
Antara masakan signatur bagi menu Restoran Gesa.

Terletak di belakang BSN Jitra, Restoran Gesa telah menjadi sebuah lokasi untuk menjamu selera yang dikenali ramai selama lebih 40 tahun.
Menyajikan pelbagai hidangan warisan yang kaya dengan rasa dan sejarah, restoran ini terus menjadi pilihan utama warga Jitra dan pengunjung luar untuk menikmati masakan tradisional yang autentik.
Beroperasi setiap Sabtu hingga Khamis, dari jam 10 pagi hingga 5 petang, Restoran Gesa sentiasa dipenuhi pelanggan setia dari pelbagai lapisan masyarakat.
Hidangan-hidangan utama seperti bihun sup ayam, nasi ayam, dan kuetiau sup ayam menjadi pilihan popular, dengan setiap masakan dimasak mengikut resipi turun-temurun yang diwarisi sejak penubuhannya.

Staf restoran sedang sibuk menyediakan hidangan untuk pelanggan.
Restoran Gesa diasaskan oleh Allahyarham Shah Kholl Ajam, seorang kerani sekolah yang memiliki semangat gigih dan komitmen tinggi.
\Walaupun mempunyai kerjaya tetap, beliau memulakan restoran ini untuk menyara keluarga, dan bersama isterinya, beliau berjaya mengembangkan perniagaan yang kini menjadi legasi keluarga.
Selepas pemergian beliau, anak bongsunya, Aqilah Shah Kholl, telah mengambil alih tanggungjawab untuk memastikan restoran ini terus berkembang dan relevan di tengah-tengah cabaran industri makanan yang semakin berubah.

Aqilah Shah Kholl meneruskan legasi Restoran Gesa, diusahakan oleh ayahnya, Shah Kholl Ajam.
Menurut Aqilah, “Setiap hidangan yang dihidangkan bukan sekadar untuk memenuhi perut, tetapi juga menghidangkan rasa kasih sayang dan dedikasi keluarga kami.”
Dengan semangat yang diwarisi daripada arwah ayahnya, Aqilah kini berusaha untuk memastikan bahawa Restoran Gesa terus menjadi tempat yang menghubungkan pelanggan dengan kenangan manis.
Suasana restoran yang selesa dan layanan yang seperti keluarga telah mencipta pengalaman yang lebih daripada sekadar menikmati hidangan.
Ramai pelanggan yang telah datang sejak bertahun-tahun lalu menyatakan bahawa mereka kembali bukan hanya untuk menikmati hidangan, tetapi juga untuk merasai kehangatan dan keselesaan yang ditawarkan oleh restoran ini. - KitaReporters


Antara review dari pelanggan-pelanggan.