SUDAH lebih lima bulan masyarakat dunia terbelenggu masalah wabak Covid-19, walaupun penularan virus dilaporkan sudah berkurangan di kebanyakan negara termasuk Malaysia namun rata-rata, masyarakat masih dilanda kebimbangan. Diramal ekonomi dunia akan terus merudum dan berlarutan sekurangnya lima tahun. Ini tentunya menyesakkan dada ramai. : KitaReporters
Contoh jenis tanaman dalam pasu kecil seragam yang kemas pada rak di dinding. Pokok bunga boleh digantikan dengan sayuran. - Kredit gambar: FB/Google
Terfikir mengenai bagaimana kalau terputus bekalan makanan? Apa nak makan kalau lauk pauk tak ada?
Bagi yang berakal panjang, pantas sahaja terfikir langkah untuk menghadapinya.
Hasil tanaman seorang warganet yang disiarkan dalam FB. - Kredit gambar: FB
Kembali kepada asal
Apakah tindakan yang paling wajar dilakukan?
Jawapannya, `back to basic` (kembali kepada asal) dalam persediaan bahan untuk dimakan pada waktu genting, mengikut cara tok nenek dan moyang kita dulu, iaitu bertani.
Pertanian meliputi bercucuk tanam dan menternak haiwan peliharaan adalah kegiatan utama pada masa dahulu untuk kegunaan seharian (makanan).
Jika persediaan ini dibuat awal, andai barang di kedai terputus atau berlaku sebarang masalah kewangan, setidak-tidaknya kita boleh makan hasil tanaman atau ternakan sendiri.
Petik sahaja sayuran atau buahan yang ditanam, atau sembelih sahaja ayam itik dan kambing yang dipelihara, sauk saja ikan di kolam.
Satu famili tidak akan kebuluran atau mati kelaparan!!
Bayam Brazil paling mudah ditanam. Ia senang hidup dan senang membiak. Boleh dibiarkan tanam dalam polibeg sahaja.
Dalam hal ini, mereka yang tinggal di kawasan kampung dan berumah di atas tanah yang luas mempunyai kelebihan kerana dapat melakukan kegiatan bertani dan menternak di ruang yang tidak terhad.
Misalnya boleh menanam ubi kayu, keledek atau jagung sebagai gantian makanan ruji, beras.
Mereka yang tinggal di bandar ada kekangan dari segi kawasan.
Sudah tentulah terpaksa memilih jenis tumbuhan yang sesuai dengan ruang yang ada untuk ditanam.
Tanaman dalam polibeg di halaman rumah teres. Kredit gambar: FB Yun Nawi
Bagi yang tingal di rumah teres, mungkin ada sedikit halaman tanah di depan dan belakang, boleh dijadikan kawasan menanam pokok herba dan sayur untuk kegunaan di dapur.
Yang tinggal di apartmen dan kondominium, boleh tanam dalam pasu konsep gantung atau di atas rak bertingkat.
Dalam keadaan sekarang, tanaman untuk dimakan lebih penting daripada pokok bunga yang hanya untuk hiasan dan memberi wangian.
Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sudah terbukti akan kesedaran ramai mengenai pentingnya bercucuk tanam.
Makanya semakin ramai memulakan kegiatan menanam di rumah masing-masing.
Dengan itu, kalau kehabisan makanan sekurangnya, boleh makan sayur dan ulaman hasil tangan sendiri.
Benih pelbagai jenis pokok
Tanah organik 6 dalam 1 dimasukkan ke dalam pasu untuk persediaan menanam.
Yang bertangan hijau atau tangan sejuk, tak ada masalah, apa saja ditanam menjadi.
Yang bertangan panas macam mana pula? Buntu memikirkannya, setiap kali tanam, pokok akan mati. Hakikatnya kenyataan seumpama itu boleh dikatakan hanya alasan. Sahlah mati kalau pokok tidak diberi penjagaan sewajarnya.
Pokok, macam juga manusia, perlukan makanan dan minuman. Ia perlukan air secukupnya dan baja sesekali dengan pemantauan berterusan.
Jelaslah untuk berjaya, kata kuncinya perlu rajin dan bersungguh.
