Selera & Santai 18 Jun, 2022

Video | Rindu suasana bendang, kampung? Kaki pancing pun boleh enjoy! Datanglah ke Hamsha Village!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Hamsha Village menyajikan suasana kampung dan sawah padi kepada pengunjung yang menginap di situ. - Kredit foto: Mahdzir Hasan Det / FB Hamdan A Hamid


JIKA anda ingin lari daripada hiruk-pikuk kota dan mahu menikmati cuti yang penuh ketenangan, apa kata anda ke Hamsha Village yang terletak di Kampung Bendang Lanjut, Kubang Lerek, Pokok Sena, Kedah. 

Suasana kampung yang damai serta nyaman berlatarkan hamparan sawah padi, pasti akan memberi satu pengalaman baharu kepada anda yang tidak pernah melalui pengalaman hidup di kampung.

Sementara itu bagi mereka yang membesar di desa tapi sudah lama meninggalkan kampung halaman, berhijrah dan mencari rezeki di kota, kunjungan ke sini sudah tentu mampu menggamit semula kenangan zaman kanak-kanak yang pernah hidup berkubang dalam sawah padi atau setidak-tidaknya melalui kehidupan sebagai budak kampung.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan tempat percutian

Menara antara tempat yang sesuai dijadikan lokasi untuk merakam gambar kenangan. - Kredit foto: Mahdzir Hasan Det / FB Hamdan A Hamid.



Menurut pengurus Hamsha Village, Hamdan A Hamid (gambar atas), suasana itulah yang mahu dihidupkan semasa beliau merancang untuk menjadikan kawasan seluas 0.7 hektar itu sebagai tempat percutian serta rekreasi

“Sebagai anak kampung yang sudah lama berhijrah ke kota, saya sendiri sangat teruja apabila sesekali dapat pulang ke kampung halaman. Malah, anak-anak saya yang membesar di bandar juga menyukai suasana begini bila saya membawa mereka balik kampung. 

“Bertitik-tolak dari situlah datangnya idea untuk saya membangunkan kawasan ini sebagai tempat rekreasi dan pelancongan berkonsepkan suasana kampung.

“Selain dapat menikmati pemandangan sawah serta alam semula jadi, terdapat kolam memancing untuk kaki pancing. Apa yang menarik, ikan-ikan dalam kolam ini seperti haruan, keli dan puyu bukannya dibela tapi hidup secara semula jadi. Aktiviti ini dapat dilakukan secara percuma apabila mereka menginap di sini. 

“Selain itu, pengunjung juga boleh beriadah dengan bersampan sambil menikmati suasana sekitar. Mereka juga boleh melakukan pelbagai aktiviti lain seperti barbeku dan sukaneka,” jelas Hamdan.


Bersampan adalah antara aktiviti disediakan di Hamsha Village. - Kredit foto: Mahdzir Hasan Det / FB Hamdan A Hamid


“Di samping itu, terdapat banyak tempat menarik di sekitar sini yang boleh dijadikan lokasi untuk merakam gambar kenangan. Antaranya, kami menyediakan dua buah menara dan beberapa pondok.”

Pada masa sama, menurut Hamdan, pengunjung berpeluang berjalan-jalan di sekitar kampung untuk melihat lebih dekat kehidupan serta aktiviti masyarakat kampung.

“Jika musim buah, mereka juga berpeluang menikmati buah-buahan tempatan seperti durian, rambutan, manggis dan lain-lain terus dari ladang dengan harga berpatutan,” katanya.


Kredit video: Mahdir Hasan Det / FB Hamdan A Hamid


Menurut Hamdan, Hamsha Village menawarkan pelbagai pakej penginapan seperti banglo, chalet dan bilik bujang yang mampu disewa oleh pelbagai golongan. 

“Kami mempunyai sebuah banglo tiga bilik yang mampu memuatkan seramai 20 orang penghuni hanya dengan harga RM500 semalam yang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti penghawa dingin, bilik air serta kelengkapan dapur. 

“Terdapat juga empat buah chalet yang kadar sewanya hanya RM100 semalam, dilengkapi penghawa dingin serta bilik air. Di samping itu, untuk golongan bujang, mereka boleh menyewa bilik bujang berkonsepkan dorm yang mampu memuatkan 5 hingga 6 penghuni dengan setiap bilik berharga hanya RM80 semalam,” ujar Hamdan. 

Hamdan berkata, dari semasa ke semasa, beliau akan meningkatkan fasaliti bagi memastikan pengunjung benar-benar menikmati percutian di situ. Antaranya yang masih dalam pembinaan adalah sebuah kolam mandi.


Chalet yang dilengkapi perabot, bilik air serta berhawa dingin pasti memberi keselesaan kepada pengunjung. - Kredit foto: FB Hamdan A Hamid


Beliau berharap, Hamsha Village akan menjadi salah satu lokasi pelancongan pilihan apabila pelancong bercuti di Kedah kerana kedudukannya yang agak strategik

Dari sini ke Alor Star hanya memakan masa antara 20-30 minit sahaja. Malah, pelancong yang mahu ke Perlis atau Langkawi juga boleh singgah di sini dulu. Saya harap, dengan kita sudah memasuki fasa endemik, industri pelancongan akan kembali rancak dan pemain lapangan ini dapat kembali bernafas,” ujar Hamdan.

Untuk yang mahu menempah penginapan di Hamsha Village, anda boleh hubungi http://Wa.me/60123539574 atau http://Wa.me/60126291906 – KitaReporters


Buaian berlatar belakang kolam dan sawah padi adalah antara dekorasi menarik di Hamsha Village. - Kredit foto: Mahdzir Hasan Det / FB Hamdan A Hamid


Pondok untuk bersantai sambil menikmati suasana sekitar yang mendamaikan. - Kredit foto: Mahdzir Hasan Det / FB Hamdan A Hamid


Lokasi menarik untuk kaki pancing. - Kredit foto: Mahdzir Hasan Det / FB Hamdan A Hamid

19
10
0
16
0
You will be interested