
Pokok kelapa dalam kawasan Taman Agroteknologi MARDI, Bagan Datuk, dijaga rapi sesuai kedudukannya sebagai pusat penyelidikan kelapa.
ALANGKAH nikmatnya menghilangkan dahaga dengan minum air kelapa muda segar serta makan isi kelapa muda di bawah teduhan pokok kelapa, daunnya yang hijau melambai ditiup bayu.
Rasai
suasana nyaman ini di Taman Agroteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Bagan Datuk di Batu 16, Sungai Sumun,
Bagan Datuk, Perak. Ia merupakan destinasi agro kelapa pertama di Malaysia.
Taman ini ialah
pusat penyelidikan kelapa MARDI yang dibuka kepada orang ramai kerana ia juga
adalah detinasi pelancongan di Bagan Datuk khasnya dan negeri Perak amnya.
Sejajar itu, ia menyediakan pakej pendidikan dan melancong serta bersantai untuk pengunjung meninjau sendiri secara dekat kebun kelapa di Bagan Datuk.

Begitu tersusun rapi barisan pokok kelapa di Taman Agroteknologi MARDI, Bagan Datuk, yang sentiasa dipantau dan dijaga oleh MARDI.

Pokok kelapa di Taman Agroteknologi MARDI, Bagan Datuk, berbuah lebat.
Suatu ketika dahulu Bagan Datuk ialah kawasan tanaman dan pengeluar kelapa terbesar di negeri Perak khasnya dan Malaysia amnya. Tetapi banyak kawasan tanaman kelapa kini telah diganti dengan kelapa sawit.
Namun
begitu masih terdapat banyak kawasan yang mengekalkan tanaman pokok kelapa.
Taman Agroteknologi MARDI istimewa kerana ia kawasan kebun kelapa yang menjadi
pusat penyelidikan, pendidikan dan pelancongan.
Oleh itu taman agroteknologi ini yang diurus oleh MARDI ini boleh dianggap sebagai kawasan ‘pendidikan dan pelancongan pokok kelapa’ untuk dikunjungi orang ramai. Mereka boleh melawat seluruh kawasan menaiki lori, trem atau berjalan kaki.

Dengan menaiki trem, pengunjung dan pelancong boleh meninjau kawasan Taman Agroteknologi MARDI, Bagan Datuk dan melihat pokok kelapa yang ditanam dengan rapi dan teratur.
Cuma perlu diingat kawasan ini luas. Jika ingin berjalan kaki pastikan anda benar-benar sihat, kuat bersemangat dan kaki tidak bermasalah. Kalau takut penat, naik sahaja lori atau trem.
Sambil
orang ramai melawat kawasan kebun, produk kelapa disediakan untuk dirasai dan
dinikmati. Tentu yang disukai ialah minum air kelapa muda segar, serta merasai
isi kelapa muda yang lembut bagai jelly.
Air dan isi kelapa boleh dinikmati tanpa perlu membelah kelapa muda.

Seorang petugas menunjukkan kemahiran mengupas kelapa muda untuk air dan isinya bagi dinikmati penunjung Taman Agroteknologi, Bagan Datuk.

Hanya yang mahir mampu mengupas kelapa muda dalam bentuk seperti ini, airnya siap untuk diminum, manakala isinya siap untuk dimakan.
Sebaliknya pekerja mahir mengupas sabut kelapa menggunakan pisau tajam, meninggalkan bahagian tempurung.
Kemudian bahagian atas tempurung dibuang hingga menyerlahkan isi kelapa yang putih licin. Ia kemudian dikorek pula pada bahagian bawah sehingga isi kelapa terkeluar habis daripada tempurung.
Hanya yang mahir boleh melakukan kerja ini. Orang ramai boleh melihat sendiri kemahiran mereka.
Untuk minum, cucuk sahaja kelapa yang sudah gondol, sama ada minum terus atau gunakan straw. Kerana sudah siap dikupas, mudah untuk terus makan isinya.
Selain memfokus kepada kelapa, Taman Agroteknolgi MARDI juga diserikan dengan ‘Laman Ternakan’. Antaranya terdapat kambing. Sambil bersantai boleh bermain-main dengan haiwan jinak tersebut.

Sambil melawat kawasan Taman Agroteknologi MARDI Bagan Datuk, boleh bermain-main dengan haiwan jinak yang ada di taman tersebut.
Sesuai dengan kedudukannya sebagai pusat penyelidikan dan pelancongan, Taman Agroteknologi MARDI menyediakan tiga pakej lawatan berlainan. Pakej A ialah pakej santai, Pakej B pakej pembelajaran, sementara Pakej C ialah Inovasi Pembelajaran.
Untuk
panduan ke taman teknologi ini, ia terletak di Parit 11, Batu 16, Sungai Sumun,
Bagan Datuk. Dari Teluk Intan atau Sabak Bernam, Selangor, perlu melalui
Simpang Empat, Hutan Melintang dan masuk arah jalan ke Bagan Datuk. Jika
dari kawasan lain melalui Jambatan Bagan Datuk, susuri jalan ke arah Teluk
Intan.
Taman ini
dibuka Isnin sehingga Khamis dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Pada hari Jumaat
dibuka dari 8 pagi hingga 12 tengahari. Sabtu dan Ahad tutup.
Untuk rekod,
MARDI Bagan Datuk ditubuhkan pada 1972, awalnya dikenali sebagai Stesen MARDI
Hilir Perak. Ketika itu Bagan Datuk, yang kini daerah tersendiri, adalah di
bawah Daerah Hilir Perak.
Fokus utama ialah tanaman koko dan kelapa. Ia menjadi pusat rujukan penyelidik dalam dan luar negara bagi tanaman koko.
Pada 2006, MARDI memfokus kepada tanaman kelapa. Aktiviti penyelidikan koko diserahkan kepada Lembaga Koko Malaysia (LKM).
Taman Agroteknologi MARDI Bagan Datuk dibangunkan bermula 2018 berasaskan pendekatan T.I.C.E.R, iaitu Technology, Innovation, Conservation, Education and Recreation (Teknologi, Inovasi, Konservasi, Pendidikan dan Rekreasi). - KitaReporters
