Selera & Santai 09 Mar, 2020

NAK JADI PENYANYI 'WORLD'? JOM GI UJI BAKAT..

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

ASALNYA, Singapura sebagai pengasas kepada pertandingan mencungkil bakat-bakat baharu, i-Sing World mahu menganjurkan edisi keempatnya tahun ini, namun memberi laluan kepada Malaysia sebagai hos bagi i-Sing World 2020, bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2020. : KitaReporters

Dari kiri: Michael Sammy, Zuhairi Ibrahim, Elinda Zulkipli, Romli Bidin, Samy Wong dan Yuro T bersama melancarkan logo i-Sing World 2020 di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada 5 Mac 2020.


Sehingga kini sebanyak 28 negara luar telah menyatakan persetujuan menghantar wakil peserta masing-masing untuk bersaing pada peringkat akhir i-Sing World yang akan berlangsung pada  11-16 September 2020 di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Negara terlibat meliputi Australia, Kanada, China, Kemboja, Perancis, Finland, Greece, Guinea, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Macau, Myanmar, New Zealand, Pakistan, Filipina, Singapura, Afrika Selatan, Korea Selatan, Sepanyol, Sweden, Taiwan, Thailand, UAE, Ukraine, Vietnam dan Malaysia sebagai tuan rumah.

“Memandangkan Malaysia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2020, jadi saya bersedia memberi laluan kepada negara ini untuk menjadi hos, malah kami sasarkan mampu menarik penyertaan dari 50 buah negara,” ujar Yuro T selaku Presiden dan  pengasas bersama i-Sing Management melalui  APIC Singapura sebagai penganjur.

Yuro memberitahu demikian pada majlis pelancaran logo  i-Sing World 2020  yang berlangsung di Hotel Berjaya Times pada Khamis, 5 Mac 2020. 

Turut bersama Michael Sammy, Pengarah Urusan Rythmis Mine Studio merangkap penganjur i-Sing Malaysia; Romli Bidin, Ketua Pegawai Eksekutif Creative Line Promotions juga selaku penganjur bersama; Samy Wong Pengarah Bahagian Teknologi & Solusi Perniagaan i-Sing, Samy Wong; Elinda Zulkipli, Ketua Penolong Setiausaha Unit Khas TMM dan Zuhairi Ibrahim dari Bahagian Pengukuhan Seni & Budaya JKKN.


Tahun ini, i-Sing Malaysia dan i-Sing World disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia bersama Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2020.

Sebagai menambah kemeriahan pada pertandingan terbesar mencungkil bakat baharu seluruh dunia  itu, i-Sing World membuka permohonan kepada tiga kategori meliputi :

  • Junior - penyanyi solo berumur antara 6 hingga 16 tahun
  • Solo Dewasa - penyanyi solo berumur 17 tahun keatas 
  • Berkumpulan - terdiri dari 2 hingga 5 penyanyi tidak mengira umur.                                   

Sehubungan itu, enam sesi uji bakat sudah dikenal pasti meliputi seluruh negara seperti berikut:

  • 14-15 Mac Plaza Pelangi, Johor Bahru
  • 21-22 Mac Mahkota Parade, Melaka
  • 04-05 April Centrepoint Sabah, Kota Kinabalu
  • 11-12 April Kuching, Sarawak
  • 20-21 Jun Berjaya Times Square, Kuala Lumpur
  • 04 Julai Peringkat Akhir

Bagi mereka yang berminat untuk mencuba nasib bolehlah hadir ke lokasi berdekatan anda dengan membawa CD muzik sendiri.

“Peserta dibenarkan menyanyi dalam apa jua bahasa tetapi bagi peringkat akhir, mereka perlu menyanyi dua buah lagu yang mana salah satu mesti dalam Bahasa Malaysia,” ujar Michael.

Tambah beliau, yuran penyertaan adalah RM100 bagi peserta solo dan RM200 bagi peserta berkumpulan waima diskaun sebanyak 20% diberikan kepada mereka yang membuat pendaftaran serta pembayaran awal.

Jadi pada yang mahu bergelar penyanyi, sekali gus mewakili Malaysia ke peringkat akhir i-Sing World pada bulan September kelak,  apa tunggu lagu, ayuh perlihatkan bakat terpendam anda.

Khabarnya, seorang selebriti terkenal dari Amerika Syarikat bakal diterbangkan khas untuk menyertai panel juri pada pertandingan akhir i-Sing World yang bakal disertai lebih dari 400 peserta dari 50 buah negara terbabit.

Siapa penyanyi popular itu, biarlah rahsia seperti kata Dato Seri Siti Nurhaliza namun yang pasti nama awalnya yang diberitahu Yuro (gambar bawah) sekadar bermula dari abjad ‘AP’.


Agak-agak korang boleh teka ke siapa artis dari sebuah kumpulan terkenal yang namanya bermula dari huruf AP tu? 

Apa pun untuk rekod, sepanjang i-Sing World diperkenalkan pada tahun 2017 penyertaan dari Malaysia tidak menghampakan di mana penyanyi Syafeek Ikhwan (gambar bawah) dinobatkan sebagai juara i-Sing World pada tahun 2018 semasa pertandingan berlangsung di Paris.


Setahun sebelum itu pada i-Sing World yang berlangsung buat pertama kalinya di Myanmar, wakil Malaysia, Nabillah Mohammad (gambar bawah sekali, tengah) berada pada kedudukan ketujuh.

Tahun lalu, pula menyaksikan dua peserta yang mewakili Malaysia, Mohamad Husaini Mahmur (dua dari kiri) dan Nadia Hassan (dua dari kanan) masing masing menyerlah sebagai pemenang Naib Juara dan tempat ketiga pada pertandingan yang berlangsung di Stockholm, Sweden.


Info lanjut layari www.i-singworld.com atau ikuti aplikasi i-Sing World yang boleh diakses melalui telefon pintar anda ia boleh dimuat naik melalui Google Store atau Apple Store. - KitaReporters

30
3
0
2
0
You will be interested