Selera & Santai 27 Sep, 2021

Pulau Langkawi bernafas semula! Sektor pelancongan kembali meriah! Harap tak ‘ditidurkan’ lagi!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


Langkawi yang sebelum ini seolah-olah lumpuh ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP) kini kembali bernafas serta meriah selepas kerajaan membenarkan sektor pelancongan di pulau peranginan itu beroperasi semula sejak 16 September, 2021 lalu di bawah konsep gelembung pelancongan.

Rata-rata pengusaha pelancongan serta sektor lain di pulau itu kini mampu menarik nafas lega susulan kelonggaran diberikan oleh kerajaan walaupun perlu mematuhi peraturan dan SOP yang ketat.

Bekas pemain bola sepak Kedah, Faridzuan Che Hamid yang mengusahakan chalet di Pulau Tuba berkata, beliau amat bersyukur serta berterima kasih kepada kerajaan yang seolah-olah memberi ‘nyawa kedua’ kepada mereka selepas menghadapi keadaan kritikal sejak dua tahun lalu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Langkawi


Faridzuan Che Hamid mengusahakan 21 buah chalet di Pulau Tuba, Langkawi. - Kredit foto: FB Faridzuan Che Hamid.


“Sebelum ini, kami yang terbabit secara langsung dengan industri pelancongan benar-benar terkesan kerana hilang sumber pendapatan. Kami hanya tinggal nyawa-nyawa ikan. 

“Malah, kalau kami ini dikategorikan pesakit, kami sedang berada dalam keadaan kritikal dan mungkin perlu ditidurkan serta bergantung kepada bantuan oksigen untuk terus bernyawa.

“Tapi, dengan langkah diambil oleh kerajaan sekarang, ia memberi harapan baru kepada kami untuk meneruskan industri ini. Walaupun kerancakannya belum benar-benar terasa namun sekurang-kurangnya sudah ada tanda-tanda pelancongan Langkawi akan kembali hidup,” kata Faridzuan.

Faridzuan yang mengusahakan penginapan sejak lebih 15 tahun lalu dan mempunyai 21 buah chalet, berkata, beliau kini mula menerima tempahan terutama untuk bulan Oktober.


Penginapan milik Faridzuan kini mula menerima tempahan pelancong dan sektor-sektor tertentu. - Kredit foto: FB Faridzuan Motel.


Walau bagaimanapun di sebalik rasa syukur itu, beliau tetap bimbang jika kelonggaran diberikan kerajaan itu tidak berkekalan dan ditarik balik seperti yang pernah berlaku sebelum ini. 

“Jika ini berlaku, industri pelancongan Langkawi akan kembali melalui fasa malap seperti sebelumnya. Sudah lama kami ‘ditidurkan’ dan kini dibangunkan, saya harap kami tidak ‘ditidurkan’ sekali lagi,” katanya.

Sementara itu Naseriah Husain yang mengusahakan pelbagai cabangan perniagaan, antaranya restoran, kosmetik, pakaian, penginapan dan produk kesihatan turut berasa lega dengan usaha kerajaan menghidupkan semula industri pelancongan Langkawi.

“Apa pun bentuk perniagaan di Langkawi, ia bergantung kepada pelancong. Merekalah yang menghidupkan perniagaan kami. Kalau pelancong tidak dibenarkan masuk, matilah perniagaan kami.

“Sepanjang PKP dahulu, saya terpaksa mengalih perniagaan kepada bidang lain seperti menjual ikan bilis, ikan masin, produk kesihatan, coklat dan tudung secara dalam talian.


Restoran Singgah Rasa D'Zainas adalah salah satu cabang perniagaan Naseriah Husain. - Kredit foto:  FB Naseriah Husain.


“Sekarang, walaupun jumlah pelancong belum mencapai tahap seperti sebelumnya tapi sekurang-kurangnya sudah nampak sedikit sinar. Orang ramai mungkin masih takut-takut serta berhati-hati kerana kes Covid-19 masih tinggi, mungkin mereka nak tengok dulu keadaan.

“Saya harap kelonggaran diberikan sekarang dikekalkan dan Langkawi akan kembali seperti sedia kala yang mana menjadi pilihan pelancong untuk bercuti,” ujar Naseriah.

Seorang pengusaha agensi pelancongan, Shanishah Hassan dari Honeyzone Travel and Tours Sdn Bhd juga berharap industri pelancongan di Langkawi akan kembali pulih dan kerajaan kekal dengan keputusan mereka.


Shanishah Hassan pemilik Honeyzone Travels and Tours. - Kredit foto: Honeyzone Travel and Tours.


“Selama dua tahun ini pendapatan kami memang ‘zero’ (kosong). Saya terpaksa beralih bidang menjual ikan bilis, ikan masin, minyak gamat, coklat melalui dalam talian demi kelangsungan hidup.

“Tapi, persaingan bisnes dalam talian pun sengit kerana ramai yang menceburinya, maklumlah ramai orang yang hilang kerja dan sumber pendapatan.

“Bila kerajaan dah buka balik pelancongan, sudah tentu kami lega. Cuma, kami harap kerajaan akan kekal dengan keputusan ini dan tidak buat ‘u-turn’ (pusingan-U).

“Kami, sebagai pengusaha akan berusaha sedaya upaya memastikan pelanggan kami mematuhi semua SOP ditetapkan kerana kami tak mahu industri yang baru nak hidup semula ini, kembali kritikal,” kata Shanishah, 44, yang terbabit sebagai ejen pelancongan selama 13 tahun. - KitaReporters



Aktiviti pelancongan di Langkawi kembali hidup. - Kredit foto: LADA

 

 

16
13
0
8
0
You will be interested