Selera & Santai 14 Jan, 2022

Rangka jambatan bijih besi ditemukan selepas banjir! Produk pelancongan baharu Kg Jubakar Pantai?

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Jajahan Tumpat yang paling kecil di Kelantan berpotensi menjadi pusat pelancongan.


BANJIR yang melanda beberapa negeri bermula pertengahan Disember tahun 2021 lalu meninggalkan banyak kesan kemusnahan alam semula jadi termasuk perkampungan, kediaman dan harta benda penduduk yang hanyut dipukul oleh arus deras.

Namun begitu air sungai yang melimpah kerana faktor hujan lebat serta fenomena air pasang besar bukan sahaja menyebabkan limpahan ke beberapa kawasan termasuk penempatan penduduk malah, apabila surut menemukan pula beberapa fakta baharu sejarah seperti yang berlaku di Kampung Jubakar Pantai, Tumpat, Kelantan.


Lagi kisah berkaitan banjir



Tumpat merupakan salah satu jajahan tidak asing di negeri Kelantan yang boleh dikatakan sibuk walaupun tidak seperti bandar Kota Bharu. Ini kerana di jajahan itu terdapat stesen kereta api iaitu nadi perhubungan dan pengangkutan di Pantai Timur.

Walaupun Tumpat jajahan paling kecil di Kelantan namun tidak bermakna ia tidak berpotensi untuk menjadi pusat pelancongan yang kini semakin menjadi sebutan berikutan beroperasinya kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor sekian lama di samping berkembangnya projek Industri Kecil dan Sederhana (IKS) membuat serunding, dodol, keropok dan sebagainya.



Pada peta dunia, Kelantan tercatat sebagai tempat pendaratan pertama Jepun ketika menjajah Tanah Melayu antara tahun 1941 dan 1945, malah negeri itu juga dihubungkaitkan dengan tamadun perlombongan bijih besi bertaraf dunia. 

Umum mengetahui jambatan bijih besi yang jelas pada pandangan masyarakat selepas banjir surut baru-baru ini yang terletak di Kampung Jubakar Pantai itu digunakan sebagai laluan mengangkut hasil bijih besi ke kapal sebelum dihantar ke Jepun ketika Tanah Melayu dijajah Jepun dan British.


Jambatan bijih besi makin jelas pada pandangan masyarakat selepas banjir surut di Kampung Jubakar Pantai.


Hakikatnya, jambatan berkenaan sebenarnya dibina oleh British, manakala kegiatan perlombongan dikendalikan oleh Oriental Mining Co iaitu sebuah syarikat Jepun terletak di kawasan Bukit Besi di Temangan, Kelantan yang jaraknya lebih 60 kilometer dari Tumpat.

Berikutan fenomena air surut  yang berlaku sekarang, menarik perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Team Speed Media Gallery yang berpusat di Kota Bharu, mengambil peluang itu dengan meninjau jambatan bersejarah berkenaan dengan lebih dekat pada 7 Januari 2022 lalu.


Kerangka jambatan bijih besi peninggalan penjajah di Kampung Jubakar Pantai, Tumpat, Kelantan semakin menyerlah selepas banjir. - Kredit foto: Team Speed Media Gallery.


Tinjauan yang dilakukan NGO berkenaan menemui fakta baharu yang belum pernah diketahui dan tidak pernah disebut dalam mana-mana catatan. Jambatan yang dahulunya digenangi air laut, kini telah menjadi daratan yang membolehkan orang ramai berjalan seperti di pesisiran pantai.

Sumber NGO berkenaan, berkata terdapat 13 struktur sisa jambatan yang dibina secara segi empat menghala ke laut

Daripada struktur pertama, iaitu yang paling hampir dengan perumahan Taman Seri Pantai sehingga yang ke-10, mempunyai saiz yang sama kira-kira 3 meter persegi dengan ketinggian kira-kira 3.6 meter.

Menurutnya, lebar setiap tiang ialah 35.56 sentimeter manakala jarak setiap struktur berkenaan kira kira 6 meter. Struktur yang ke 11 adalah yang paling besar, mempunyai 24 tiang dibina rapat antara struktur ke 12 dan 13. Struktur ke 12 pula mempunyai 4 tiang dan dibina lebih rendah berbanding semua, manakala struktur terakhir adalah yang kedua terbesar dengan jumlah 10 tiang.


