Selera & Santai 01 Feb, 2021

Apa salah jual nasi Arab? Mila Jirin sedih dicerca kerana berniaga! Dituduh tak laku menyanyi

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Mila melakukan pelbagai usaha dalam perniagaan demi masa depan syarikat dan orang ramai.


Mila Jirin antara penyanyi dan ahli perniagaan yang terjejas ketika ini akibat pandemik COVID-19. Sebelum ini sudah beberapa kali namanya mendapat perhatian apabila lantang bersuara mengenai hak-hak ahli perniagaan yang terjejas.

Keadaan ekonomi yang merudum, memaksa Mila tidak hanya berserah pada takdir tetapi berusaha melakukan pelbagai pekerjaan lain demi diri, keluarga dan yang utama nasib para pekerjanya.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Mila Jirin:

https://kitareporters.com/search?search=mila+jirin


Di sebalik senyum manis ini tersimpan perit-jerih yang dilakukan demi sesuap nasi.


Sebagai pemilik syarikat pakej perkahwinan dikenali Bizmilla Catering, apa yang berlaku kini sangat mencabar dan getir. Justeru Mila membanting tulang menjual nasi Arab pula

Menurut Mila, idea untuk menjual nasi Arab bermula apabila dia merasai keenakan nasi tersebut di sebuah restoran milik rakan suaminya.

“Sebenarnya restoran tersebut telah memberikan saya ilham untuk memasarkan nasi Arab dalam menu Bizmilla Catering untuk Pakej Perkahwinan Bizmilla,” ceritanya.


Mila mendapat ilham menjual nasi Arab dari restoran milik rakan suaminya.


Maka, bermulalah perniagaan nasi Arab. 

Namun, usaha kerasnya itu mengundang cercaan daripada segelintir pihak yang tidak senang hati. Dakwa pihak tersebut, perniagaan itu disebabkan penyanyi dari Pulau Pinang sudah tidak laku dalam bidang nyanyian.

Terasa hati dan ingin meluahkan apa yang berlaku, Mila berkongsi dalam Instagram tangkap layar mesej cercaan yang diterima. Menurutnya, dia hairan kenapa masih ada sekelompok manusia yang suka berkata kasar.

“Tengah balas DM, terselit satu mesej ni. Kenapa ada juga manusia yang suka berkata-kata tidak baik kepada sesama manusia?

“Apa salah saya jual nasi arab? Saya ikhlas berniaga kerana Allah. Ini ikhtiar yang kami lakukan dalam kesinambungan untuk memastikan para pekerja kekal punya pekerjaan dan gaji.

“Awak yang menulis. Saya malas nak sebut nama awak di sini. Saya memang dah lama tak menyanyi. Bukan sebab tak laku tapi sebab Allah tak izinkan.

“Fahami konsep ‘sesuatu berlaku atas keizinan Allah’ bukan atas kita manusia. Hatta awak sendiri pun tak ada kuasa nak tentukan apa jua rezeki awak hari ini,” tulis Mila.



Mila akui mesej yang diterimanya itu benar-benar membuatkannya terasa hati.


Tambah Mila lagi, daripada berkata-kata yang tidak baik, lebih baik menyebarkan kasih sayang dan saling membantu.

“Jadi manusia penuh dengan kasih sayang bantu membantu sesama kita. Tak boleh bantu sahabat-sahabat kita secara wang ringgit, bantu secara kudrat. Andai kudrat pun tak mampu, bantu secara sokongan moral.

“Saya bersyukur walaupun tak laku dalam dunia seni saya yakin perancangan Allah maha hebat. Ada sebab musabab ia berlaku. Maaf saya sedikit tersentuh dengan komen awak. Saya cuma fikir, apa tujuan awak DM macam tu.

“Saya maafkan awak. Mungkin awak naif. Hampir setahun Allah uji kami insan-insan yang berniaga, tapi kami tak akan pernah putus harap sebab kami yakin perancangan Allah maha hebat,” luahnya.

Sementara itu, rakan-rakan seperjuangan dan netizen turut memberi kata-kata semangat dan motivasi kepada Mila. Ramai lagi netizen khususnya peminat setia Mila menyayangi dan kagum dengan kesungguhannya.


Rakan seperjuangan, Khai Rosma turut memberi kata-kata semangat.


Hairan sungguh, kalau artis beralih bidang, dikatakan sudah tidak laku. Pada hal, artis juga manusia biasa. Lagipun, tak salah artis berniaga atau menambah pendapatan sampingan. 

Apabila artis minta bantuan, dikatakan pula artis tak tahu malu dan tak layak! Pening! - KitaReporters

5
0
2
1
0
You will be interested