

Seorang usahawan wanita dari Kelantan, Hanisah Hassan, 47, mencetus fenomena tersendiri dalam dunia keusahawanan apabila produk makanan ringan ciptaannya, "Ubi Lambung", kini berkembang pesat dengan lebih 100 cawangan berdaftar di seluruh negara – 70% daripadanya masih aktif beroperasi.
Menariknya, nama unik “Ubi Lambung” bukan sekadar jenama biasa. Ia lahir daripada ilham selepas Hanisah atau lebih mesra disapa Kak Sah, melakukan solat istikharah memohon petunjuk daripada Allah SWT.

Sebelum ini, produk berasaskan ubi keledek itu dikenali sebagai Sweet Potato Ball (Sweet PB). Namun ketika ingin membawanya ke sebuah acara anjuran Alkhatiri di Kubang Kerian, Kota Bharu pada Ogos 2023, Kak Sah merasakan nama tersebut terlalu sukar untuk disebut dan diingati, terutamanya dalam kalangan masyarakat tempatan.
“Nama Sweet PB agak moden dan orang susah nak ingat. Saya buat solat istikharah minta Allah tunjuk jalan. Alhamdulillah, Allah ilhamkan nama 'Ubi Lambung'. Mudah, unik dan dekat dengan jiwa orang kita,” jelas Kak Sah ketika ditemui di Kota Bharu baru-baru ini.

Sejak itu, jenama Ubi Lambung semakin dikenali dan mendapat sambutan luar biasa, bukan sahaja kerana rasanya yang enak dan rangup, tetapi juga kerana pendekatan pemasaran yang mesra rakyat dan beridentiti tempatan.
Kejayaan Kak Sah membina empayar perniagaannya ini menjadi inspirasi kepada ramai usahawan baharu, terutamanya golongan wanita, untuk memulakan langkah dalam dunia perniagaan dengan bergantung sepenuhnya kepada usaha, doa dan keyakinan kepada rezeki daripada Allah SWT. - KitaReporters
