Selera & Santai 18 Mar, 2024

Video| Bestnya Pasar Sera! Merewang cari pelbagai produk lokal! Jualan bertema, santai dan kreatif!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this



Nama Pasar Sera semakin popular dalam kalangan warga Kuantan di Pahang. Penganjuran acara itu sentiasa dinanti-nantikan kerana vendor dan pengunjung tertarik dengan konsep jualan dan idea kreatif yang diketengahkan oleh penganjur. 

Pasar Sera menjadi medan bagi golongan usahawan kreatif menjual dan mempromosi pelbagai produk makanan, minuman, pakaian, tudung, aksesori wanita, bunga, hiasan rumah, alatan sukan dan hasil kraf tangan yang bersesuaian dengan tema yang ditetapkan.

Sehingga kini, pihak penganjur telah mengadakan tujuh acara Pasar Sera dengan tema yang berbeza-beza dan sambutan diterima amat menggalakkan kalangan pengunjung.


Nadia Mohd Rustham



Penganjur program, Nadia Mohd Rustham dari Sera Group berkata, acara terbaharu Pasar Sera 7.0 yang bertemakan 'Nostalgia Rewang Melayu’ yang berlangsung dengan kerjasama Yayasan Pahang dan berjaya menghimpunkan 62 usahawan berlangsung di Rumah Pahang, Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur pada 9 dan 10 Mac 2024 lalu.

Hampir semua usahawan berpakaian mengikut tema dengan mengenakan pakaian tradisional seperti baju kurung, kebaya dan berkerudung juga berselimpang batik bagi wanita manakala lelaki lebih memilih mengenakan kain pelikat, songkok, semutar dan tanjak seperti pada era 50-an dan 60-an. 

Dekorasi tapak jualan turut dihiasi dengan barangan dan peralatan yang menggamit nostalgia lama zaman berzaman.


Dapur Senja menawarkan pelbagai jenis manisan dan kudapan

Sebelum ini, Pasar Sera berlangsung dengan tema berbeza iaitu 1.0 tema Sua Kenal, Sunday in Paris (2.0), Pasar Melayu Klasik (3.0) dan Urban Market (4.0) diadakan di Sera Villa, Medan Tok Sira manakala tema Glamping by the Lake (5.0) dan Active Life Style (6.0) berlangsung di Tasek KotaSas, Indera Mahkota.

"Tema kali ini bertepatan dengan konsep Rumah Pahang yang memaparkan ciri-ciri rumah kampung lama di Pahang seterusnya melaksanakan aktiviti jualan gaya saudagar Melayu klasik lengkap berpakaian tradisional Melayu," katanya ketika ditemui KitaReporters di Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan pada Ahad, 10 Mac 2024.


Suasana meriah Pasar Sera
Menurut Nadia, sehingga kini pihaknya menerima hampir 800 pemohonan daripada vendor tempatan dan luar Pahang bermula daripada Pasar Sera 1.0.

"Ada perbezaan antara Pasar Sera dengan pesta jualan dan makanan lain. Kami bawakan konsep pasar kreatif dengan menghimpunkan vendor-vendor daripada pelbagai kategori produk dengan syarat tidak menjual barangan sama dan memiliki idea kreatif dalam menghiasi tapak jualan.

"Kami juga menggunakan sistem giliran bagi memberi peluang kepada vendor untuk berniaga. Vendor dipilih mengikut apa yang ingin dijual, penampilan barangan juga harus menarik dan menepati sesebuah tema yg kami akan bawakan," katanya lagi.


Vendor mengenakan pakaian tradisional Melayu
Menurut Nadia lagi, untuk setiap acara, pihaknya menerima antara 100 hingga 200 pemohonan vendor tempatan dan luar Pahang dan memilih antara 50-60 vendor sahaja.

"Alhamdulillah dan satu kejayaan juga untuk kami apabila semakin banyak jenama terkenal dari Kuala Lumpur sudah mula menunjukkan minat menyertai Pasar Sera. Satu kejayaan untuk penganjur kecil seperti kami yang mampu menarik usahawan besar dari sana," katanya.


Tapak jualan dan kawasan yang luas memudahkan pengunjung bergerak pada satu-satu masa

Berkaitan nama Pasar Sera pula, Nadia menjelaskan ia mengambil nama sempena nama lokasi pertama acara diadakan iaitu Sera Villa yang terletak di Medan Tok Sira.

