Selera & Santai 19 Sep, 2023

Meninjau flora, fauna dari ketinggian 32m di atas pokok! Tree Top Walk! di Taman Negara Sungai Relau!

@abdul aziz itar
Emel: from_arash@yahoo.com

Share this


BAGI pencinta flora dan fauna, laluan berjalan kaki di celah pucuk dan pepohon hutan atau Tree Top Walk yang mesra alam, selesa serta selamat pastinya menjadi perhatian golongan tersebut.

Tree Top Walk di Taman Negara Sungai Relau di Merapoh, Pahang misalnya, antara lokasi yang menyediakan pelbagai tarikan flora serta fauna dan ia telahpun dibuka kepada umum sejak April 2023 lalu.

Projek pembinaan hasil inisiatif Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) itu juga merupakan produk pelancongan menarik dan yang terbaharu di Negeri Tok Gajah ini.


Harizah Hassan


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus, Datuk Harizah Hassan, Tree Top Walk itu turut dijangka mampu menggamit lebih ramai pelancong ke sana.

"Bagi yang mahu mendaki di Gunung Tahan akan melalui lokasi Tree Top Walk ini. Ia amat mudah diakses termasuk melalui kereta api dan Merapoh adalah stesen yang paling dekat.

"Pelbagai usaha sedang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Pahang termasuklah menambah bilangan kabin dan resort selain membaik pulih rumah-rumah tamu yang ada di sekitar kawasan ini.

"Ia bagi membolehkan para pengunjung dapat tinggal lebih lama sambil melawat kawasan-kawasan tarikan pelancong yang lain di sini," katanya kepada KitaReporters, baru-baru ini.




Beliau ditemui selepas meninjau Tree Top Walk itu bersama-sama sekumpulan wakil media dan ia merupakan salah satu atur cara dalam Program Lawatan Media - Ekspedisi Lembah Tanum selama 3 hari.

Taman Negara Sungai Relau yang menempatkan Tree Top Walk itu juga merupakan salah satu kawasan hutan yang terletak dalam 8 kompleks hutan di bawah Central Forest Spine (CFS).

Kawasan CFS terdiri daripada 58 daerah berkeluasan 6.71 juta hektar di 8 negeri di Semenanjung Malaysia membabitkan antaranya kawasan Hutan Simpan Kekal, Taman Negara dan Rizab Hidupan Liar.

Tree Top Walk itu mempunyai 6 menara dan 13 platfom dibina dengan ketinggian mencecah 32 meter. Ia adalah struktur pelantar pejalan kaki sepanjang 612 meter panjang dan selebar 2 meter.

Produk pelancongan ini dibuka percuma kepada umum pada setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 4 petang dan ia hanya ditutup pada setiap Khamis bagi tujuan-tujuan penyelenggaraan.

Namun, difahamkan Tree Top Walk yang mewajibkan para pengunjungnya agar berkasut sukan serta melarang memakai selipar akan mengenakan bayaran masuk dalam waktu terdekat ini.



Selain dapat melihat pelbagai jenis pokok termasuk bersaiz besar dan tinggi seperti Keruing Neram dan Tualang yang boleh mencecah ketinggian 50 meter, pelbagai spesis binatang juga ada di situ.

Jika bernasib baik, para pengunjung berpeluang melihat kelibat pelbagai spesis binatang seperti burung, tupai, cicak, kerawak, siamang, biawak, beruang matahari dan serangga.

Demi keselamatan, hanya seramai 10 hingga 15 orang pengunjung dibenarkan bergerak dalam satu-satu kumpulan di atas pelantar besi yang dibina di atas tiang-tiang besi pada binaan tersebut.

Oleh kerana pelbagai tarikan yang ada di Tree Top Walk itu, tidak rugi ia dikunjungi apatah lagi pintu masuk ke Gunung Tahan setinggi 2187 meter pula tidak jauh dari lokasi ini. 

Sebarang maklumat boleh layari laman sesawang www.forestry.gov.my atau sebarang pertanyaan sila emel kepada tnsgrelau@wildlife.gov.my - KitaReporters


PENULIS turut berpeluang melalui pengalaman berjalan di Tree Top Walk di Taman Negara Sungai Relau termasuk berada di menara paling tinggi di situ.

18
8
0
7
0
You will be interested