Setiap kali musim hujan menjelang, satu fenomena alam yang jarang berlaku kembali menjadi sebutan masyarakat kampung iaitu kemunculan cendawan busut atau cendawan tahun.
Cendawan liar yang tumbuh secara semula jadi di busut anai-anai ini bukan sahaja sukar ditemui, malah hanya muncul dalam tempoh singkat, menjadikannya antara hasil hutan paling berharga dan sering disamakan dengan ‘emas putih’ oleh penggemarnya.
Nama cendawan tahun dipercayai merujuk kepada tabiat pertumbuhannya yang bermusim. Kebiasaannya hanya muncul setahun sekali, biasanya selepas hujan lebat yang berterusan.
Dalam kalangan penduduk pedalaman, kemunculannya dianggap petanda rezeki datang bertamu.
Manakala nama cendawan busut berasal daripada habitat uniknya. Cendawan ini tumbuh di busut anai-anai, memecahkan permukaan tanah ketika ia membesar.
Bentuk kubah putih yang timbul dari busut menjadi tanda paling jelas bagi pencari hasil hutan yang berpengalaman.

Selain sukar dijumpai, cendawan ini tidak boleh
ditanam secara komersial. Ia hanya bergantung sepenuhnya kepada faktor cuaca,
kelembapan tanah dan kitaran ekosistem anai-anai, menjadikannya sangat eksklusif
dan bernilai tinggi.
Cendawan busut terkenal dengan tekstur yang kenyal, aroma tanah yang wangi dan rasa manis semula jadi yang tidak terdapat pada cendawan komersial.
Ia sering dimasak tumis air bersama bawang dan lada sulah, masak lemak cili api, goreng dengan telur atau dimakan bersama sambal belacan.

Tidak hairanlah ia menjadi rebutan. Ada yang mengaku
terpaksa menambah nasi tanpa sedar, termasuklah pencinta tegar yang berkongsi
pengalaman mereka dalam TikTok.
Fenomena cendawan tahun kembali menjadi perhatian setelah beberapa video dalam TikTok tular, memaparkan pencari rezeki menemui kelompok cendawan liar yang luar biasa banyaknya.

Dalam video berdurasi hampir satu minit, pengguna TikTok @f3ndi55 berkongsi pengalaman mengutip cendawan busut di sekitar kawasan kampung.
Video itu meraih lebih 298k tontonan, dengan ribuan komen daripada warganet yang turut berkongsi nostalgia mereka.
“Umpama dapat emas sebab dia tak boleh ditanam,” kata seorang netizen, menggambarkan betapa berharganya cendawan ini.
Seorang lagi netizen memuji keenakan menu ringkasnya, “Cendawan tumis air tambah ikan goreng tambah sambal belacan, nasi confirm tambah.”
Pemilik video turut membalas, “Tanpa sedar nasi tambah!” menggambarkan betapa lazatnya hidangan cendawan liar ini.

Ada juga yang berkongsi pengalaman pembelian di mana penjual di Semenyih pernah menjual RM6 satu plastik, tetapi peniaga lain menjual sehingga RM12, menunjukkan permintaan tinggi dan harga yang tidak menentu.
Manakala satu lagi video oleh pencari hasil hutan @zackky269 pula mendapat lebih 15,000 tontonan. Lokasinya dipercayai di Gunong Besout Forest Reserve Extension, Perak, salah satu kawasan yang terkenal dengan kemunculan cendawan tahun.
Rakaman itu memaparkan cendawan busut tumbuh dalam
jumlah besar di celah-celah busut tanah lembap, menjadikan pemandangan tersebut
ibarat ‘jackpot’ bagi pencari hasil
hutan.
Ada netizen melaporkan harga mencecah RM30 sekilogram di sesetengah tempat. Menariknya, pencipta video sendiri lebih memilih untuk berkongsi rezeki.
“Kalau saya dapat banyak, bagi je. Kongsi bersama,” katanya, meraih pujian ramai.

Satu lagi video oleh @bukanlacoste3455_ memaparkan penemuannya secara kebetulan ketika singgah di sebuah kawasan di Jalan Labu, Nilai, Negeri Sembilan.
Video yang ditonton lebih seribu kali itu menunjukkan beberapa batang cendawan busut segar baru tumbuh dari tanah.
“Kalau tak singgah beli barang tadi mesti tak jumpa cendawan ni,” katanya dalam video tersebut.
Ruangan komen pula dibanjiri luahan rindu peminat cendawan tahun.
“Yang paling benci tentang cendawan ni ialah kita
lalu tak nampak. Bila lalu lagi dah ada orang tengah cabut. Menyampahlah.”
“Kat kampung dulu tak pernah orang jual. Kalau jumpa, bagi tahu orang lain suruh kutip sama-sama. Tapi zaman sekarang semua nak jual.”

Kemunculan cendawan tahun bukan sekadar fenomena alam, tetapi peristiwa yang menghubungkan masyarakat desa.
Ia mengingatkan kepada amalan lama, apabila satu orang menjumpai busut ‘berbuah’, mereka akan memanggil jiran-jiran untuk turut sama mengutip.
Namun hari ini, permintaan tinggi dan kenaikan harga
membuatkan segelintir memilih untuk menjual hasil yang diperoleh.
Walau apapun perubahannya, video-video yang tular
membuktikan satu perkara, cendawan busut kekal menjadi antara hasil hutan
paling diburu di Malaysia, setaraf dengan madu lebah, petai hutan dan jering
tua.
Dengan musim tengkujuh yang masih berbaki, tidak mustahil lebih banyak rakaman ‘rezeki mencurah dari bumi’ akan kembali memenuhi media sosial. - KitaReporters