Selera & Santai 07 Oct, 2023

Video| Istana Bunian di Kpg Tok Burung, Bachok tak siap-siap! Dah 35 tahun dibina sendiri Hasyim Rahman!

@rashidah ibrahim
Bermula di Berita Harian sebagai wartawan di meja berita am 1985, diikuti Berita Minggu, meja mahkamah dan pendidikan sebelum ke majalah Anjung Seri (1993-2015). Jawatan terakhir Timbalan Editor. Meneraju variaseri.com youtube Anjung Destinasi TV.

Share this


Ingat lagi tak babak alam bunian dalam filem Sumpah Orang Minyak arahan Allahyarham Seniman Agung Negara Tan Sri P Ramlee? Aksi di mana P Ramlee bertemu seorang gadis bunian muda jelita diiringi lagu Seri Bunian yang mengasyikkan.

Hakikatnya ramai antara kita tidak pernah memasuki alam bunian kecuali insan tertentu yang dikatakan terpilih untuk berada di alam itu sama ada buat sementara ataupun kekal.

Sebut hal ini teringat seorang kawan penulis yang mengakui pernah termasuk ke alam bunian. Menurutnya, di alam bunian semua cantik, termasuklah persekitaran kediaman. 


Istana Bunian di Kampung Tok Burung, Bachok, Kelantan dibina oleh Hasyim Abdul Rahman berilhamkan unsur alam semula jadi yang menjadi perhatian pengunjung dari kalangan orang biasa dan juga pelajar seni bina kerana keunikannya. - Kredit foto: Blog sislin76


Menurutnya, alam bunian sama sahaja dengan tempat kita. Bezanya di sana lebih cantik. Taman dan pokok segar merimbun. Hijau daun sangat indah, tiada bandingan. 

Kami berbual santai sewaktu menginap sebilik di sebuah hotel dalam satu tugasan media, tiba-tiba dia terkongsi pengalaman itu.

Ditanya kenapa tidak tulis pengalamannya itu sedangkan dia seorang penulis, katanya, tak terfikir pun.

"Lagi pun catatan saya tak akan dapat menjelaskan keadaan sebenar di sana," tambahnya yang memilih untuk menyimpan sendiri kenangan itu. Dia salah seorang bernasib baik dapat kembali ke dunia nyata setelah termasuk ke alam bunian kerana memilih untuk tidak tinggal di situ. 


Dinding dibentuk seperti batu gua. Jendela berkerawang diperincikan dengan hiasan tiang bulat dan alunan birai. Daripada celah lubang tingkap boleh intai suasana di dalam. - Kredit foto: Blog Sislin76


Seorang lagi, Hashim Abdul Rahman, 66, bagaikan pernah melihat keindahan alam di sebelah sana berdasarkan usahanya membina sebuah istana bunian di Bachok, Kelantan.  

Pembinaan istana itu bagaikan manifestasinya terhadap kewujudan alam sebelah sana. Alam yang dikatakan sangat indah, tenang lagi damai. 

Bayangan itu diabadikan menerusi bangunan yang dinamakan Istana Bunian dibina tidak jauh daripada rumah asal beliau di Kampung Tok Burung, Bachok, Kelantan. 

Ada laporan menyebut beliau membina bangunan itu sejak tahun 1987 dan ada berkata seawal 1981, hakikatnya mengambil kira dari segi persediaan, mungkin juga usahanya lebih awal daripada itu namun sehingga kini dikatakan baru 68 peratus siap pun begitu difahamkan usaha pembinaan belum temukan noktah. 

Berpuluh-puluh tahun dibiarkan kosong dan belum tahu bila akan siap terkini difahamkan, akhirnya pemilik mengambil keputusan menetap di Istana Bunian sejak Januari 2023 ini walaupun mempunyai rumah lain di kampung yang sama.


Ruang anjung hadapan dengan tarikan deretan tetiang bulat dan persegi. Bentuk tajam di bahagian atas dekat pintu adalah balkoni yang terbuka ke arah anjung. - Kredit foto: Youtube BlogFaiz


Ditegakkan sudah 35 tahun lebih, namun sampai kini belum siap. Menghabiskan wang, tenaga dan masa sekian lama membina bangunan yang tidak diduduki memang agak pelik. Pengalaman sebagai tukang membolehkan beliau membinanya seorang diri secara berperingkat-peringkat mengikut kemampuan.

