Suasana dusun durian dan buah-buahan milik Hamdan Adnan di Kampung Hujung Keton, Sungai Tiang, Kedah.
Cara baharu menjamu selera dengan durian. Masuk dusun dan nikmati suasana makan durian dalam dusun sambil berbincang dan mesyuarat santai-santai.
Secara kebetulan ketika saya mengikut seorang sahabat ke sebuah dusun terpandang sekumpulan orang sedang menikmati pulut durian. Sambil makan durian mereka berbincang dengan serius.
"Ini trend baharu. Orang datang ke dusun untuk bermesyuarat sambil makan durian," kata pemilik dusun Hamdan Ahmad, 61.
Menurut Hamdan sejak beroperasi semula selepas PKP dusunnya dikunjungi pelbagai NGO dan grup yang datang untuk bermesyuarat sambil makan durian.
Hamdan Adnan (kanan) dan isteri, Rosmadi Puteh di pondok mereka dalam dusun.
"Pada mulanya saya ingat biasa-biasa sahaja tetapi lama kelamaan ia menjadi satu aktiviti yang menarik," ujar Hamdan.
Dusun seluas 28 relung ini dimiliki bersama isteri Rosmadi Puteh, 59 tahun.
Dusun ini dipenuhi dengan beratus-ratus pokok durian pelbagai jenis seperti musang king, duri hitam dan durian kampung serta manggis, cempedak pulasan, rambutan, dokong, buah asam gelugur dan juga buah tampoi.
Hujung minggu, cuti sekolah dan cuti umum menjadi masa kemuncak dusun milik suami isteri ini dikunjungi para peminat durian dan buah-buahan tempatan pada musim buah. Biasanya mulai Mei hingga hujung tahun.
"Sehari boleh dapat dalam 80 biji durian. Itupun bergantung kepada pokok yang berbuah. Sesetengahnya ada yang sedikit buahnya.
"Lagipun ada dua fasa durian ini gugur. Fasa pertama waktu sekarang di mana buahnya hampir habis. Dan Insya-Allah menjelang Ogos nanti semua durian di sini akan gugur," jelas Hamdan.
Sepanjang musim durian Hamdan tinggal di rumah kecil di dalam dusun kerana tidak mahu durian yang gugur dimakan babi hutan. Menggunakan sejenis alat elektronik yang berbunyi salakan anjing buah-buah durian yang gugur terselamat dari menjadi rezeki babi hutan.
Menarik kan? Tak payah angkut durian masuk kereta. Bau pun tidak. Sampai dusun, pilih timbang dan makan.
Pulut durian santan boleh bawa sendiri. Meja dan tempat duduk disediakan.
"Cara saya mudah. Tetamu bebas memilih berapa biji yang mereka mahu. Saya akan timbang dan letak harga ikut pasaran.
"Diskaun biasa la… mereka boleh terus makan. Tak puas pilih lagi. Timbang bayar dan makan," katanya.
Menurut Hamdan lagi, durian di dusunnya dijamin sedap dan elok isinya serta mampu dibeli.
Satu pendekatan yang sangat menarik. Selain makan durian boleh kenalkan kepada anak cucu suasana kampung dan panorama dusun yang tenang dan damai.
Kepada NGO, persatuan dan kelab yang inginkan kelainan untuk berbincang dan mesyuarat sambil santai, boleh datang ke dusun Hamdan di Kampung Hujung Keton, Sungai Tiang, Kedah.
Bagi mereka yang berminat untuk bermesyuarat atau hanya berkumpul-kumpul di dusun durian Hamdan Ahmad, bolehlah menghubunginya melalui telefon 013 417 3371. - KitaReporters