Selera & Santai 13 Aug, 2020

Produk baharu pelancongan! Telusuri Sg Marang ke Pulau Kapas

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.-komunitimadanijertih@gmail.com

Share this

KEINDAHAN sungai yang banyak terdapat di Terengganu mampu melonjakkan sumber ekonomi tempatan menerusi aktiviti pelancongan jika usaha memajukan sumber alam berkenaan dipertingkatkan sebagai industri pelancongan. Sungai Marang adalah antara yang dilihat berpotensi. : KitaReporters

Menaiki bot menelusuri Sungai Marang menuju ke Pulau Kapas, produk baharu pelancongan Terengganu


Lagi cerita-cerita dari Terengganu:

https://kitareporters.com/search?search=Terengganu


Sungai Marang dilihat memang mampu untuk menarik minat pelancong berkunjung ke negeri ini jika usaha memajukan sungai itu sebagai salah satu produk pelancongan demostik. 

Menyedari perkara itu Kerajaan Terengganu menerusi Pejabat Daerah Marang melancarkan produk pelancongan baharu di negeri itu selepas memperkenalkan pakej menelusuri Sungai Marang dari Dataran Batu Putih (DBP) terus ke Pulau Kapas.

Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, inisiatif tersebut pastinya akan merancakkan kembali industri pelancongan domestik sejak pandemik COVID-19 melanda negara. 

Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak 


"Pakej ini tercetus rentetan hasil sumbangan sebuah bot laju dari Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd yang menjadi pemangkin yang sangat besar untuk memajukan industri pelancongan  berasaskan sungai dan laut ini. Produk ini kita akan hebahkan melalui media sosial dan kemungkinan dilancarkan bersempena dengan program Jejak Budaya Marang yang akan berlangsung pada bulan September 2020 nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bot oleh Pengerusi Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd, Tengku Sri Temenggong Raja Dato' Seri Tengku Baharuddin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muttafi Billah Shah di Marang, Terengganu baru-baru ini. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman. 

Tun Ahmad Faisal (kiri) menerima sumbangan bot dari Tengku Sri Temenggong Raja.


Mengulas lanjut mengenai sumbangan bot berkuasa tinggi itu, pihaknya berbesar hati dengan komitmen Terengganu Silica Consortium apabila dimaklumkan akan potensi program menelusuri sungai dan melawat pasar terapung (floating market) di Marang.

"Penghargaan tidak terhingga kepada Terengganu Silica atas pemberian sebuah bot berkuasa 150 kuasa kuda yang membolehkan program menelusuri Sungai Marang dan terus pergi ke Pulau Kapas terlaksana.

"Uniknya pakej ini para pelancong akan memudik Sungai Marang dari DBP sampai di kuala Sungai Marang terus ke Pulau Kapas. Jadi ini adalah satu nilai tambah kepada pakej-pakej pelancongan yang Marang tawarkan,” katanya.

Menelusuri Sungai Marang,Terengganu menggunakan bot satu keseronokan


Beliau berkata, pelancong boleh membuat tempahan dengan operator yang dilantik nanti dan pakej itu merangkumi aktiviti menelusuri sungai, sarapan pagi di DBP sambil melihat produk-produk di sepanjang Sungai Marang.

Pelancong seterusnya ke Pulau Kapas menikmati jamuan tengah hari dan aktiviti di sana seperti snorkelling dan mandi manda sebelum pulang bergerak balik ke Marang sebelah petang itu.

Sebelum ini pakej-pakej begini diasingkan dengan pakej pulau dan sungai. - KitaReporters

1
2
0
0
0
You will be interested