Selera & Santai 29 Oct, 2023

Mee Rebus Haji Wahid terlajak sedap! Jadi legenda seluruh negara! Tak sah kalau di JB tak merasanya!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

Mee Rebus Haji Wahid di Plaza Angsana, Johor Bahru sering menjadi tumpuan orang ramai.


Selepas makan siput sedut masak lemak di Warung Wak Dol, Kampung Pasir, Johor Bahru (JB), saya dan keluarga singgah di Plaza Angsana. Saya memang suka datang ke sini kerana tempatnya "happening". Lagi pun, memang tidak sah singgah ke pusat beli belah ini jika tidak menikmati Mee Rebus Haji Wahid.

Orang Johor memang kenal sangat Mee Rebus Haji Wahid malah aura makanan itu tersebar ke seluruh negara. Dikatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan Lee Kuan Yew pernah makan mi itu. Wow, memang hebat la.

Mee Rebus Haji Wahid yang dianggap legenda dan antara mi rebus terbaik di negara ini.


Jika mengikut sejarah, Mee Rebus Haji Wahid sudah bertapak di Johor sejak 1919, dari berniaga secara kandar dari satu tempat ke satu tempat lain sebelum memilih Plaza Angsana sebagai lokasi kekal sejak 1997.

Namun, orang ramai yang mahu menikmati mi rebus berkenaan, boleh ke cawangannya di Taman Rinting, Medan Selera Pasar Awam Larkin, Kampung Melayu dan di sebelah Masjid Kolam Air.

Di Lembah Klang, anda boleh menikmati mi itu di Putrajaya, Shah Alam dan Sri Hartamas. 

Di Plaza Angsana, JB, restoran itu diuruskan oleh anak Wahid Baidali, Halim Wahid sehingga sekarang. 

Jika pada awal populariti, pada tahun 1980-an, mi itu hanya dijual RM1. 50 sepinggan tetapi kini harganya RM5 sepinggan (biasa) dan RM5.50 sepinggan (special). Mi rebus dengan daging RM10. 


Walaupun beratur panjang, pelanggan tidak menunggu lama kerana perkhidmatan yang diberikan cepat.


Mee Rebus Haji Wahid yang dihidangkan dalam kuah yang pekat, tidak sama seperti mi rebus utara. sebaliknya lebih kepada mi Jawa. rasa macam sup sikit cuma kuahnya pekat. Kuahnya lebih sedap diletakkan daun kucai, tauge, cili hijau, limau nipis dan bawang goreng.

Mee Rebus Haji Wahid di Plaza Angsana dianggap legenda di Johor Bahru kerana telah beroperasi sejak turun temurun. 

Walaupun kedai ini sentiasa menerima pelanggan yang ramai dan sanggup beratur menunggu giliran, perkhidmatannya pantas membuatkan pengunjung tidak perlu menunggu lama untuk menjamah kuah mi rebus legenda yang pekat dan mantap itu. 


Halim Wahid menyediakan sendiri mi rebus yang dipesan oleh pelanggan di gerainya di Plaza Angsana.


Kebetulan saya menikmati Mee Rebus Haji Wahid semeja bersama pengunjung dari Singapura yang menjadi acara wajib setiap kali datang ke Johor Bahru.

Mohd Ali Santero, 55, berkata dia sudah lama menjadi pelanggan Mee Rebus Haji Wahid di Plaza Angsana dan mengganggap makanan itu menggunakan resipi tradisi asli turun temurun dan ia adalah mi rebus terbaik di Johor dan antara yang terbaik di Malaysia. 

"Ia semestinya menu yang perlu dicuba jika datang ke Johor Bahru walaupun terpaksa beratur panjang tapi saya tidak pernah menyesal. Tapi jika tidak mahu keselesaan, bolehlah datang awal untuk mendapat tempat duduk kerana ia adalah medan selera. 

"Walaupun ada cawangan mi rebus itu di tempat lain di JB dan Lembah Klang tapi saya tetap memilih untuk makan Mee Rebus Haji Wahid bersama keluarga di Plaza Angsana kerana kekal kelazatan asal," katanya.

Gerai Mee Rebus Haji Wahid dibuka jam 11 pagi tapi walaupun dikatakan tutup operasi jam 10 malam tapi biasanya ditutup awal kerana semua makanan sudah "sold out". - KitaReporters


Mee Rebus Haji Wahid memang terkenal di Johor dan seluruh negara.

14
12
0
7
0
You will be interested