Gali Ilmu
Ilmu juga penting, rajinlah membaca dan dapatkan panduan mengenai rahsia bertanam.
Banyak yang perlu diketahui untuk menjaga dan membesarkan pokok.
Misalnya lihat pada tempat menanam, cukupkah panas matahari untuk sesuatu jenis tanaman itu atau redup sangatkah, itu semua memberi pengaruh kepada pertumbuhan pokok, kerana setiap jenis berbeza keperluan, termasuk cara siraman.
Contoh posting pertanyaan dalam Grup Tanaman FB daripada netizen.
Menariknya ramai tidak segan atau lokek menghebahkan kegiatan mereka melalui status FB termasuk dalam grup berkaitan tanaman dan rajin bertanya.
Perlulah bersabar sedikit untuk mereka yang baru berkecimpung.
Bagi mereka yang baru belajar, boleh rujuk Group Beginner Tanam Pokok dan Sayur; Jom Tanam Sendiri Di Rumah; Kebun Bandar Jom Tanam Sendiri; Group Kebun Sayur Tanam Sendiri dan Tangan Hijau Jom Berkebun selain boleh juga rujuk tajuk-tajuk khusus menanam jenis tanaman tertentu untuk dipelajari.
Pelbagai bekas plastik kitar semula sedia untuk dijadikan pasu tanaman. Perlu dipotong dan ditebuk sebelum diisi tanah.
Percubaan Sendiri
Penulis juga tidak ketinggalan ingin mencuba, melalui projek DIY (buat sendiri) bercucuk tanam mengutamakan bahan kitar semula, menggunakan botol dan balang plastik sebagai bekas tanaman.
Semua bekas itu dipotong dan ditebuk lubang (air) sebelum dimasukkan tanah organik semula jadi 6 dalam 1, yang dibeli daripada pemilik Grup Tangan Hijau Jom Berkebun.
Benih-benih juga dibeli daripada pengasas grup itu.
Sengaja memilih untuk menggunakan botol kitar semula, untuk konsep penjimatan dan DIY.
Pernah berkunjung ke satu ladang tanaman yang berjaya, pokok sawi ditanam dalam botol plastik yang digantung pada pokok dan palang kayu, segar menghijau.
Botol tanpa kos, tanah guna sedikit sahaja tapi pokok sawinya tumbuh subur.
Selain botol minuman, penulis turut memanfaatkan baldi bekas Nata Decoco yang lama dihimpun. Kalau dulu sekian lama jadi sampah simpanan, kini barulah dapat diguna sebagai bekas pokok.
Payah untuk ber-DIY, potong dan menebuk bagai, boleh beli pasu di kedai. Terus boleh diguna.
Jika kawasan luas, boleh dimanfaatkan dengan projek lebih besar. Kredit foto - The Mukmin Shop
Sekilas panduan
Mulakan dengan pokok yang paling mudah membiak seperti bayam Brazil, pegaga, daun bawang, bayam dan ulam raja boleh menggunakan pasu.
Kemudian, sedikit demi sedikit tambah tanaman lain.
Antara jenis pokok menjalar yang mudah hidup dan berbuah ialah kacang botol. Tanam di kawasan pagar supaya ia mudah memanjat.
Pokok terung, cili, kacang bendi antara pokok tegak yang memerlukan pasu dan tanah yang banyak.
Pokok seperti ubi kayu dan jagung kena tanam di atas tanah (bukan pasu) kerana ia perlukan kawasan luas.
Pandan, serai, kunyi, halia boleh ditanam di mana-mana ruang tanah yang kosong kerana ia membiak membabitkan kawasan besar.
Selain menanam untuk makan sendiri bagi meringankan bebanan kewangan, jika hasil tanaman banyak, boleh dijual, kalau tidak pun boleh disedekah kepada jiran.
Musim orang kekeringan duit, dapat bahan makanan pun sudah cukup bersyukur.
Tiada rezeki lebih untuk sedekahkan wang ringgit, boleh beri hasil tanaman, itu juga satu sumbangan yang bernilai pada mata penerima juga dari segi pahala. - KitaReporters