Selera & Santai 11 Nov, 2025

Kembara Jiwa Shaolin! Satu perjalanan kerohanian! Bagi rasai keindahan disiplin dan falsafah Zen!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Dalam hembusan angin musim luruh yang lembut, seramai lebih 10 peserta terdiri daripada usahawan dan pelajar seni bela diri dari Malaysia dan Singapura melangkah ke bumi Henan, China. 


Peserta kembara bersama Imam Abu Bakar Musa (dua dari kanan), yang merupakan imam besar Masjid Dengfeng di Zhengzhou.


Oleh SHAMSHILAWATI ABD RAHMAN


Dalam hembusan angin musim luruh yang lembut, seramai lebih 10 peserta terdiri daripada usahawan dan pelajar seni bela diri dari Malaysia dan Singapura melangkah ke bumi Henan, China bagi menyertai Kembara Jiwa ke Tanah Shaolin yang berlangsung dari 7 hingga 12 September 2025.

Program yang diketuai Master Shi Yan Rong, pengasas Shaolin Lin Kung Fu di Singapura, ini bukan sekadar lawatan pelancongan biasa, tetapi sebuah perjalanan rohani dan budaya yang mempertemu Timur dan Tenggara Asia dalam satu misi mencari keseimbangan jiwa, disiplin dan ketenangan batin.

Shaolin -- nama yang sinonim dengan falsafah Zen dan seni mempertahan diri yang berusia lebih 1,500 tahun -- bukan sekadar simbol kekuatan fizikal, tetapi juga kebijaksanaan dan kehalusan spiritual yang diwarisi sejak abad ke-5. 

Kini, Kuil Shaolin diiktiraf sebagai Warisan Dunia UNESCO, manakala seni Shaolin Kung Fu sendiri diangkat sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara China.

Sepanjang enam hari kembara, rombongan ini menjelajahi lokasi-lokasi bersejarah dan penuh makna seperti Prayer Center Village di Zhengzhou, Kuil Shaolin, Pagoda Forest, Second Patriarch Temple, Sanhuangzhai, Gua Longmen dan Kuil Kuda Putih. 

Di setiap hentian, mereka tidak sekadar melihat, tetapi merenung -- bagaimana setiap batu, setiap arca, dan setiap doa yang terpahat di dinding menjadi saksi kesinambungan sejarah dan nilai kemanusiaan.

Puncak Songshan menjadi antara detik paling menggetarkan apabila peserta menatap lautan awan di kaki langit — simbol perjalanan jiwa manusia yang sentiasa mencari makna dan kedamaian.

Lebih menyentuh hati, ketika berada di Dengfeng, rombongan sempat menziarahi Masjid Dengfeng, masjid terbesar di Zhengzhou.

Di situ, mereka disambut penuh kasih oleh Imam Abu Bakar Musa, yang menzahirkan rasa terharu menerima kunjungan Muslim luar negara. 

Beliau berkongsi kisah kecil komuniti Islam tempatan yang hidup harmoni di tengah-tengah masyarakat majoriti bukan Islam.

“Kami gembira melihat saudara seagama datang sejauh ini untuk berziarah. Moga ukhuwah ini terus terjalin,” ujar beliau dalam nada yang lembut namun penuh makna.


Peserta bergambar di pintu masuk Gua Longmen, sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO yang menampilkan koleksi besar seni Buddha.

Menariknya, peserta Muslim tidak menghadapi kesukaran mencari makanan halal, malah menikmati pelbagai sajian tempatan yang diolah mengikut syariat Islam -- menjadikan perjalanan ini bukan sahaja menyuburkan rohani, tetapi juga menggembirakan hati.

Selain penginapan bertaraf lima bintang dan hospitaliti yang luar biasa, peserta turut menerima sijil penyertaan antarabangsa, menikmati hidangan Shaolin Zen Cuisine, serta berpeluang menyertai kelas latihan seni bela diri Shaolin sebenar di Akademi Kung Fu. 

Persembahan langsung Shaolin Kung Fu Live Show pula menjadi kemuncak perjalanan, menampilkan ketangkasan dan disiplin para sami yang menggabungkan kekuatan tubuh dengan kesedaran spiritual.

Menurut Master Yan, kejayaan program kali ini memberi inspirasi kepada pihaknya untuk meneruskan kesinambungan kembara unik ini.

“Kami amat berbesar hati dengan semangat peserta dari Malaysia dan Singapura,” katanya.

Tambahnya lagi, kelas seni bela diri Shaolin Kung Fu kini sedang diperkenal di Malaysia, agar masyarakat dapat merasai sendiri keindahan disiplin dan falsafah Zen yang menjadi teras Shaolin.

Bagi peserta, Kembara Jiwa ke Tanah Shaolin ini bukan sekadar perjalanan ke sebuah tanah bersejarah, tetapi perjalanan ke dalam diri -- menuju ketenangan, kesyukuran, dan kefahaman bahawa kekuatan sejati datang daripada keseimbangan antara jasad dan jiwa. - KitaReporters

11
17
0
8
0
You will be interested