Dataran Labis bakal berubah wajah pada November 2025 ini apabila Majlis Daerah Labis (MDL) menganjurkan La’Best Fest 2025, sebuah karnival komuniti yang menjanjikan empat hari penuh warna, aktiviti dan kemeriahan.

Poster La'Best Fest 2025 anjuran Majlis Daerah Labis yang akan berlangsung pada 19 hingga 23 November 2025 di Dataran Labis.

Mohd Fairul Surian.
Yang Dipertua (YDP) MDL, Mohd Fairul Surian berkata, festival yang akan berlangsung dari 19 hingga 23 November 2025 itu menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat setempat sambil memupuk gaya hidup sihat dan semangat perpaduan.
"Program ini dirangka sebagai ruang untuk masyarakat Labis menzahirkan identiti, bakat dan kreativiti mereka dalam suasana santai dan inklusif.
"Penganjuran La’Best Fest 2025 seiring dengan matlamat kami sebagai pihak berkuasa tempatan memperkukuh interaksi positif antara penduduk dan agensi kerajaan," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi MDL pada 25 Oktober 2025.

Dataran Labis menjadi lokasi utama penganjuran La'Best Fest 2025 selama empat hari pada hujung November depan.

Gambar hiasan... Acara pesta durian antara yang dijangka mendapat sambutan orang ramai ketika La'Best Fest 2025 hujung bulan November depan. - Kredit foto: FS Fruity.
Menurut Fairul, melalui pendekatan berbentuk komuniti, festival ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga platform yang mampu mendekatkan masyarakat dengan pihak berkuasa tempatan.
Antara aktiviti utama yang bakal menarik perhatian pengunjung termasuk Street Soccer, Pertandingan E-Sport, Treasure Hunt, dan Fun Run, yang masing-masing disusun untuk menarik minat pelbagai lapisan umur.
Selain itu, acara Hari Bersama Pelanggan turut diadakan bagi memberi peluang orang ramai berurusan terus dengan pegawai MDL dalam suasana lebih mesra dan terbuka.
Kemeriahan festival turut diserikan dengan Fiesta Durian, tarikan unik yang dijangka menjadi tumpuan penggemar raja buah dari seluruh daerah.
Bagi keluarga yang membawa anak kecil, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak pula menjadi pentas bagi mencungkil bakat kreatif si cilik.

Gambar Hiasan... Salah satu acara yang mampu menarik penyertaan golongan remaja ketika La'Best Fest 2025 nanti adalah acara Street soccer. - Kredit foto: Kompas.
Sementara itu, acara Malam Kebudayaan akan menampilkan persembahan seni tradisional dan moden yang menggambarkan keunikan Labis sebagai daerah pelbagai kaum dan budaya.
Katanya lagi, penglibatan masyarakat dalam pelbagai aktiviti itu diharap dapat menyemarakkan semangat kejiranan serta membentuk komuniti yang lebih harmoni.
La’Best Fest 2025 juga diharap mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial dan ekonomi tempatan melalui kehadiran pelancong serta peniaga kecil.
Pihak MDL turut menjemput agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta untuk menyertai program itu bagi menjayakan misi komuniti sejahtera.

Gambar Hiasan- Pertandingan E-Sport memeri peluang kepada anak muda menonjolkan bakat mereka di La'Best Fest 2025.-Kredit foto: Tempo.com.
"Dengan kombinasi acara sukan, budaya dan riadah, La’Best Fest 2025 diyakini menjadi antara festival komuniti paling dinanti di Johor tahun ini.
"Orang ramai dijemput hadir dan bersama-sama memeriahkan La’Best Fest 2025 di Dataran Labis, pesta yang menjanjikan pengalaman menyeronokkan dan penuh makna untuk semua," kata Fairul. -KitaReporters
Bangunan pentadbiran Majlis Daerah Labis yang menganjurkan La'Best Fest 2025. Kredit foto: Wikipedia.