Jika diamati memang gila-gila ideanya. Bangunan dibina menerapkan unsur alam semula jadi mengambil ilham lokasi di gua. Permukaan dibentuk berketul dan bergerutu seperti batu gua, terdapat sekurangnya tujuh kolam buatan di dalam bangunan. Kolam adalah unsur alam sinonim dengan orang bunian. 


Idea yang gila-gila... Youtuber Blog Faiz meneliti kehalusan binaan Istana Bunian. - Kredit foto: YouTube BlogFaiz


Melihatkan hasil kerja tangan tukang itu terutama di fasad hadapan, ternyata tukang misteri ini seorang sangat kreatif memiliki cita rasa seni sangat tinggi dan ganjil. 

Dipandang dari luar, Istana Bunian seolah-olah diliputi bukit. Bahagian depan tampil sempurna, manakala sebahagian tingkat atas dan sebelah belakang masih terbengkalai sebab sepanjang dibina ada saja yang tidak memuaskan hatinya lalu diroboh dan dibina semula sampai puas hati. 

Namun kekurangan modal menyebabkan kerja binaan kerap terhenti. Nampaknya tidak ada jawapan bila bangunan yang dibina sejak tahun 1980-an itu akan siap.  


Dinding ganjil berilhamkan batu gua, dibentuk daripada batu pasir dan simen. - Kredit foto: YouTube BlogFaiz


Pintu masuk utama Istana Bunian dengan tiang hiasan diperbuat daripada susunan bebatuan bulat mengapit daun pintu. - Kredit foto: YouTube Blog Faiz


Pemandangan fasad depan dan ruang anjung ternyata unik, termasuk pintu dan tingkap. Menyerlahkan tingkap berkerawang dan deretan tiang roman segi berukiran lekuk menghiasi kawasan pintu masuk di anjung depan, menepati ciri binaan sebuah bangunan hebat seperti istana. 

Pandangan dari atas Istana Bunian yang tidak siap. - Kredit foto: YouTube BlogFaiz


Difahamkan tukang yang juga pemilik bangunan itu terfikir untuk membina sesuatu yang unik sejak usia 12 tahun dan pengalaman berada di alam bunian memberikannya ilham. 

Bukan sahaja bangunan, malah setiap reka bentuk bahan keperluan seperti kabinet, perabot mahupun pintu dan jendela diukir dengan tangan mengikut kreativiti sendiri, dibuat penuh tekun untuk mendapatkan hasil ganjil lagi menakjubkan.

Tidak hairanlah walaupun separuh siap bangunan itu bukan saja dikagumi orang biasa, malah turut menjadi tumpuan penyelidikan kalangan pelajar rekaan dan seni bina.


Bahagian fasad depan bangunan yang disempurnakan, lengkap dengan hiasan pokok. - Kredit foto: YouTube BlogFaiz


Bagaimanapun tidak mudah baginya untuk membina seorang diri, setiap bahagian binaan dan sudut dipastikan tampil unik dan berseni itu, justeru mengambil masa yang agak lama untuk disempurnakan. 

Kos umum yang dikeluarkan tidak kurang daripada RM1.5 juta. Sanggup beliau menghabiskan tenaga dan wang berjuta demi mendapat sebuah kepuasan. 

Sebelumnya, disebabkan pemiliknya tidak tinggal di situ tercetus tanda soal adakah beliau memang membina istana itu untuk bunian?  

Salah seorang yang pernah berkunjung ke situ berkata, dia terdengar suara orang mengaji sewaktu merayau di bahagian belakang Istana Bunian yang terbengkalai, sedang tiada bangunan lain rapat di situ. Suara siapakah? Tanpa lengah dia terus keluar daripada tempat berkenaan meninggalkan kawan lain di situ. 



Seorang Youtuber wanita pula sempat menemu bual kanak-kanak kampung di situ. Anak itu memberitahu mereka pernah ternampak lembaga seperti manusia tetapi ukuran kecil sahaja, dalam sejengkal saja. Eee apakah pula itu? 

Menurut Kamus Carian Umum Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dalam kebanyakan cerita rakyat orang bunian itu adalah orang kenit. Fikir balik mungkin benar berdasarkan nama lainnya adalah orang halus (kenit/kecil). 

Manakala dalam kebudayaan tradisi kita, bunian digambarkan serupa saiz manusia. Mungkin juga ada dua spesies besar dan kenit, ataupun kerana ia boleh menjelmakan diri mengikut mana mana saiz yang dikehendaki. - KitaReporters


Sumber:  YouTube BlogFaiz, YouTube ML Studios, YouTube NuR MuHD, YouTube SyabieBiey Halym, dan Blog SisLin76


17
12
0
16
0
You will be interested