Selera & Santai 03 Jul, 2024

Wow! Pertunjukan layang-layang gergasi antarabangsa! Meriahkan kembali tradisi main wau di Terengganu!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this


KEKERAPAN Terengganu menganjurkan pelbagai program sama ada pada peringkat negeri, kebangsaan malah hingga ke peringkat antarabangsa menyebabkan negeri itu kini dikunjungi ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

Tidak kurang juga ada dalam kalangan netizen menggelarkan negeri itu sebagai Terengganu Festival apabila merujuk kepada banyaknya aktiviti termasuk sukan, kesenian, kebudayaan dan riadah yang dianjurkan oleh pelbagai pihak.

Terbaharu Terengganu sekali lagi menarik perhatian orang ramai apabila menganjurkan Pertunjukan Layang-Layang Antarabangsa Kuala Terengganu 2024, selama dua hari selepas penganjuran Terengganu Bike Week (TBW) 2024 yang menarik lebih 15,000 pengunjung. 



Sempena pameran layang-layang yang berlangsung dua hari pada 1 dan 2 Julai 2024 di Dataran Jambatan Angkat, sebanyak 15 negara 'berkampung' di negeri tersebut

Pegawai Tugas-tugas Khas Persatuan Penggiat dan Pemain Wau Negeri Terengganu, Zulkifli Abd Rani berkata, pameran singkat dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) diadakan di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu dari jam 9.00 pagi sehingga 9.00 malam.

Menurutnya, seramai 35 peserta dari Indonesia, Thailand, Macau, Hong Kong, China, Poland, Austria, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Ukraine dan Sweden mengambil bahagian.



Katanya,  pameran tersebut bertujuan untuk memeriahkan kembali tradisi wau dan layang-layang di Terengganu. 

"Ikut rekod, kita (pelayang wau) main di luar berjaya jadi orang tertanya-tanya mengapa kita tidak buat di Terengganu sendiri?

"Jadi, peluang ini cuba kita ambil dengan menghubungi Majlis Pelayang Malaysia yang baru selesai pameran di Kelantan untuk program ini, dataran ini pula dilihat sebagai tapak yang sesuai dan menawarkan nilai pelancongan yang lebih baik.

"Seingat saya, pameran atau pertandingan sebesar ini sudah lebih 10 tahun tidak diadakan. Dengan langkah pertama ini, secara umumnya kita hendak membantu negeri menarik lebih ramai pelancong ke sini selain berhasrat mengadakan semula pertandingan sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya lagi.

Zulkifli berkata paling menarik, pada waktu malam pengunjung akan disajikan dengan wau yang dihiasi kerlipan cahaya sebagai keunikan yang diketengahkan dalam pesta-pesta wau dan layang-layang kali ini.




Dalam pada itu, wakil Komunitas Pencinta Layang-layang Nusantara Talikama, Lianawati Lea menyifatkan Terengganu memiliki potensi untuk pertandingan dan pameran layang-layang gergasi terutama di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu.

"Ini kali pertama saya ke Terengganu, sebelum ini saya sering 'menerbangkan' layang-layang di Kelantan, Sarawak dan Johor.

"Festival ini bagus kepada pelancongan setempat, sebagai contoh penganjuran festival layang-layang yang diadakan Jogjakarta tahun lalu (2023) berjaya menarik lebih 50,000 pengunjung," katanya. - KitaReporters


Peserta bergambar kenangan berlatar belakangkan Jambatan Angkat, Kuala Terengganu

10
15
0
8
0
You will be interested