Dalam kehidupan seharian, plastik digunakan dalam pelbagai bentuk. Namun tidak semuanya sesuai untuk tujuan makanan.
Plastik food grade direka khas untuk menahan suhu tertentu, tidak mudah melepaskan bahan kimia dan selamat digunakan bersama makanan.
Sebaliknya, plastik bukan food grade seperti cawan plastik minuman sekali guna atau bekas bukan makanan, mengandungi bahan kimia yang boleh meresap ke dalam makanan apabila terdedah kepada haba.
Kesalahfahaman mengenai perbezaan ini kadang-kadang menyebabkan risiko kesihatan apabila plastik digunakan dalam proses memasak.
Kontroversi tercetus apabila seorang tukang masak, Emilia Sundari, berkongsi petua menggunakan cawan plastik yang dimasukkan ke dalam rendang bagi mengelakkan percikan minyak panas.
Dalam video yang dikongsi dalam Facebook miliknya, dia mendakwa cawan plastik tersebut mampu menghalang minyak daripada terpercik.
Video tersebut menerima sebanyak 5.4 juta tontonan dan ribuan komen.

“Inilah rahsia di sebalik masakan rendang ini. Nampak tak, ada cawan plastik diletakkan di sini? Masak rendang, kawan-kawan. Tahu tak apa rahsianya?
"Cawan plastik ini digunakan supaya kuah rendang yang panas tidak memercik. Semoga ilmu ini bermanfaat. Silakan cuba di tempat masing-masing supaya lebih bersemangat memasak. Terima kasih,” katanya.
Petua tersebut segera mengundang kritikan kerana penggunaan plastik bukan food grade dalam suhu tinggi boleh menyebabkan bahan kimia berbahaya meresap ke dalam makanan.

Rata-rata warganet tampil menegur. Salah seorang netizen menegaskan bahawa plastik tidak boleh terkena panas kerana memudaratkan kesihatan.
“Plastik ataupun atum dilarang terkena panas untuk makanan atau minuman. Tidak bagus untuk kesihatan,” tulisnya.
Beberapa orang netizen dari Sumatera Barat juga menolak kaedah itu sebagai amalan tradisi.
Mereka mendakwa bahawa orang Padang asli tidak pernah memasak rendang begitu dan menilai petua itu berisiko terhadap kesihatan.

Manakala seorang lagi netizen mencadangkan cara lebih selamat seperti menutup periuk dan mengacau sekali-sekala.
Begitu juga dengan masyarakat Sumbar tidak menggunakan plastik dalam rendang.
Seorang netizen dari Malaysia, mencadangkan kaedah alternatif menggunakan ais batu, teknik tradisional yang lebih selamat untuk mempercepat minyak naik dalam rendang.

Sementara itu, perkara yang hampir sama turut
berlaku di Malaysia apabila seorang individu mendedahkan satu teknik berbahaya
dengan memasukkan plastik pembungkus minyak ke dalam kuali panas.
Menurut Public Health Malaysia (PHM), tindakan sebegini boleh melepaskan bahan kimia berbahaya termasuk phthalates dan adipates yang dikenali sebagai endocrine disruptors, serta menghasilkan serpihan mikroplastik dan radikal bebas.
Bahan-bahan ini boleh meresap ke dalam makanan dan terkumpul dalam tubuh, meningkatkan risiko gangguan hormon, keradangan, masalah hati dan kesihatan jangka panjang.
PHM menegaskan bahawa amalan sedemikian adalah pengkhianatan kepada pelanggan dan menggesa orang ramai melaporkan sebarang kes kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk tindakan lanjut. - KitaReporters