"Daripada situ tercetus idea untuk namakan Pasar Sera dan nama itu kekal sehingga hari ini dan sudah sinonim dengan warga Kuantan," katanya.

Ketika ditanya lokasi seterusnya, Nadia berkata Pasar Sera dijangka berada di Malam Galau, SUKPA pada April 2024 ini dan TAR University Kolej pada Mei 2024 pula.


Nurul Nadia Mohd Burhan

Beberapa vendor ditemui melahirkan rasa teruja dan gembira terpilih menyertai Pasar Sera 7.0 kerana bertepatan dengan konsep dan kreativiti usahawan muda. 

Nurul Nadia Mohd Burhan, 36, dari AJ Legacy Trading Enterprise, Shah Alam berkata produk makanan ready to eat jenama Nadfoods keluaran syarikatnya mendapat sambutan menggalakkan walaupun baru pertama kali sertai Pasar Sera.

"Alhamdulillah, acara ini sungguh meriah dan dan terima kasih kepada penganjur kerana berjaya mengetengahkan ramai usahawan muda di acara ini.

"Pada hari-hari biasa, kami beroperasi secara online dan di tapak-tapak niaga sekitar Lembah Klang dengan menjual lontong Johor, sambal paru dan daging dendeng," katanya.


Darwishah Nordin (kiri) di booth miliknya, Saat Sore di tapak Warung Kereta
Bagi vendor muda, Darwishah Nordin, 21, penyertaan di Pasar Sera adalah satu pengalaman yang sangat mengujakannya.

Pemilik Saat Sore yang fokus kepada jualan minuman (kopi dan pelbagai jenis minuman lain) ternyata gembira kerana dapat memperkenal jenamanya kepada pengunjung.

"Saya masih baharu dalam bidang keusahawanan ini. Penyertaan kali kedua ke Pasar Sera menjadi medan untuk saya promosi Saat Sore kepada orang ramai.

"Alhamdulillah, permintaan sangat menggalakkan dan terima kasih kepada penganjur yang berjaya membantu usahawan kecil seperti kami untuk terus melebarkan sayap perniagaan," katanya yang berniaga di Pantai Tembeling, Kuantan sejak September 2023 lalu.


Hazwani Huda Hamdan bersama koleksi baju kurung jenama Leinani.kl 
Bagi Hazwani Huda Hamdan, 32, penyertaan kali pertama itu secara tidak langsung berjaya memperkenal pakaian dan tudung jenama Leinani.kl hasil rekaannya yang tersendiri.

Menjalankan perniagaan secara dalam talian di Kuala Lumpur, Hazwani Huda berjaya ke Pasar Sera selepas membuat pemohonan sebaik sahaja melihat iklan dalam Instagram.

"Pertama kali saya di Pasar Sera dan sambutan cukup lumayan di Pahang berbanding di Kuala Lumpur. Penganjur sangat ramah dan membantu segala masalah dihadapi vendor.

"Lokasi yang sangat luas dan unik. Kena dengan temanya dan itulah istimewanya Pasar Sera, sentiasa membantu usahawan mempromosikan produk," katanya.


Pengunjung bertumpu di warung Saat Sore yang menawarkan pelbagai jenis minuman seperti kopi sore, coklat, green tea, mocha dan minuman bersoda


Dalam pada itu, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, Dato' Sabariah Saidan yang hadir melawat tapak jualan berkata, Pasar Sera secara tidak langsung berjaya membantu mempromosi dan memperkenal keindahan Rumah Pahang kepada komuniti setempat dan pelancong.

"Ia sepatutnya dijadikan acara tahunan, malah boleh buat dua atau tiga tahun sekali, mungkin di lokasi-lokasi lain yang dirasakan sesuai dan boleh dipromosikan," katanya. 

Warga Kuantan yang tidak berkesempatan mengunjungi Pasar Sera 7.0 ini bolehlah hadir ke Pasar Sera 8.0 yang akan diadakan dalam tempoh terdekat. Nantikan pengumumannya! - KitaReporters


Booth Kudap Desa menawarkan pelbagai produk makanan ringan 

14
5
0
13
1
You will be interested