 

Terdapat 13 struktur sisa jambatan bijih besi itu yang dibina secara segi empat menghala ke laut.


Jelas sumber NGO itu lagi, walaupun ada catatan memaklumkan jambatan itu dibina sebelum Perang Dunia Kedua, namun tidak dicatat tarikh atau tahun yang tepat, namun penemuan beberapa tarikh pada dua tiang boleh mengandaikan bahawa jambatan itu mungkin pernah rosak.

“Lebih menarik ialah pasukan kami terjumpa catatan pada pangkal tiang dua strktur yang tertera tarikh 7.5.57 dan 17.5.57. Adalah tidak mustahil tarikh berkenaan  merupakan tarikh jambatan ini dibaiki.

“Jambatan ini terbiar dan rosak sehingga hanya tinggal struktur tiang selepas tidak lagi digunakan sejak 1965, apabila pada tahun itu Oriental Mining Co telah menghentikan operasinya kerana kandungan bijih besi yang semakin kurang,” kata sumber NGO berkenaan.


Pada salah satu tiang tertera tarikh 7.5.57 dan 17.5.57 yang menjadi tanda tanya.


Sumber NGO itu berkata, oleh kerana kawasan sejauh 500 meter ke laut itu sudah menjadi daratan, kini berhampiran jambatan berkenaan menjadi padang permainan kanak-kanak dari kampung serta perumahan berdekatan pada waktu petang. Jambatan itu hanya akan tenggelam semula seketika apabila air pasang.

Tambah sumber NGO itu, lokasi pesisir pantai jambatan itu juga kini menjadi tumpuan orang ramai untuk bersantai bersama-sama keluarga serta sahabat handai dan mengambil peluang berswafoto kerana tertarik dengan bentuk binaan serta nilai sejarahnya.

Bagaimanapun, menurut sumber NGO itu, agak membimbangkan apabila sebahagian besar tiang jambatan berkenaan sudah berlaku rekahan pada bahagian atas dan perlu diambil tindakan segera seperti membaikinya jika pihak berkenaan berhajat mahu kekalkan binaan jambatan berdiri teguh di situ. 


Jambatan bijih besi itu banyak mengalami rekahan yang perlu dibaiki supaya tidak roboh begitu sahaja dan berbahaya kepada orang ramai.


“Tidak diketahui berapa lama lagi sisa sejarah ini mampu bertahan daripada asakan ombak dan hakisan, mahu pun perubahan yang diterjah alam semula jadi.

“Kami amat mengharapkan supaya ada pihak yang memulihara jambatan ini demi kelangsungan dan mengekalkannya antara bahan sejarah di Kelantan, selain mampu dibangunkan sebagai produk pelancongan berstatus dunia,” kata sumber NGO Team Speed Media Gallery itu. - KitaReporters 


Jambatan bijih besi ini seharusnya dipulihara kerana mampu menjadi antara produk pelancongan di Kelantan.

21
13
0
9
0
You will be interested

Video| Peniaga minuman takut letak air di dalam tumbler? Apa alasannya? Saiz yang berbeza-beza?

Kenapa peniaga air takut letak air dalam tumbler yang dibawa pelanggan? Mungkin ini jawapannya.
Zul Akmar Jamaludin in Selera & Santai 3 weeks ago

Video| Bestnya! Iftar di kawasan sawah padi! 100 pesawah Hulu Besut hadir Majlis Berbuka Puasa Baroh!

KETIKA sebahagian umat Islam di negara ini mengadakan iftar Ramadan di tempat-te
Mohammad Ishak in Selera & Santai 3 weeks ago

Video| Dilarang guna stapler! Penjual tepung pelita kongsi cara baharu! Tapi tetap guna daun pisang!

Larangan penggunaan dawai kokot dalam pembungkusan makanan tidak menjadi masalah buat peniaga kuih tepung pelita.
Zul Akmar Jamaludin in Selera & Santai 1 month ago

Video| Yang nak dibeli tauhu bergedel! Tapi yang dapat tauhupap! Pembeli geram peniaga tidak jujur!

Seorang wanita melepaskan geram kerana tauhu bergedel yang dibelinya tidak seperti yang diharap.
Zul Akmar Jamaludin in Selera & Santai 1 month ago