Selera & Santai 15 Nov, 2025

Anda suka berfoto! Moh ke Selfie Park! De' Windmills tawar pemandangan menarik dan berwarna warni!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

DIPUPUT tiupan bayu, ribuan kincir angin kecil berwarna warni berputar bagai menari menurut hembusan bayu, mewujudkan suasana sangat mengasyikkan. 


DE' Windmills di Ulu Melaka, Langkawi tumpuan pelancong yang menyerlahkan kincir angin kecil berwarna warni indah berputar ditiup bayu.


Pemandangan indah ini hanya ada di De’ Windmills, Mukim Ulu Melaka, Langkawi. Jaraknya dalam 50 meter dari kompleks Makam Mahsuri, gadis jelita yang dihukum bunuh kerana difitnah bermukah lantaran cemburu dan dengki hati terhadapnya.

Diriwayatkan darah yang memancut dari tubuhnya berwarna putih menandakan kesucian. Dalam menahan kesakitan disula, dia bersumpah Langkawi tidak akan aman selama tujuh keturunan.


Cantiknya kincir angin berwarna warni yang menghiasi De' Windmills, laksana pelangi terbentang. Pemandangan diserikan dengan gunung nan menghijau.


Satu sudut pemandangan kincir angin di De' Windmills, Langkawi dengan kombinasi warna ungu, biru, kuning dan merah.


De’ Windmills kini antara tarikan pelancongan popular di Langkawi. Ia direka khas bukan sahaja sebagai tempat kunjungan pelancong, tetapi juga untuk tujuan fotografi. Kerana itu ia juga dikenali sebagai ‘Selfie Park’ atau ‘Taman Selfie’.

Sesuai dengan nama itu, taman tersebut menampilkan ciri-ciri menarik untuk pengunjung berselfie (berswafoto) atau mengambil gambar.

Kincir angin berwarna warni menyediakan latar belakang unik dan menarik. Terdapat lebih 14 tempat bergambar artistik seperti sarang burung gantung, buaian (swing), tangga berwarna warni dan belon besar.

Kincir angin yang berwarna merah jambu, kuning, ungu, biru bagai membentuk lautan kincir pelbagai warna, sungguh indah dipandang dari kejauhan atau dari atas bagai pelangi terhampar.


Pengunjung pasangan Azhar Ghazali dan Norani Ibrahim mengabadikan kenangan di atas buaian sarang burung.


Apabila bayu bertiup, kincir yang berpusing bagai lambai melambai, menghasilkan bunyi gemersik menikam cuping telinga. Di bahagian belakang pula terdapat belon besar yang turut menari menurut tiupan bayu.

Berselfie atau bergambar berlatar belakang kincir berwarna warni sangat mengujakan. Selain itu mengabadikan gambar di sarang burung gantung, buaian, belon panas dan tangga berwarna warni bertingkat-tingkat bagai menuju ke awan.


Memang sangat indah laluan dipagari kincir angin berwarna warni di kiri kanan dan di atas bagai memayungi pengunjung. 


Pekerja di sini sedia membantu mengambil gambar yang pengunjung kehendaki. Malah mereka juga bagai pengarah fotografi, mencadangkan kepada pengunjung sudut dan latar belakang terbaik untuk mengambi gambar.

Mereka juga bertanggungjawab akan membantu pengunjung menaiki buaian, sarang burung gantung, tangga bertingkat dan tangga belon. 

Ini adalah prosedur keselamatan untuk memastikan pengunjung terhindar daripada risiko kecelakaan atau mengalami kecederaan.


Replika kincir angin besar turut terdapat di De' Windmills, Langkawi.


Bergambar di atas buaian, sarang burung dan tangga bertingkat, berjalan melalui lorong dikelilingi kincir berwarna warni memberi pengalaman baharu yang sangat menyeronokkan, sesuatu ang tidak didapati di tempat lain.

Untuk menghasilkan gambar unik dan menarik, pengunjung perlu menggunakan daya kreativiti apabila mengambil gambar dari pelbagai sudut .

Keindahan suasana De’ Windmills diserikan dengan kesegaran latar belakang alam semula jadi. Taman ini menawarkan pemandangan indah sawah padi dan gunung serta tanah datar serba menghijau, menyerlahkan tarikan buatan manusia dan keindahan alam semula jadi.

Untuk merasai sendiri keindahan kincir angin warna warni, berkunjunglah ke De’ Windmills apabila ke Langkawi. Sambil itu melawat Makam Mahsuri. 

De’ Windmills dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 6 petang. - KitaReporters


Belon panas di De' Windmills, Langkawi. Belon ini tidak terbang, sekadar lokasi mengabadikan gambar.

 

 

 

15
8
0
19
0
You will be interested