu telah berjaya mengupah seramai 20 pekerja.

Walaupun kedudukan kedai tersebut di tepi sawah, tetapi ia menyediakan lebih 30 meja serta boleh memuatkan kira-kira 150 orang pelanggan dalam satu-satu masa.


Biarpun berada di bawah pokok dan kanopi kedai Belagoangin tetap menjadi tumpuan orang ramai


Bagi memastikan perniagaannya dapat diuruskan dengan baik, bapa kepada empat orang anak ini, bukan sahaja membantu isterinya memasak, tetapi juga membeli sendiri bahan-bahan untuk digunakan termasuk mendapatkan ikan sungai yang segar.

“Nama kedai yang agak unik ini juga menjadi tarikan... kalau ikutkan dialek daerah Besut, ia bermaksud berminat dan suka. Saya juga mula buat pondok berasaskan atap rumbia akhir tahun lalu apabila berfikir bagaimana cara nak popularkan kedai makan ini," ceritanya dengan lebih lanjut.


Papan tanda masuk ke kedai Belagoangin terletak di jalan besar


Pemilik kedai Kama Zakaria kerap muncul sebagai pekerja dengan membawa dulang buluh berisi lauk


Kalibat Kama yang sekali sekala muncul dengan  memakai tanjak dan berbaju batik ketika bertugas, juga menarik perhatian orang ramai kerana tidak menyangka beliau seorang pemilik kedai kerana gayanya macam seorang pekerja yang melayani pelanggan penuh mesra. 

"Kalau dulu saya hanya fikirkan skop perniagaan sekadar cukup makan, sekarang tetapi sekarang ia amat berbeza kerana pelanggan semakin ramai,”katanya.

Malah Kama turut memanfaatkan media sosial untuk memajukan kedai miliknya dengan menggunakan Facebook Kama Zakaria dan Kedai Makan Belagoangin untuk menarik pelanggan luar.


 

 

5
1
0
1
1
You will be interested