Selera & Santai 25 Feb, 2021

Data Jabatan Perangkaan (DOSM)! Nasi kosong murah di Perlis! Nak minum, minum di Kuala Lumpur!

@sarfarizmal saad
Penulis merupakan pemimpin pelajar IPTA suatu ketika dulu. Pernah bertugas di 4 kementerian dan beberapa pasukan komunikasi strategik. Mula menulis di akhbar sejak 2009. Bekas Ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan dan bekas Pegawai Khas YBM.

Share this



TIADA benda percuma dalam dunia ini yang mudah untuk kita perolehi. Ia termasuklah untuk kita menambah sepinggan nasi kosong di kedai makan atau restoran, sudah tentu ia tetap perlu dibayar.

Bagi mereka yang kurang berkemampuan, untuk menambah sepinggan nasi kosong pun harus berfikir terlebih dahulu kerana harganya yang terkadang tidak masuk dek akal waras.

Apatah lagi jika ia di negeri-negeri maju seperti sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor dan sebagainya. Justeru, adakah kita perlu memilih negeri terlebih dahulu sebelum memilih untuk memesan sepinggan nasi kosong di restoran?


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan perangkaan:

https://kitareporters.com/search?search=perangkaan



Jangan risau, sebagai garis panduan dan ilmu, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini boleh dijadikan rujukan.

Berdasarkan Indeks Harga Pengguna 2020 bagi bulan November 2020 lalu yang diterbitkan jabatan itu pada awal tahun 2021, harga purata sepinggan nasi kosong di peringkat nasional ialah RM1.51.

Bagaimanapun pihak DOSM mendapati, dalam banyak-banyak negeri di negara kita, negeri Perlis muncul sebagai negeri yang anda mampu mendapatkan sepinggan nasi kosong pada harga paling rendah iaitu secara purata hanya kira-kira RM1.06 sepinggan.

Menariknya, ia diikuti oleh kesemua tiga buah negeri wilayah Utara semenanjung iaitu jirannya sendiri, negeri Kedah dengan harga RM1.24, Pulau Pinang (RM1.26), Perak (RM1.41).

Bukan negeri-negeri di utara semenanjung sahaja mencatatkan harga sepinggan nasi kosong pada paras di bawah harga kebangsaan, sebaliknya tiga lagi negeri yang hampir sama nilai dengannya adalah Sarawak (RM1.41), Kelantan (RM1.42) dan Negeri Sembilan (RM1.49).

Harga nasi kosong paling mahal di Malaysia pula dijual di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu purata RM1.88 sepinggan. Ia turut direkodkan di dalam indeks yang diterbitkan oleh pihak DOSM.

Selepas dua Wilayah Persekutuan tersebut direkod menjual nasi kosong termahal bagi setiap pinggan, ia turut disusuli oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM1.77), Sabah (RM1.68), Pahang (RM1.67), Selangor (RM1.59), Terengganu (RM1.58), Johor (RM1.54) dan jirannya, Melaka (RM1.51).



Bagaimana pula dengan harga segelas air minuman di restoran?

Menurut perangkaan DOSM, pihaknya mendapati harga air minuman di restoran atau kedai makan secara puratanya bernilai 69 sen bagi setiap 500 mililiter (ml) pada peringkat kebangsaan.

Pelik tapi benar, kali ini Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur muncul mencatatkan harga paling murah iaitu hanya 48 sen diikuti Wilayah Persekutuan Labuan (57 sen) dan jirannya, Sabah (58 sen).

Selepas itu Negeri Sembilan dengan harga purata 59 sen serta Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Putrajaya pula masing-masing masih di bawah paras kebangsaan iaitu sekitar 60 sen.

Data dari pihak DOSM merekodkan harga minuman 500ml paling mahal di negara ini dicatatkan di dua buah negeri iaitu Sarawak dan Melaka (masing-masing 84 sen), disusuli Johor (80 sen) dan Kelantan (74 sen).

Ini diikuti Selangor dengan 72 sen, Pahang dan jirannya, Perak yang masing-masing dijual sekitar purata 71 sen, Kedah (68 sen) serta Perlis dan Terengganu berkongsi harga sama 64 sen.

Semoga data-data ini mampu memberi manfaat dan pedoman buat semua dalam merancang perbelanjaan yang ideal lagi seimbang kepada diri serta keluarga. - KitaReporters


3
0
1
0
2
You will be interested